Bab 193-Daging Pipinya Relai

2.3K 34 0
                                    

  AKHIRNYA, saya mengetahui juga nama pemuda misteri yang menjemput Datuk dan Haji Basilam datang ke rumah pesakit. Nama sebenarnya, Shamsul Anuar tetapi, dipanggil SHAM saja. Kata Haji Basilam, orangnya kacak dan tinggi, berkulit putih kemerah¬merahan. Rambut kerinting berombak. Kerana keistimewaan yang dimiliki tidak hairanlah Sham menjadi pilihan janda tua yang dikelilingi wang ringgit. Dua jam setelah berada di rumah (kira-kira pukul lima petang) Datuk dan Haji Basilam dikejutkan oleh kedatangan Sham. "Ada apa hal Sham?" Tanya Haji Basilam dari muka pintu. "Dia sudah meninggalkan kita," ada kesedihan terpamer di wajah Sham. Datuk segera berdiri di kanan Haji Basilam, mereka saling berpandangan. "Pukul berapa dia mati?" Tanya Datuk. "Kira-kira setengah jam, selepas pakcik berdua meninggalkan rumah." "Sudah kamu beritahu orang lain tentangkematian tu," keluar lagi pertanyaan dari mulut Haji Basilam. "Sudah tapi, tak ada yang datang." "Saudara mara kamu yang terdekat bagaimana? Apa mereka juga tak datang?" "Mereka datang, malangnya tak tahu nak buat apa. Mereka tak tahu nak uruskan jenazah, tak pandai baca Quraan, tak pandai baca yassin. Jadi, saya datang ni, nak minta tolong jasa baik pakcik berdua uruskan jenazah isteri saya. Panggil orang kampung, mereka macam, tak mahu datang," adu Sham dengan wajah yang sayu, penuh kehibaan. Dia begitu setia menunggu di kepala tangga menanti jawapan dari Datuk dan Haji Basilam. Datuk dan Haji Basilam memang bersimpati dengan Sham. Tetapi, dalam masa yang sama mereka terfikir, mengapa jiran tetangga (orang kampung) keberatan memberi kerjasama pada Sham. Andainya, mereka mengambil peranan menguruskan perkara tersebut, apa pula kata orang kampung. "Kami berdua bersimpati dengan kamu. Masalahnya, tentu tidak elok kami membelakangi orangorang disini. Kami hanya pendatang untuk sementara waktu disini. Kalau kami mendahului mereka akan menimbulkan kesulitan pula," dalam nada suara tersangkut-sangkut Datuk memberikan pendapat. Sham, tunduk merenung kami. "Tolonglah saya," Sham terus merayu, "saya yakin, bila pakcik datang ke rumah, orang-orang kampung juga akan datang. Kalau cara ini tidak berjaya, saya minta pakcik berdua jemput mereka." Serentak dengan itu, Haji Basilam dan Datuk menarik nafas dalam-dalam. Dan dalam usahanya meraih simpati dari Datuk dan Haji Basilam, Sham terus duduk bersila di

kaki tangga. Usaha Syam itu berhasil, rasa belas simpati terhadapnya, kian mengunung dihati Datuk dan Haji Basilam. "Pelik, dalam keadaan sekarang, masih ada orang yang tak tahu baca Quraan atau Yassin," bisik Datuk ke telinga Haji Basilam, tiada ungkapan yang Haji Basilam lahirkan, kecuali menggelengkan kepala, tanda kesal. "Begini saja, kamu balik dulu. Biar aku jumpa Pak Imam, minta jasa baiknya, beritahu pada orang kampung tentang perkara ini," itulah janji yang diluahkan oleh Haji Basilam kepada Sham. Ternyata, janji itu amat menyenangkan hatinya. Wajahnya, nampak ceria sekali. "Baiklah," sambutnya sambil bangun, lalu melangkahkan kaki kanan meninggalkan halaman rumah. Sebaik sahaja batang tubuh Sham hilang dibalik liku jalan. Datuk dan Haji Basilam segera bertindak. Dengan serta merta mereka berangkat untuk menemui ketua kampung dan pak imam. "Kalau mereka berdua tak mahu bagaimana?" Datuk bersuara. "Kita pujuk hingga berjaya, perkara begini tak boleh dibuat main¬main," balas Haji Basilam. "Iya, kita pujuk," Datuk memberi sokongan dan mereka mempercepatkan langkah.

CERAH KETIBAAN Datuk dan Haji Basilam disambut oleh ketua kampung dan Pak imam dengan wajah yang cerah. Cara kebetulan rumah ketua kampung bersebelahan dengan rumah Pak imam. Haji Basilam segera menyampaikan berita dan tujuan kedatangan mereka. Meskipun tidak ada kata-kata yang diluahkan oleh Ketua Kampung dan Pak imam tetapi, Datuk dapat membaca keengganan mereka untuk memenuhi permintaan Haji Basilam melalui gerak-geri dan mimik muka mereka berdua. "Bagaimana? kita pergi sekarang," Datuk cuba menguji. "Tapi "Tak baik begitu, melihat dan mengurus jenazah, jadi tanggungjawab orang yang hidup, fardhu kifayah hukumnya. Tidak boleh dibuat ringan. Kalau jenazah tidak disempurnakan satu kampung tanggung dosa, satu kampung ditanya di akhirat kelak," secara sambil lalu Datuk mengingatkan. "Kalau ada apa-apa yang tidak baik, eloklah kita lupakan saja, lagi pun diadah mati," Haji Basilam bagaikan memujuk dan merayu. Buat beberapa ketika, Ketua Kampung dan Pak imam membatu. Akhirnya, serentak mereka gelengkan kepala. "Kenapa?" Tanya Haji Basilam sambil membeliakkan biji mata. "Masa hayatnya, mati hidup orang sekeliling tak pernah mahu ambil tahu. Kenduri kendara orang kampung, tak mahu campur. Dijemput pun tak datang," Ketua Kampung meluahkan suara hatinya. "Lupakan saja perkara yang remeh temeh," Datuk cuba menenangkan keadaan. "Kita kena tunjuk perkara yang baik pada orang lain, kalau kita ikutkan perasaan marah dan benci, kita juga yang rugi. Silap-silap cara orang lain tuduh kita pendek akal," lagi sekali Haji Basilam mengeluarkan komentarnya. "Betul juga cakapnya," ketua kampung renung muka Pak Imam. "Saya belum bersedia, kalau nak pergi, saya kena tukar pakaian dulu," Pak Imam mengaru cuping telinga. Pendiriannya mula berubah. "Saya juga begitu, belum bersedia," balas ketua kampung. "Itu perkara mudah, kami tunggu. Pergilah tukar baju dan kain kamu berdua, ada keriangan bermain di wajah Haji Basilam. Sementara menanti Pak imam dan ketua kampung menukarkan pakaian, datuk dan Haji Basilam

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 14 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now