Bab 131-Menggeletek Macam Cicak

1.8K 35 0
                                    

Saya mengucap panjang, bila melihat kaki kiri Khoja Lisut menggeletak macam ekor cicak yang terpisah dari badannya, sementara kaki kanannya bergerak macam badan ular.

"Terlalu banyak ilmu batin salah yang dituntutnya. Tetapi, bila dia sakit ternyata ilmunya tidak dapat menyembuhkan penyakitnya kerana itulah dia datang jumpa kamu. Dalam kehebatannya, masih ada kekurangannya, memang begitu adatnya yang menimpa manusia. Tidak ada orang yang gagah, tidak ada orang yang amat pintar, setiap yang lebih pasti ada kekurangannya," Haji Yatimi terus memberikan ceramah kecil untuk saya, Mat Upeh dan datuk.

"Apa yang mesti dibuat sekarang?" Mat Upeh bertanya.

"Inilah kesempatan yang baik, pendindingnya sudah lemah, kita mesti mengeluarkan pendinding yang sudah sebati dengan darahnya." jelas Haji Yatimi lalu mengarah saya berdiri di hujung kepala Khoja Lisut, Mat Upeh di sebelah kanan, datuk di sebelah kiri. Manakala Haji Yatimi di bahagian kaki.

"Dia mahu bertaubat, mahu jadi baik. Sayangnya, syaitan yang jadi pendinding menguasai dirinya sepenuh, inilah masanya kita menghalaunya." tambah Haji Yatimi sambil memberitahu saya dan Mat Upeh supaya melihat apa saja yang dilakukannya.

Haji Yatimi memberi arahan kepada datuk supaya mengepal tanah dan melemparkan ke arah mana-mana tubuh Khoja Lisut, bila dia menjerit. Menurut Haji Yatimi manusia berasal dari tanah dan kekuatan manusia tetap bersama tanah dan kekuatan iblis tetap bergantung pada cahaya dan akan binasa dengan api.

Setelah mengeluarkan arahan itu, Haji Yatimi pun menjamah kaki kiri Khoja Lisut yang menggeletek macam cicak. Mulutnya kelihatan bergerak-gerak, bibir datuk juga bergerak. Saya kira mereka sedang membaca sesuatu.

"Ya Allah, apa sudah jadi," bisik batin saya bila melihat kaki kanan Khoja Lisut berubah menjadi macam ular lalu membelit tubuh Haji Yatimi, Mat Upeh kelihatan cemas sekali.

Dengan tenang Haji Yatimi menepisnya dan serentak dengan itu terdengar jeritan Khoja Lisut. Datuk segera melemparkan tanah ke muka Khoja Lisut, kaki kanannya yang berbentuk macam ular kembali pulih macam biasa, begitu juga dengan kaki kiri yang menggeletek macam ekor cicak. Tidak bergerak lagi.

Khoja Lisuttidak lagi mengaum macam harimau. Dengan tenang Haji Yatimi memegang pergelangan kaki kiri Khoja Lisut. Dengan hati-hati Haji Yatimi menekan ibu jari kirinya ke bahagian tengah telapak kaki Khoja Lisut.

Seluruh perhatian saya dan Mat Upeh tertumpu kepada gerak-geri dan tindak-tanduk Haji Yatimi. Sesekali saya lihat, Khoja Lisut menggeliat dan tubuhnya seakan-akan bergulung macam tubuh tenggiling membelit sebatang kayu.

JARI

Semua yang terjadi itu tidak dihiraukan oleh Haji Yatimi, dia asyik dengan tugasnya menekan ibu jari ke telapak kaki Khoja Lisut.

"Ha! Tengok tu," Mat Upeh mencuit bahu saya.

Saya segera jegilkan biji mata ke arah sekujur tubuh Khoja Lisut yang terlentang ke bumi. Wajahnya menadah langit. Haji Yatimi masih dengan tugasnya dan datuk tetap mengepal tanah.

"Apa dia Pak Mat?" Tanya saya pada Mat Upeh.

"Kau tak nampak apa-apa Tamar,"

"Memang tak nampak apa-apa pun."

"Cuba kau renung betul-betul ke arah bahagian dada orang itu," Mat Upeh menasihati saya.

Kerana percaya dengan apa yang dicakapnya, saya arahkan sepasang biji mata ke arah dada Khoja Lisut tanpa berkelip-kelip. Ya, sekarang baru saya tahu Mat Upeh tidak berbohong dengan saya. Dia bercakap benar. Tiba-tiba saja bulu roma saya tegak, badan menggeletar. Saya melihat ada asap nipis keluar dari bahagian dada Khoja Lisut.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 9 ) (COMPLETE)Where stories live. Discover now