#1: 2019 (Part 1)

629 21 2
                                    

Ditulis pada: 31 December 2018 (11.58PM)

Lokasi: Pengerang, Johor.


8 December 2018

"How's your writing work?"

Kami di sebuah kedai sushi di Johor Bahru. Aku sedang menunggu sushi wagyu, yang dikhabarkan sebagai daging paling sedap dalam dunia. Aku tidak pasti, dan aku tidak hendak sangat pun tahu benar atau tidak hikayat itu. Reen pula, mencapai pinggan Tobikko dari tray bergerak.

"Entah," jawab aku.

"Banyak sangat yang nak ditulis sampaikan tak tahu nak fokus pada yang mana," sambung aku lagi sambil kemudiannya ketawa kecil.

Kami tak banyak berbual hal yang lebih intim, dan ini merupakan pertemuan keempat. Selepas menjawab, aku kembali semula membiarkan sunyi mengawal ruang di antara kami. Ini salah aku kerana tidak pernah cuba-cuba membawa perkenalan ini jauh menyentuh hati sendiri. Boleh jadi, ini bukan perkara yang aku mahukan buat masa ini.

Lalu, benda apakah yang aku mahukan ketika usia sudah pun menjejak jauh ke dasar 27 tahun ini?

"Pukul berapa konsert Hujan malam ni?" tanya aku.

Pegawai sunyi memandang aku dengan marah.

*******

Hujan akan membuat persembahan tidak lama lagi. Aku teruja, namun atas sebab yang berbeza. Spaghetti Carbonara dan Beef Nanchos dari Foodtruck Tacoloco sudah siap dan bersedia untuk menemani aku malam ini. Aku curi pandang di hadapan pentas, posisi sama di mana aku tinggalkan Reen sebentar tadi. Wajahnya masih riang dan aku tidak rasa mahu melompat dalam alunan musik dari band yang terkenal semenjak 2008. Lalu aku ambil keputusan untuk meninggalkan dia sekali lagi.

Orang ramai mula bersesakan memasuki ruang di hadapan konsert. Cuma aku saja yang berjalan melawan arus. Sambil di tangan kanan memegang plastik berisi makanan aku tadi. Mata aku meliar, mencari mana-mana lokasi yang mantap untuk duduk. Tidak ada satu pun kerusi yang kosong. Ruang-ruang yang ada pun tidak mesra untuk kau menikmati makanan. Kepala aku pantas teringatkan pada kereta yang aku parkir tidak jauh dari sini.

Ketika berjalan, otak aku menjadi nakal. Bertanyakan beberapa soalan jahat dengan niat entah apa.

Mengapa aku di sini?

Tidakkah lebih baik jika aku di rumah dan menulis?

Aku tidak tahu aku mahu apa sebenarnya. Dalam kebanyakan masa, aku seperti hilang diri sendiri. Satu ketikanya, aku seperti tahu. Dan pada ketika yang lain, aku kembali lemas dalam ketidak percayaan sendiri. Siangnya aku bangun dengan pengharapan. Belum sempat petang, aku sudah pun leka dengan keseronokan jangka masa singkat. Fokus aku bersembunyi, ataupun hilang diculik ketakutan masa lalu.

Masuk ke kereta, spontan aku melihat cermin pandang belakang. Mata aku menangkap sesuatu yang terjadi di rambut sendiri.

Uban pertama.

Teruja dan risau, saling bercampur baur sekaligus memberikan rasa membuak mahu diceritakan hal ini pada seseorang. Ketika itulah aku marahkan pada diri sendiri.

Kau tahu, apa yang paling aku rindukan tentang mempunyai kekasih, adalah betapa seronoknya ada orang yang boleh kau bualkan hal-hal remeh. Seperti uban ini, ianya hal yang remeh. Jika kau ceritakan pada rakan yang paling karib pun, penerimaan itu langsung tidak melegakan. Malah, rasa malu pun ada. Sebabnya? Terlalu remeh.

Tetapi reaksi hampeh ini tidak akan berlaku pada orang yang benar-benar mengambil berat tentang kau. Yang biasanya atas nama cinta. Pantas, aku teringat pada kisah-kisah cinta aku yang lalu.

Ah, kenangan lampau memang kebanyakkannya jahat.

Pantang terleka, ditikamnya jiwa kau. Benda yang sepatutnya kau rasa indah, tiba-tiba menghadiahkan sakit. Semuanya kerana permainan minda yang berdindingkan realiti tetapi berbumbungkan fantasi. Tidak semua yang kau ingat itu betul. Kerana memori kita lemah. Dan kisah lalu itu banyak lompongnya. Jadi (atau nampak) sempurna bila ditampalkan adegan-adegan yang hanya berlaku dalam filem, tanpa kau sedar.

Berbalik kepada isu asal. Kalau kisah-kisah remeh ini tidak diraikan kekasihmu, aku nasihatkan cari saja yang lain. Tapi dengan syarat. Bahawa kau juga sudi melalui kisah-kisah remeh tentang dia. Bukankah sebahagian dari cinta itu adalah tentang selalu memberi? Kau berikan telinga, nescaya kekasih kau akan berikan jiwa.  Sepatutnya.

Terlalu lama aku di dalam kereta. Menatap cermin pandang belakang sambil membelek rambut sendiri. Bau Nanchos dan Spaghetti mula memeluk hidung, minta diberikan perhatian.

Untuk pertama kalinya malam ini, aku tahu apa yang aku mahu.

Sembang Mikael (New)जहाँ कहानियाँ रहती हैं। अभी खोजें