BAB 5

84 3 1
                                    

MELANGUT Haqq melirik papan tanda Restoran Larut Malam yang dikelilingi lampu lip-lap berwarna-warni itu.

Sorotan matanya jatuh pada deretan kereta yang terparkir di kawasan itu. Perhatiannya beralih pula pada pengunjung yang ada di dalam restoran dan juga pengunjung yang baru tiba.

"Ramainya manusia..."

"Sana. Dia orang dah habis makan dah tu." Azrel memuncungkan bibir, menunjuk pada sebuah keluarga yang sudah menghabiskan hidangan mereka.

Sebaik sahaja mereka bangun, Haqq dan Azrel terus mengambil tempat mereka. Seketika kemudian, datang seorang pekerja lelaki yang membawa menu dan mengambil pesanan mereka. Sempat mereka memberitahu tujuan mereka untuk bertemu dengan Hazel sebelum lelaki itu berlalu pergi.

"Kalau dilihat daripada jumlah pengunjung dan harga yang dikenakan, aku anggarkan keuntungan bersih restoran ni setiap malam boleh mencapai 20 ribu. Atau mungkin lebih," kata Haqq.

"Tak mustahil." Azrel bersetuju.

"Mengikut informasi yang aku dapat, asalnya restoran ni arwah bapa Cik Amnesia yang punya. Sekarang ni dah menjadi milik isterinya. Restoran ni diuruskan oleh bapa tiri Cik Amnesia, Naza. Naza ni... asalnya adalah pemandu lori. Dulu, hidup dia susah. Tapi hidup dia terus berubah selepas dia berkahwin dengan emak Cik Amnesia," cerita Azrel.

"Tapi sayang... Hidup Cik Amnesia bertukar malang sejak emak dia berkahwin dengan Naza. Menurut maklumat budak-budak aku, Naza dan Cik Amnesia memang tak sebulu. Mereka selalu bergaduh dan emak dia pula selalu menangkan Naza," sambungnya.

Kening Haqq terjongket.

"Cik Amnesia ada seorang adik perempuan, Nabilla. Nabilla adalah anak Naza dan emak Cik Amnesia. Sama seperti Naza, hubungan Nabilla dan Cik Amnesia pun kurang baik. Walaupun Cik Amnesia seorang yang kaya-raya, tapi kehidupan dia tak ubah seperti orang gaji. Berlainan pula dengan Nabilla. Hidupnya ibarat puteri raja."

Kepala Haqq terangguk perlahan.

"Kau tahu apa yang Naza pernah buat sebelum ni?" Azrel meletakkan kedua-dua tangannya di atas meja dan merenung wajah Haqq.

"Restoran ni dulu, pernah hampir dibakar," katanya.

"Serius?" Haqq tayang muka terkejut.

"Naza seorang kaki judi. Disebabkan judi, dia berhutang sebanyak lapan ribu dengan along. Kerana dia tak mampu bayar, Cik Amnesia yang menjadi mangsa. Samseng-samseng tu ugut nak bakar restoran ni. Kerana sayangkan restoran ni, Cik Amnesia bersetuju untuk bayar hutang-hutang Naza. Kalau tak, dia orang nak bawa Cik Amnesia ikut dia orang. Silap-silap, dah kena jual."

"Kejamnya!" Tangan Haqq dikepal kuat.

"Cik Amnesia tak laporkan perkara ni pada polis disebabkan emak dia. Emak dia langsung tak tahu yang Naza main judi. Cik Amnesia tak mahu hubungan dia dengan mak dia menjadi semakin renggang."

"Nuh melindungi Cik Amnesia sebab perkara ni ke?" Dahi Haqq berkerut.

Azrel menaikkan bahu.

"Encik Hulk Hijau."

Pandangan Haqq dan Azrel beralih mendengar suara itu.

"Hai, Cik Amnesia. Jemput duduk." Haqq menarik kerusi di sebelahnya dan memberi isyarat agar Hazel duduk di situ.

Hazel menarik kerusi dan duduk di antara dua orang lelaki yang ada di meja empat segi sama itu.

"Budak-budak saya cakap awak nak jumpa saya. Macam mana awak tahu saya ada dekat sini?" Wajah Hazel penuh tanda tanya.

BONGKARWhere stories live. Discover now