BAB 1

278 7 2
                                    

HAQQ bersandar di balik dinding. Dengan perlahan langkah diatur sehingga ke hujung bangunan. Dia menjengulkan kepala untuk mengintip susuk yang sejak tadi diekorinya. Matanya membulat. Dia terus keluar dari tempat persembunyian. Argh, macam mana dia boleh hilang?! Melilau matanya mencari kelibat yang dicari.

"Kau cari aku ke?" Muncul satu kelibat dari arah belakang.

Baru sahaja dia berpusing ke belakang, satu tumbukan hampir sahaja mengenai pipi. Mujurlah dia pantas mengelak. Namun, kakinya pula tersepak batu lalu dia terjatuh dan bergolek ke lantai. Dia bangun semula. Pandangannya melekat pada wajah yang sedang tersenyum mengejek kepadanya.

Nuh memasang kekuda, tanda dia akan membuat serangan. Satu tumbukan diayun tepat ke muka Haqq. Haqq menahan serangan itu dengan lengan tangan. Dia melepaskan pula tumbukan ke muka Nuh. Nuh mengelak. Pinggang Nuh pula menjadi sasaran. Namun, dapat juga ditahan Nuh.

Mereka terus beradu tenaga sehingga kedua-duanya berhenti kepenatan. Hembusan nafas tercungap-cungap kedengaran daripada kedua-duanya.

"Tuan Megat suruh kau cari aku?" Nuh menegakkan semula badannya.

"Tuan Megat? Kau dah tak anggap dia daddy?" Kecil mata Haqq memandang Nuh.

"Kau pun tahu, Tuan Megat bukan bapa kandung aku." Nuh tersenyum herot. Dia berpusing lalu terus berlari menghilangkan diri.

"Huh!" Haqq mendengus.

SAMPAI sahaja di Restoran Western Forest yang terletak di tingkat bawah bangunan Golden Twin Tower, Haqq membuka zip jaket yang dipakai.

"Kau dah kenapa?" Azrel yang sedang bersandar di kerusi, menggeleng perlahan. Tahu sangat gaya Haqq jika lelaki itu sedang marah.

Soalan Azrel tidak dijawab, sebaliknya Haqq memaut kedua-dua tangannya dan memandang ke depan. Urat-urat tepi kepala timbul saat dia mengetap gigi.

"Pasal Nuh ke? Kau dah jumpa dia?"

"Emm..."

"Dah tahu dia tinggal kat mana sekarang?" Sejak Nuh meninggalkan apartmennya, dia dan Haqq berusaha untuk mencari di mana Nuh menginap sekarang.

"Belum." Haqq mengepal dan membuka penumbuknya berulang kali untuk menghilangkan rasa sakit di bahagian itu.

"Kau bertumbuk dengan dia?" Kening Azrel terangkat sebelah melihat buku lima Haqq yang kemerahan.

"Menyakitkan hati betullah dia tu. Kalau aku tak fikirkan mama, mahu aje aku belasah dia teruk-teruk." Haqq mengacip gigi.

"Kan aku dah kata. Biar aku aje yang intip dia. Lagipun, Nuh tu bukan ke mana pun. Paling tidak pun, dia ada kat bengkel. Bagi aku masa. Aku akan cari kat mana Nuh tinggal sekarang."

Cuaca panas membuatkan tekak masing-masing kehausan. Minuman yang dipesan sudah terhidang di atas meja. Laju mereka menyedut minuman sejuk sehingga tinggal separuh gelas.

"Masalah kau pula macam mana?" Haqq bersandar di belakang kerusi.

"Buat sementara ni, aku dah upah jururawat peribadi untuk jaga ayah aku. Hefti pun dah buat keputusan untuk balik ke Malaysia dan ambil alih bisnes ayah aku. Tapi, tak tahu bila. Kalau dia jadi balik sini, legalah sikit. Sekurang-kurangnya sehingga aku berjaya mencari mak cik aku. Lepas tu, baru aku fikir apa yang aku akan buat dengan BB."

BB atau Blue-Black adalah sebuah syarikat penyiasat persendirian yang diketuai oleh Azrel sendiri.

"Eloklah kalau dah dapat jururawat yang nak jaga ayah kau." Haqq menyedut minuman.

"Kenapa Uncle Megat beria-ia nak kau cari Nuh?" Sudah lama Azrel mahu bertanyakan soalan itu. Cuma, menunggu masa yang sesuai.

"Daddy nak aku pujuk Nuh balik semula ke vila dan ambil semula posisi dia di GG."

