BAB 9

92 2 0
                                    

SALAH seorang daripada mereka turun dari motosikalnya. Dengan senyuman sinis, dia membuka sarung tangan hitamnya sambil mengayun langkah mendekati Hazel.

Hazel menelan air liur.

"Hei!"

Teriakan itu membuatkan perhatian kumpulan penunggang motosikal itu beralih. Termasuklah Hazel. Masing-masing menoleh pada satu kelibat yang sedang berdiri di lorong sebelah.

"Jauhkan diri daripada dia!" jerit kelibat itu lagi.

"Kau siapa?!" Lelaki yang mahu mendekati Hazel tadi berpusing dan menukar arah.

"Lepaskan perempuan tu!"

"Geng! Hero sudah mari!"

Mereka mula menjerit dan membuat kecoh. Masing-masing menyindir kelibat yang baru muncul itu. Namun, mereka mendiamkan diri apabila lelaki yang mahu mendekati Hazel tadi mengangkat tangannya.

Lelaki itu memberi isyarat tangan kepada salah seorang temannya. Temannya yang mengerti isyarat itu terus mengubah motosikalnya. Cahaya daripada lampu motosikal itu dihalakan pada kelibat itu.

"Hulk Hijau?" Hazel menutup mulutnya dengan tangan.

Haqq menahan silauan cahaya lampu motosikal dengan lengannya.

"Bro, ada berani ke nak lawan kita orang semua ni? Baliklah!" Lelaki yang bertindak sebagai ketua kumpulan itu bersuara.

Mereka yang lain menyokong kata-kata lelaki itu dan mentertawakan Haqq. Mereka kembali membuat riuh. Ada yang menyuruh Haqq berambus dari situ.

"Kau orang lepaskan dulu perempuan tu. Baru kita tengok siapa yang berani dan siapa penakut." Haqq mencabar.

"Wah! Cakap hebat nampak, bro. Kita orang ramai. Lu sorang saja."

Saat itu juga, kedengaran deruan sebuah motosikal. Dari jauh, cahaya motosikal itu semakin mendekati tempat mereka. Sampai sahaja di bulatan yang dibuat oleh kumpulan motosikal itu, sebuah Ninja melonjak tinggi, cuba melepasi halangan yang dibuat oleh kumpulan itu.

Di tangan penunggangnya pula ada sebatang kayu panjang. Dia melibas kayu itu ke arah mereka sehingga memaksa mereka merendahkan kepala dan motosikal mereka untuk mengelak libasan itu. Bulatan yang dibuat oleh mereka terurai. Mudah sahaja bagi penunggang itu masuk ke dalam lalu menghentikan Ninjanya di sebelah motosikal Hazel. Kedengaran kuat bunyi seretan tayar yang berlaga di atas jalan.

Hazel ternganga melihat aksi stunt yang baru dilihatnya.

"Nuh? Kenapa awak ada kat sini?" Hazel cukup kenal dengan Ninja di sebelahnya walaupun tidak melihat wajah penunggangnya.

Lelaki itu membuka cermin fullfacenya lalu terlihatlah sepasang mata. Nuh mengenyitkan mata.

"Awak okey ke?" Nuh menanggalkan helmet.

Mata Haqq mengecil memandang Nuh yang baru muncul. Dia tahu Nuh sentiasa memerhatikan Hazel. Namun, dia tidak tahu atas tujuan apa. Situasi sekarang menunjukkan bahawa Nuh sedang melindungi Hazel.

"Saya okey." Hazel mengangguk.

"Dia bukan seorang diri, bro." Nuh memandang lelaki yang menjadi ketua kumpulan motosikal itu.

"Woo... Takutnya." Lelaki itu berpura-pura takut. Kemudian, mukanya kembali serius. Tajam matanya memandang Nuh tidak jauh daripadanya.

"Bro, kau orang berdua aje. Kita orang ramai. Apa yang kau orang boleh buat?" Mereka semua ketawa lagi.

"Haqq!" Nuh menjerit nama Haqq. Tangannya menarik sebatang lagi kayu yang dibawa lalu membaling kayu itu ke arah Haqq.

Kayu itu melayang laju lalu melepasi kumpulan motosikal itu dan menuju tepat kepada Haqq. Dengan tangkas, Haqq menangkap kayu itu. Tepat dan kemas.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Sep 27, 2019 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

BONGKARWhere stories live. Discover now