Bab 184-Pengawal Bertelinga Kuda

1.6K 26 0
                                    

  ANDI KAMAROOL memperlihatkan reaksi yang sungguh berbeza. Dia meluruskan badan, menegakkan kepala. Sepasang matanya bercahaya garang terpanah ke wajah Haji Simpul. Pandangan mereka bertembung, sama-sama tidak mahu mengalah. Hati saya kembali berdebar, bimbang terjadi sesuatu yang tidak diingini. Lebih dari lima minit mereka beradu kekuatan, selama itu jugalah jantung saya berdenyut kencang.

Ternyata dalam pertarungan itu, kekalahan berada di pihak Andi Kamarool. Matanya, berair dan meleleh di cerun pipi. Andi Kamarool tidak mampu menandingi kekuatan anak mata Haji Simpul.

Dengan segera Andi Kamarool mengalihkan pandangan ke arah lain. Dia merenung ke lantai. Suasana dalam rumah terasa sepi sekali. Sukar untuk diramalkan, siapakah di antara kami bertiga akan bersuara lebih awal.

"Bagaimana Andi?" Andi Kamarool panggungkan kepala. Dengan sinar mata yang layu dia renung muka Haji Simpul.

"Apa dia tuan haji."

"Boleh kamu beritahu keputusannya sekarang," kata Haji Simpul.

"Maafkan saya, susah nak buat keputusan. Nanti dululah, tuan haji. Bila sampai masanya, saya beritahu tuan haji."

Jawapan Andi Kamarool itu membuat Haji Simpul mengkerutkan dahi dan termenung sejenak. Macam ada sesuatu yang difikirkannya. Tiba tiba dia senyum sinis sambil merenung keluar, melihat dedaun pisang yang melintuk-liuk ditolak angin rembang.

"Nanti dulu tu, bila Andi?" Haji Simpul minta kepastian. Andi Kamarool terus membisu dan resah. Dua tiga kali dia menelan air liur.

"Seminggu, sebulan atau dua bulan?" Tambah Haji Simpul.

"Nanti, saya beritahu kemudian, tuan haji."

"Tapi...... kamu suka pada Mia."

"Iya tuan haji," angguk kepala Andi Kamarool.

"Mia juga sukakan Andi, tuan haji," sampuk saya. Air muka Andi Kamarool berubah. Dia tersipusipu.

"Perkara tu, saya tak tahu tuan haji," Andi Kamarool gelengkan kepala tanpa mahu merenung ke arah saya.

"Kalaulah cakap Tamar betul, jangan persiakan hajat Mia," tambah Haji Simpul bersama senyum panjang. Penuh makna dan kiasan. Ternyata senyuman yang terukir di kelopak bibir lelaki tua itu, membuat Andi Kamarool menundukkan wajahnya merenung lantai.

SALAH

BILA melihat Andi Kamarool berada dalam keadaan serba salah, saya tersenyum panjang. Andi Kamarool tahu, senyuman saya itu menyindirnya. Buktinya Andi Kamarool, mencubit paha saya sambil menunjukkan penumbuk. Haji Simpul yang nampak gelagat Andi Kamarool ketawa kecil.

"Mahu bergaduh," katanya.

Kami berdua cuma mampu tersenggih saja.

Setelah hampir dua jam berlabuh di rumah Haji Simpul, banyaklah rahsia tentang rumah batu, tentang ladang peninggalan orang tua Mia, kami ketahui. Apa yang kami perolehi tetap menjadi rahsia, tidak boleh disebarkan kepada orang lain. Itu pesan Haji Simpul yang pasti patuhi. Kalau dilanggar, padahnya sedia menanti. Apakah padah yang menanti, tidak pula diberitahu kepada kami.

Saya dan Andi Kamarool segera minta diri untuk pulang. Dengan senang hati Haji Simpul merestui kepulangan kami.

"Silakan, hati-hati dengan orang yang kamu temui. Kalau boleh, rahsiakan kedatangan kamu berdua ke sini jika ada yang bertanya. Kalau tak ada yang bertanya, lagi bagus," dari muka pintu Haji Simpul mengingatkan kami. Apa yang mampu kami lakukan ialah menganggukkan kepala.

Sebaik saja telapak kaki memijak bumi, secara tidak semena-mena hujan panas turun berderai. Kami terpaksa naik ke rumah kembali. Haji Simpul turut merasa hairan dengan peristiwa yang terjadi. Menurutnya, jarang terjadi hujan panas turun mendadak tanpa sebarang tanda. Dia bergegas turun ke kaki tangga lalu mendonggakkan kepala ke langit.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 14 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now