Bab 192-Mahluk Aneh Usung Mayat

2.1K 27 0
                                    

"APA sakitnya Pak Aji?" Tanya saya ingin tahu. Tiada jawapan dari Haji Basilam. "Apa sakitnya, Pak Aji?".Ulang saya. "Doktor pun tak tahu apa jenis penyakitnya. Begitu juga dengan dukun dan pawang. Seluruh badannya bengkak-bengkak, dari liang roma keluar peluh bercampur darah." "Dah berapa lama dia sakit macam tu?" Andi Kamarool memintas. "Khabarnya, dah hampir enam bulan. Dia berselera mahu makan, bila makan apa yang disuap semuanya keluar." "Kasihan," kata saya lemah. Suasana kembali sepi. Saya terharu dengan penderitaan yang ditanggung oleh lelaki tersebut. Andi Kamarool mengigit bibir, pada hemat saya dia juga berfikir seperti apa yang saya fikirkan. Haji Basilam menggeliat dan meluruskan sepasang kakinya untuk menghilangkan rasa lenguhlenguh sendi. "Semasa sakit itulah," suara Haji Basilam memecah kesepian," dia memberitahu ketua kampung, pak imam dan kadi yang dia mahu mewakafkan sebahagian dari tanahnya yang berpuluh-puluh ekar untuk mendirikan masjid, surau, sekolah agama. Tanah ladang getah dan tanah sawah juga diwakafkan bagi membiayai masjid, surau, sekolah agama serta tenaga pengajar. Hanya, sebahagian kecil saja yang diberikan kepada isterinya." "Orang bergelar dan kaya yang baik hati." saya memberi komen. "Tetapi " Haji Basilam tidak menyambung kata. Wajah kata dan Andi Kamarool direnung tajam. "Kenapa Pak Aji?" Saya terus menyoal "Sebaik saja dia mati dan selamat dikuburkan, keadaan menjadi sebaliknya " Haji Basilam berhenti lagi. Dia menarik nafas sambil melepaskan keluhan kecil. Pandangannya, tertumpu ke arah tingkap yang terbuka lebar. Anak mata menangkap gerakan dedaun ciku yang disentuh bayu pagi. Tindak tanduk Haji Basilam itu mengundang keresahan dan tanda tanya dalam hati. "Apa yang terjadi Pak Aji? cerita Pak Aji terputus-putus." Ungkapan yang dihemburkan oleh Andi Kamarool membuat Haji Basilam tersentak. Sepasang anak matanya, kembali tertumpu ke wajah saya dan Andi Kamarool. "Isterinya." "Kenapa dengan isterinya Pak Aji?". Tanya saya tidak sabar. "Dia melanggar wasiat arwah suaminya yang sudah diberitahu pada ketua kampung, tuan kadi dan pak imam. Dia menafikan yang suaminya membuat wasiat semacam itu." "Perempuan tamak." Andi Kamarool meledakkan kemarahannnya. "Semua harta benda yang diwakafkan itu dijual kepada orang kaya bukan Melayu yang berasal dari Nibung Tebal, Seberang Perai. Kemudian, secara diam-diam sijanda tamak itu menghilangkan diri, membawa wang yang banyak." Haji Basilam senyum sambil mengaru pipi kirinya. "Kenapa dia lari, Pak Aji?" Saya tidak berdaya melawan sabar. "Kaum kerabat arwah suaminya yang tahu keadaan sebenar mula bertindak, mula mengutuknya. Mereka mahu patah-patahkan batang leher sijanda."

"Kemana dia lari Pak aji?" Andi Kamarool pula bertanya Haji Basilam termenung sambil mengkedutkan kening, macam mengingati sesuatu. "Ramai yang mengesyaki dia lari ke Kuala Tungkal di daerah Riau, kerana datuk neneknya berasal dari situ. Bila dicari oleh kaum kerabat arwah suaminya ke tempat tersebut, ternyata dia tak ada disitu," tutur Haji Basilam bersahaja. "Memang, licin dan cekap orangnya," kata saya. "Datuk kamu juga turut mencarinya ke sana. Usahanya sia-sia saja." "Tanah yang dijual macamana?" Andi Kamarool menyoal. "Tanah yang dibeli oleh orang kaya dari Nibong Tebal terus terbiar mejadi belukar. Bila mahu diusahakan atau dimajukan oleh pemiliknya, macam-macam kejadian pelik berlaku. Pernah pembeli datang melawat ke kawasan tersebut waktu siang, diburu gajah liar. Terpaksa lari lintang pukang dan akhirnya jatuh sakit. Berbulan-bulan duduk di hospital, bila sembuh terus jadi gila." "Agaknya si wanita tu lepaskan penunggu," saya beri komentar. "Entahlah, aku sendiri tak berani nak kata apa-apa. Terpulanglah kepada kamu berdua buat tafsiran," Haji Basilam senyum panjang lalu menyandarkan tubuhnya ke dinding. PERSOALAN CERITA yang diluahkan oleh Haji Basilam menimbulkan seribu pertanyaan dan persoalan dalam hati saya. Diri Andi Kamarool saya tidak tahu tetapi, bukan sesuatu yang aneh jika dia juga berfikir seperti apa yang saya fikirkan. Dua tiga kali saya lihat Andi Kamarool melagakan gigi atas dengan gigi bawah. Pada saat itu juga, saya segera terfikir kenapa manusia sanggup menafikan perkara yang sebenar. Kenapa wasiat suami yang baik rela dikhianati oleh siisteri? Barangkali didorong oleh nafsu tamak haloba membuat manusia lupa diri. "Apa yang kamu menungkan? Apa yang kamu fikirkan Tamar?" "Tak ada apa-apa pak aji, tetapi apa yang saya fikirkan kenapa si pemuda itu secara mendadak saja mencari datuk." "Semuanya terjadi secara kebetulan." "Cara kebetulan?". Andi Kamarool seperti terkejut. "Iya," angguk Haji Basilam serius. "Cuba ceritakan pak aji." saya mendesak. Sepasang tangan Haji Basilam menekan pangkal belikat kiri dan kanan. Dia kembali mengaru pipi kiri. Kesempatan itu saya manfaatkan untuk menghilangkan rasa lenguh dipunggung. Saya bangun dan bergerak ke jendela, merenung keadaan diluar dan kemudian kembali duduk untuk mendengar cerita selanjut dari Haji Basilam. "Waktu aku dan datuk kamu berjemah Isyak di masjid, seorang jemaah mengadu pada aku yang anak lelakinya baru berusia setahun, menangis sepanjang malam. Tangisan itu bermula dari waktu maghrib hingga matahari terbit, perkara itu sudah berlanjutan selama tiga bulan. Sudah puas berikhtiar, tidak juga mahu baik, apa yang peliknya bila waktu siang, budak tu tidur lena." "Jadi Pak aji minta datuk si Tamar menolongnya?" Tanya kamarool. "Iya," angguk Haji Basilam. "Datuk setuju?" Muncul lagi pertanyaan dari saya. "Setuju, ikhtiar dan usaha datuk kamu diperkenankan oleh Allah. Dengan segelas air dingin yang disapu ke muka budak tu, dia tidak lagi menangis malam. Dari situlah sipemuda tu mendapat tahu tentang kebolehan datuk kamu. Lalu dia mencuba." "Memang perangai datuk kamu suka menolong orang sakit." sambil komentar, Andi Kamarool menepuk bahu saya. "Itu amal jariahnya," tingkah Haji Basilam yang kamu sambut dengan ketawa.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 14 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now