Bab 132-Bukan Muntah Darah

2K 39 1
                                    

Sebaik saja Haji Yatimi mengakhiri kata-kata itu, dia terus menarik tangan Khoja Lisut, mengajak ke kaki tangga surau. Tidak ada bantahan dari Khoja Lisut. Saya terus mengekor dari belakang khoja Lisut. Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena terhadap diri khija Lisut. Dia nampak penat sekali, baru lima kaki melangkah, dia harus berehat. Saya lihat kulit di bahagian belakang lehernya kendur dan berlapis macam kulit tengkuk ayam jantan yang sudah tua.

Langkah Haji Yatimi begitu pantas sekali. Kami terpisah (saya dan Khoja Lisut) dengannya dalam jarak lebih dari dua puluh kaki.

"Kenapa?" Saya segera mendekati Khoja Lisut yang terjatuh di bumi. Cepat-cepat saya bangunkannya, lalu memapahnya dengan perlahan ke surau.

"Semuanya sudah habis, Tamar."

"Maksudnya," saya potong cakap Khoja Lisut yang tercungap-cungap itu. Dia kelihatan amat sukar menarik dan melepaskan nafas. Wajahnya nampak cukup tua sekali.

"Aku penat, kudrat aku tidak macam dulu lagi, Tamar."

Saya jadi resah. Sukar untuk menangkap maksud dari kata-kata Khoja Lisut itu. Saya terus memimpinnya dengan hati-hati agar dia tidak jatuh untuk kali kedua.

Saya dan khoja Lisut sampai ke kaki tangga surau. Mat Upeh dan datuk segera menyambut Khoja Lisut lalu didudukkan di atas anak tangga pertama. Haji Yatimi berdiri dekat tiang surau cuma melihat saja. Oleh kerana terlalu penat, Khoja Lisut terus baringkan diri di situ. Datuk segera memicit kedua belah buah betisnya dan Mat Upeh mengurut dadanya.

"Kenapa muka kamu berubah, Khoja?" Tanya datuk.

"Kau nampak aku sudah cukup tua?" Dalam tercungap-cungap Khoja Lisut bersuara. Kelopak matanya berkedip-kedip dan biji mata hitamnya berputar-putar.

"Umurnya dah dekat sembilan puluh tahun," semua biji mata tertumpu ke arah Haji Yatimi. "Kalau tak percaya dengan aku, tanyalah dirinya sendiri," sambung Haji Yatimi sambil menggaru hujung dagunya. Haji Yatimi melangkah ke bahagian belakang surau. dia mahu buang air kecil, hati kecil saya membuat kesimpulan. Telahan saya memang tepat, dia menuju ke arah tandas.

Datuk dan Mat Upeh meneruskan rawatan terhadap Khoja Lisut. Rawatan singkat itu berhasil mengembalikan tenaga Khoja Lisut. Dia boleh duduk dan bangun, malah boleh berdiri di depan datuk dan Mat Upeh.

Saya yang sejak tadi, duduk atas tunggul yang letaknya tidak jauh dari kaki tangga hanya melihat sahaja gerak-geri mereka. Hati kecil saya masih mengharapkan suara Khoja Lisut untuk memperakui kata-kata yang diucapkan oleh Haji Yatimi.

TURUN

Matahari petang kian menurun. Sinarnya makin suram dan suara kicau burung bertambah galak menguasai kawasan pepohon sekitar surau. Barangkali, kicau burung menandakan waktu petang akan berakhir tidak lama lagi.

Saya lihat Mat Upeh menggeliat. Dia seperti bersedia mahu meninggalkan kami untuk pulang ke rumahnya. Datuk membetulkan hujung legan baju kirinya yang terlipat. Haji Yatimi kembali ke tendas.

"Bagaimana? Apa dia mengakui apa yang aku katakan tadi?" Itu yang ditujukan oleh Haji Yatimi kepada Datuk dan Mat Upeh. Keduaduanya gelengkan kepala. Dan Haji Yatimi segera merenung ke wajah Khoja Lisut.

"Kamu mahu merahsiakan diri kamu daripada mereka?"

"Tidak," jawab Khoja Lisut.

"Kalau tidak, kenapa tidak kamu cakapkan pada mereka," Haji Yatimi seperti mendesak. Dan kali ini, saya kira Khoja Lisut tidak boleh berdalih lagi.

"Apa yang dikatakan oleh Tuan Haji Yatimi itu memang benar. Saya tertipu dan terpengaruh dengan kehidupan dunia. Sekarang saya sedar setiap benda yang dibuat oleh makhluk tidak akan kekal, ada kekurangannya. Hanya pemberian Allah saja yang mutlak," sebaik sahaja Khoja Lisut berhenti bercakap, dia terus membongkok lalu batuk.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 9 ) (COMPLETE)Where stories live. Discover now