Siri 230-Wanita Berkaki Ikan

2.2K 35 0
                                    

  Sambungan Siri² Bercakap Dengan Jin 

 Keadaan ini membuat saya resah semacam. Rasanya ingin menjerit sekuat hati untuk menarik perhatian datuk. Biar dia tau apa yang sedang kami alami. Tetapi, bila memikirkan keadaan itu akan menimbulkan masalah pada datuk, saya tidak jadi melakukannya. Dalam perasaan yang kacau bilau itu, kulit kepala terasa perit dan pedih. Tiba-tiba Ali Usman mengeluh kecil dan batuk berkali-kali. Saya rasa ini merupakan usaha untuk menarik datuk pada kami berdua. Helai-helai rambut terus jatuh ke lantai. Saya kira kalau keadaan ini berlanjutan lebih dari satu jam. Tidak mustahil kepala saya dan Ali Usman akan botak. Entah mengapa saya jadi marah lalu menghentakkan kaki ke lantai. "Jangan banyak karenah, bertenang dan terus tunduk." tutur da-tuk lantang. "Tengkuk rasa tak selesa." balas Ali Usman. "Jangan membantah." herdik datuk. Saya dan Ali Usman menarik dan melepaskan nafas. Rambut atas kepala terus luruh, bagaikan daun kering. Sekumpulan anai-anai dalam jumlah yang besar bersama bunyi mengaum, macam bunyi lebah, keluar dari bawah tulang selonggok. "Dari mana datangnya binatang ni?" Saya bertanya.

"Bukankah dari anai-anai, jadinya kalkatu," sahut datuk "Iya." balas Ali Usman. "Bila kalkatu tak ada sayap, dia pun jadi anai-anai semula." sebuah penjelasan dari datuk yang membunuh keraguan hati saya. Seperti kalkatu tadi, kumpulan anai-anai ini bergerak menuju ke arah saya dan Ali Usman. Kerana bergerak dalam kumpulan yang banyak. Bunyi kaki kumpulan anai-anai itu jelas kedengaran, macam bunyi orang menarik kertas di lantai papan. Saya dan Ali Usman jadi cemas dan takut. Macam-macam yang saya fikirkan, apakah nasib kami berdua seperti nasib wanita hodoh. Seluruh daging yang melekat di tulang akan menjadi habuan anai-anai. Kerana tidak tahu apa yang harus dilakukan, saya dan Ali Usman pasrah saja. Sungguh mengejutkan, bila kumpulan anai-anai itu, mendekati rambut yang berserakan di lantai entah mengapa, kumpulan anai-anai itu berpatah balik ke arah tulang selonggok. Tetapi, hanya separuh jalan, kumpulan anai-anai itu mencari rekahan papan lantai lalu menyelinap dan hilang darit pandangan kami berdua. "Sekarang luruskan badan kamu berdua," ungkap datuk. Arahannya segera kami patuhi. Rasa lenguh di batang leher mula beransur hilang. Dua tiga kali leher saya pusingkan ke kiri dan ke kanan. Datuk senyum. "Begini" datuk sandarkan badan ke dinding."sebenarnya yang jatuh atas lantai itu bukan rambut kamu. Itu bulu kabung, memang sumpah dan pantang makhluk ja-dian berdepan dengan bulu kabung." sambung datuk tenang. Tanpa membuang masa datuk terus mengambil bulu kabung atas lantai. Dengan tenang dimasukkan ke dalam pundi kecil yang dibuat dari kain hitam. Dan pundi itu dimasukkan ke dalam saku baju sebelah dalam. "Aku rasa selepas ini tak ada lagi hal-hal yang menakutkan. Semuanya sudah sampai penghujung," lemah benar suara datuk. Dia terus duduk di lantai. Tetapi, kami masih berdiri terpacak. "Saya juga berharap begitu" Ali Usman meluahkan rahsia hati. "Terus terang saya katakan, saya dah tak larat," saya mengeluh. "Huummmm...," suara datuk terkulum "Zuuummmm........" Enam biji mata tertumpu ke arah bunyi tersebut, tidak jauh dari longgokan tulang. Kepulan asap nipis muncul dan terus mengelilingi tulang selonggok dalam tempoh waktu kurang dari lima minit, asap nipis itu bersatu. Kemudian asap itu naik menegak menuju ke arah tulang bumbung rumah. HARUM BAU harum bercampur dengan bau kemenyan dan kayu cendana mula menyumbat lubang hidung kami bertiga. Kalau tadi lubang telinga saya disumbat dengan bunyi deru angin dan suara lebah, tetapi, kali ini diasak dengan suara binatang liar. "Ada cubaan lagikah datuk," tanya saya hiba. "Bertenang Tamar," balas datuk. Saya terlihat bahagian lantai yang pecah dan membentuk bulatan seperti telaga yang bersimen, kian jelas kelihatan. Saya juga terdengar bunyi kocakan air telaga yang diikuti dengan suara perempuan bercakap sesuatu. "Telaga buta dalam rumah." Ali Usman terkejut. "Iya," jawab datuk. "Kita tengok apa yang akan terjadi." Sekarang di hadapan tertonggok sebuah perigi lama. Asap yang menjulang ke arah tulang bumbung bergerak perlahan-lahan menuju ke arah bibir telaga yang bahagian tepinya bersimen. Dan dalam sekelip mata permukaan telaga lama tidak kelihatan hilang dalam pelukan asap nipis yang sudah menjadi tebal. Begitu juga dengan longgokkan tulang, hilang entah ke mana.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Sambungan 2)(COMPLETE)Where stories live. Discover now