Siri 234-Dalam Cengkam Pengkhianat

1K 20 0
                                    

  Sambungan Siri² Bercakap Dengan Jin  

Dalam keadaan yang tergamam itu, pandangan tidak berubah. Masih tertumpu ke arah Syed Hamid Al-Hadad yang terkial-kial cuba bangun. Baru saja separuh berdiri, rebah ke bumi. Sepasang kepala lututnya bagaikan tidak berfungsi. Tidak mampu mengimbangi tubuh yang agak berisi itu.

Lelaki berdarah Arab-Melayu itu tidak kenal putus asa. Mencuba dan terus mencuba. Dan lelaki separuh baya amat gembira dengan kegagalan yang terjadi. Wajahnya membayangkan kepuasan.

'Jangan seksa dia." jerit pemandu sekuat hati dari dalam kereta. Jeritan itu tidak diendahkan. Lelaki separuh baya itu bagaikan tidak kisah dengan kami. Matlamat utamanya ialah Syed Hamid Al-Hadad.

Dalam usaha yang tidak putus-putus itu. Akhirnya Syed Hamid Hadad dapat berdiri dengan sempurna. Boleh melambaikan tangan ke arah kami dan melihat langit petang dalam keredupan matahari yang kian menurun kekaki langit.

Lelaki separuh baya yang tersentak dengan keupayaan Syed Hamid Al Hadad segera membuka baju dan melemparkan keatas rumput. Baju dalam yang melekat ditubuhnya sudah berlubang-lubang dan koyak terutama di bahagian ketiak.

'Ahh ...'

Lelaki separuh baya bersuara lantang. Dia melepaskan satu sepakan kencang ke arah muka Syed Hamid Al-Hadad. Andainya sepakan itu mengenai sasaran pasti dua tiga batang gigi bercerai dari gusi. Telinga boleh pekak dan hidung berdarah selain dari muka lebam dan bengkak.

Dalam keadaan yang belum bersedia Syed Hamid Al-Hadad secepat kilat bergerak ke kanan. Merebahkan tubuh atas rumput dan menggolekkan badannya ke arah perdu pokok ara tua yang ada di situ. Kerana sepakan tidak mengenai sasaran. Lelaki separuh baya terdorong ke depan. Tidak dapat mengawal gerakan kaki dan badan lalu tersasar ke arah batu gunung yang sejak berabad berada di situ. Dadanya terdampar ke batu. Dahinya yang terhantukkan batu mengeluarkan darah, mengalir ke kelopak mata dan seterusnya meleleh ke pipi kiri dan kanan.

Buat beberapa ketika lelaki separuh baya tersadai di situ. Memeluk batu gunung dan tidak melakukan sebarang serangan terhadap Syed Hamid Al-Hadad yang tertiarap atas rumput.

"Tamar bersedia, Tuan Syed memerlukan pertolongan," kata datuk.

Bila saya menoleh ke arahnya, Datuk sudah pun membuka membuka pintu kereta dan sebelah kakinya sudah pun memijak tanah

Tindakan datuk mendorong saya dan pemandu membuka pintu kereta.

Datuk lebih pantas bergerak. Dalam beberapa detik saja, kami sudah terpisah agak jauh darinya. Langkahnya secepat kilat mendekati Syed Hamid Al-Hadad yang terlentang merenung langit dan awan gemawan.

CEPAT

Sebaik saja saya dan pemandu mempercepatkan langkah, sayup-sayup terdengar bunyi deru enjin motorsikal. Kami buat tidak kisah. Bila bunyi deru enjin makin lama makin dekat. Kami terpaksa berhenti melangkah dan saling berpandangan.

Datuk bagaikan tidak terusik dengan bunyi deru motosikal, dia terus duduk bertinggung memicit-micit buah betis Syed Hamid Al-Hadad.

Bunyi enjin motorsikal terus menguasai suasana sekitar. Hati saya mula berdebar dan merasakan keselamatan diri berada dalam bahaya.

"Hati-hati Tamar," satu ingatan dari pemandu.

"Iya, " saya anggukkan kepala.

Kerana bunyi deru enjin motosikal semakin kuat dan dekat. Serentak saya dan pemandu menoleh ke belakang. Kami menagalami kejutan buat sekian kalinya.

"Inilah motorsikal yang mengekori kita tadi. Dari mana pula tiba-tiba muncul." sepasang biji mata saya menyorot ke arah motorsikal yang datang. Begitu juga dengan pemandu kereta Syed Hamid Al-Hadad. Nampak resah sungguh.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Sambungan 2)(COMPLETE)Where stories live. Discover now