Siri 238-Terjegil Biji Mata

845 24 0
                                    

  Sambungan Siri² Bercakap Dengan Jin

 Bila melihat keadaan tersebut, saya jadi serba salah. Bimbang kalau lelaki berdarah dahi bertindak ganas. Melakukan perkara yang tidak diduga. Jadi dalam menghadapi suasana begini, harus bersikap tenang dan sabar.

"Masaalah besar Tamar," keras suara si pemandu.

"Kenapa tidak berada di tempat kamu?"saya pula bertanya.

''Aku bimbangkan kamu Tamar."

"Kalau begitu, kamu hati-hati, jangan dekati dia, nanti kau terima akibatnya. Berdiri jauh darinya. Lihat saja apa yang berlaku, jangan banyak tanya dan soal," saya memberika arahan.

"Baiklah, Tamar."

Satu akuan yang sungguh menyenangkan hati.

Buat beberapa ketika, saya termenung. Mencari akal dan helah untuk berdepan dengan lelaki berdarah dahi yang semakin garang mengaum macam harimau.

"Aku mahu menolong kamu, mahu membebaskan diri kamu dari sumpah," kata saya pada lelaki berdarah dahi. Matanya, yang garang dan bersinar macam mata harimau dihalakan kepada saya. Andainya dia melakukan satu lompatan yang agak tinggi kearah saya, pasti seluruh kulit tubuh saya dikoyak-koyaknya

Dan kali ini, saya mempunyai peluang yang baik kerana berada dari sebelah kiri. Dan dari arah tersebut saya mula mengacah. Lelaki berdarah dahi sudah memusingkan tubuhnya dengan pantas. Dia hilang pertimbangan badan, lalu terlayah dan jatuh terlentang. Kesempatan ini saya gunakan dengan sebaik mungkin, Dengan sekali lompat saya sudah berada di sisinya, sedangkan dia pada saat itu terkial-kial mahu bangun. Tanpa membuang masa kayu bercabang dua terus dibenamkan kebahagian perut atas pusatnya.

GHAIB

Bila kayu itu mahu dicabut semula, seperti ada tenaga ghaib menarik dari dalam. Terpaksa bertarung untuk beberapa saat. Usaha saya gagal. Dengan keyakinan yang tidak berbelah bagi bahawa kayu bercabang dua itu boleh dicabut. Saya terus berusaha dan berusaha. Kali ini, tidak menggunakan ayat-ayat al-Quran, sebaliknya menggunakan serapah jampi dan mentera sesuai seperti apa yang diajar oleh Mia pada saya dulu.

"Manusia yang memang bukan dari keturunan manusia harimau tetapi, mahu menjelma jadi manusia harimau boleh ditewaskan dengan mantera dan petua," secara mendadak saja, saya teringat cakap Mia.

Ternyata Mia tidak berbohong. Setelah jampi serapah dibaca, segala-galanya menjadi mudah. Kayu bercabang dua yang terbenam di perut lelaki berdarah dahi dapat dicabut dengan mudah sekali. Saya kembali melompat ke tempat mula-mula melompat tadi.

Andainya lambat melompat, bencana besar mungkin dihadapi. Terutama, bila kuku di jarinya dapat mencakar kulit tubuh saya.

Episod seterusnya, lelaki berdarah dahi terus menjerit dan berguling-guling di tanah. Dia menahan rasa sakit yang amat sangat. Merangkak macam harimau sambil meneran dan mengaum. Kemudian, terus terbujur kaku, cuma kaki dan tangannya saja yang bergerakgerak. Keadaan itu berlansung tidak lama. Kira-kira sepuluh minit saja. Akhir terus kaku dan keras

"Kamu bunuh dia Tamar?"

Jawapan yang diberikan kepada pertanyaan si pemandu, saya jawap dengan mengelengngelengkan kepala. Si pemandu jadi cemas. Lebih-lebih lagi bila saya terus duduk di tanah. Dirinya, tidak saya pedulikan. Sikap bengis terus diperlihatkan. Perlahan-lahan dia menjauhkan diri dari saya. Mungkin dia terfikir saya dalam proses untuk menjadi harimau jadi-jadian.

TIDUR

Hari sudah beransur gelap. Bunyi beburung yang pulang kepohon untuk tidur, boleh dikatakan tidak kedengaran langsung. Begitu juga dengan deru kereta.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Sambungan 2)(COMPLETE)Where stories live. Discover now