GG adalah syarikat hartanah Golden Group yang diterajui oleh ahli keluarga Tengku Ali Imran iaitu datuk Haqq.

"Serius?" Azrel tayang muka terkejut.

Tuan Megat lebih memilih anak tiri berbanding Haqq, anak kandungnya sendiri?!

"Muka aku nampak macam main-main ke?" Jari telunjuk Haqq membuat bentuk bulat di muka sendiri.

"Kau rasa Nuh akan setuju?" Azrel menggosok dagu. Soalan itu lebih ditujukan kepada dirinya.

"Dia sendiri yang tinggalkan GG. Mustahil dia akan ikut cakap daddy." Haqq menghembus nafas.

"Habis tu? Macam mana kau nak bawa Nuh balik ke vila dan GG? Nak-nak pula sekarang ni dia pandang kau macam musuh."

Haqq mengancing gigi. Dia sendiri tidak mengerti mengapa Nuh tiba-tiba bersikap begitu. Bukan sahaja dengan dia, Tuan Megat juga!

"NOPE! Saya tetap nak makan dekat sini!"

Pandangan Haqq dan Azrel beralih apabila mendengar suara itu. Kelihatan seorang gadis sedang bertengkar dengan salah seorang pelayan perempuan di pintu hadapan restoran.

"Sekali lagi saya minta maaf. Saya tak boleh benarkan cik masuk. Tempat ni bukan untuk orang seperti cik." Suara pelayan itu juga sedikit meninggi.

Rata-rata pengunjung restoran itu sudah memandang mereka.

"Awak ingat saya takde duit ke? Kalau saya takde duit saya tak datang sini. Tahu?" Si gadis yang berpakaian bagaikan seorang penjual ikan mencekak sebelah pinggang sambil mengepit topi koboi di bawah lengan kirinya.

"Zarin, kenapa ni?" Halim, pengurus restoran muncul di situ.

Zarin berbisik di telinga Halim, membuatkan perhatian Halim beralih memandang si gadis penjual ikan.

"Cik, sebelum saya panggil polis, lebih baik cik beredar dari sini." Halim memberi amaran.

"Maaf, encik. Dia datang dengan saya. Boleh kami masuk?"

Tiba-tiba muncul seorang gadis cantik yang memakai blaus labuh berwarna ungu dan jean hitam.

"Sampai pun kau, Zirra." Gadis penjual ikan menarik nafas lega melihat gadis yang baru tiba itu.

"Erk... ni kawan cik?" tanya Halim sambil menuding kepada gadis penjual ikan.

"Ya. Saya dah buat reservation," jawab si gadis cantik.

"Maaf, cik. Kawan cik tak boleh masuk ke sini kalau berpakaian macam ni." Halim memandang gadis itu.

"Saya datang sini sebab nak makan. Saya bukan nak buat fashion show." Gadis penjual ikan mendengus.

"Maafkan saya. Ini polisi di restoran ini," tegas Halim.

"Kita makan kat tempat lain ajelah." Redup mata si gadis cantik memandang gadis penjual ikan.

"Tak nak! Aku tetap nak makan kat sini."

"Let's go!" Gadis cantik tetap menarik tangan gadis penjual ikan.


"HEI... hei... Sudahlah. Drama dah habis. Pandang sini." Azrel memetik jari di hadapan Haqq untuk menarik perhatiannya yang masih kaku memandang pintu masuk Restoran Western Forest.

"Kejap." Haqq mengangkat tapak tangan kirinya lalu bangun daripada duduknya dan menuju ke pintu masuk restoran.

Pendrive berwarna merah yang ada di lantai, diambil. Kelibat dua gadis tadi sudah tidak kelihatan. Dia kembali ke meja makan.

"Siapa punya?" Sorotan mata Azrel jatuh pada pendrive di tangan Haqq.

"Perempuan yang mengamuk tadi. Pendrive ni jatuh dari poket dia. Aku ingat nak pulangkan. Tapi, dia pula dah hilang." Haqq merenung pendrive di tangan.

"Tinggalkan ajelah pendrive tu kat sini. Tak pun, bagi aje dekat pekerja restoran ni. Kalau perempuan tu datang sini balik, bolehlah dia orang pulangkan pendrive tu," cadang Azrel.

"Takpelah. Biar aku simpan dululah pendrive ni. Kalau memang ada rezeki perempuan tu, tentu Tuhan akan temukan aku dengan dia."

"Up yo you..." Azrel menaikkan bahu.

BONGKARWhere stories live. Discover now