Bab 182-Jadi Hamba Iblis

1.5K 25 0
                                    

Kerana Andi Kamarool lambat menyambung percakapan yang terputus, keresahan datang dalam diri saya. Rupa-rupanya keresahan yang sama juga dialami oleh Mia. Buktinya, dia tidak dapat duduk dengan aman. Sering saja mengaru-garu pangkal leher dan meraba hujung bajunya.

"Andi," saya bersuara.

Dengan segera Andi Kamarool mengangkat tangan kanannya, memberi isyarat supaya diam. Jangan campur dalam urusannya. Lebih tetap dia menyuruh saya membantu. Mia hanya memperhatikan saja gerak-geri Andi Kamarool.

"Kami berdua ada rancangan nak berjalan-jalan di kawasan kampong, di hujung ladang Mia. Kami nak berkenalan dengan penduduk se tempat." Andi Kamarool berhenti bercakap. Dia senyum pada saya dan Mia.

"Kali ini, biar aku dan Tamar makan di luar," sambung Andi Kamarool . Saya anggukkan kepala, setuju dengan apa yang dituturkan oleh Andi Kamarool itu.

Mia tidak memperlihatkan reaksi yang negative. Dia nampak bersahaja menerima kata-kata Andi Kamarool. Cuma hati saya saja yang cemas. Bimbang, kalau dia melenting dan menghalang.

"Eloklah tu, tapi hati-hati. Kalau kamu dengar komen orang kampung tentang aku dan rumah batu, jangan cakap apa-apa. Kamu berdua dengar saja," Mia meluahkan ingatan.

Kami segera mengangguk.

"Tapi jangan lupa makan malam di rumah aku," Mia kemukakan permintaan dalam senyum penuh kemesraan. Angin yang berlegar di ruang tamu menggerakkan anak rambutnya yang terjuntai di cuping telinga kiri.

"Begini Mia," Andi Kamarool membetulkan duduknya, biar selesa dan seronok, begitu jugak saya.

"Apa lagi Andi?" Mia bertanya.

"Terlanjur dah keluar dari ladang kamu, kami nak beli barang untuk makan malam," dalam nada suara keyakinan saya meluahkan kata-kata.

Sesungguhnya, saya sendiri tidak menduga boleh berbuat begitu. Semuanya tidak dirancang, keluardari mulut secara spontan.

"Maksud kamu, mahu masak sendiri," Mia menghalakan sepasang biji matanya ke wajah saya.

"Nampaknya begitulah Mia. Kami juga nak bersembahyang berjemaah Maghrib dan Isyaak dengan orang kampong," Andi yang menyelamatkan keadaan.

Rasa terkejut terbayang di muka Mia. Dia merenung kosong kearah ruang dapur. Macam ada sesuatu yang bermain dalam tempurung kepalanya. Dia senyum sinis.

"Agaknya nak tukar selera, nak makan masakan sendiri. Maklumlah dah kerap sangat makan masakan aku, terasa juga jemunya," Mia bagaikan menyindir. Saya dan Andi hanya mampu tersenyum, tidak mahu memberikan sebarang komentar.

"Aku, harap rancangan kamu dapat berjalan dengan lancar," tambah Mia, dia segera berpusing menuju ke ambang pintu.

"Aku balik dulu, hati-hati masa berjalan dalam kawasan kampong orang," Mia mengingatkan lagi. Dia pun melangkah menuruni anak tangga. Kami juga turut berbuat demikian, tetapi setakat kaki tangga sahaja. Mia pun melangkah pulang, berlenggang penuh sopan.

RANCANGAN

Kira kita jam sepuluh pagi, kami tinggalkan rumah papan menuju ke arah selatan ladang milik Mia. Setelah melepasi pintu pagar yang tidak berkunci, kami memasuki kawasan tanah paya yang menjadi sempadan antara tanah kampong dengan kawasan ladang peninggalan arwah orang tua Mia.

Lebih kurang setengah jam perjalanan, akhirnya kami sampai kekawasan pinggir kampong. Dari situ, kami melalui jalan tanah merah yang agak sunyi.

Kiri kanan jalan penuh dengan pokok-pokok getah. Bila sampai kekawasan perumahan, suasana terasa agak sibuk, kelihatan ada para penduduk menebas kawasan rumah yang kebanyakannya ditanam dengan pokok-pokok buah-buahan seperti betik, rambutan, ciku dan sebagainya.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 14 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now