BAB 2

128 4 2
                                    

"EH, itu bukan perempuan tadi ke?" Azrel menyiku Haqq sambil muncungnya menunjuk pada suatu arah.

Pandangan Haqq beralih, memandang dua orang gadis yang sedang menikmati aiskrim di taman yang berhadapan dengan Restoran Western Forest. Dia memberi isyarat agar mereka mendekati dua orang gadis itu.

Setelah berdeham untuk menarik perhatian dua gadis itu, Haqq memberi salam. Dua orang gadis itu menoleh kepadanya serentak setelah salam bersambut.

"Kalau tak silap, cik berdua ni yang datang ke Restoran Western Forest tadi, kan?" Jari telunjuk Haqq menuding kepada mereka berdua.

Dua orang gadis itu berpandangan seketika.

"Maaflah kalau saya mengganggu. Saya cuma nak pulangkan ini." Haqq menghulurkan pendrive merah kepada gadis penjual ikan.

Gadis itu memeriksa poket seluarnya. Matanya membulat dan terus perhatiannya jatuh pada pendrive di tangan Haqq.

"Pendrive saya? Ya Allah... Terima kasih." Pendrive diambil.

"Saya betul-betul tak perasan pendrive ni jatuh. Pendrive ni penting sangat. Nasib baik encik jumpa dan pulangkan semula. Saya terhutang budi dengan encik." Dia tayang muka terharu.

"Eh, apa pula cakap macam tu. Kebetulan aje tu," kata Haqq.

"Apa-apa pun, terima kasih banyak-banyak, encik..." Gadis itu menuding ibu jari kepada Haqq.

"Haqq."

"Haqq? Haqq... Hmm... Nama encik sama dengan nama pengarah eksekutif di shoplot yang kita orang sewa. Kan?" Dia menoleh kepada kawannya.

Kawannya mengangguk.

"Uh? Oh... Sama nama tu perkara biasa." Haqq mengerling Azrel dengan sebelah kening terjongket.

Azrel hanya menjongketkan bahu dan tayang gaya 'entah'.

"A'ah, itu memang perkara biasa. Tapi, semua orang yang menyewa dekat shoplot tu panggil dia The Incredible Hulk. Tapi saya suka panggil dia Hulk Hijau," beritahu gadis itu.

"Shoplot dekat mana ek?" Dahi Haqq sudah berkerut.

"Tu." Gadis itu menuding pada struktur bangunan setinggi 25 tingkat di hadapan mereka.

Golden Twin Tower?! Haqq terus terbatuk.

Hampir sahaja tawa Azrel terhambur. Namun, cepat-cepat dia menyembunyikan tawa itu dengan batuk yang dibuat-buat apabila Haqq mengerlingnya.

"Ada apa-apa yang istimewa ke? Boyfriend?" Haqq mengibas-ngibas leher baju. Tiba-tiba sahaja terasa panas.

"Eh, takdelah." Gadis itu menggawangkan tangannya, menafikan apa yang dikatakan Haqq.

"Pernah jumpa orangnya?" Haqq mencekak sebelah pinggang.

"Tak pernah pun." Gadis itu menggeleng.

"Kalau dia awak panggil Hulk Hijau, agaknya saya ni Hulk apa pulak ya?" tanya Haqq. Giginya diketap.

"Hulk Hogan." Laju gadis itu membalas dengan nada gurauan.

"Pandai buat lawak ek." Haqq pura-pura ketawa. Dia melirik Azrel yang sedang memberi isyarat tangan agar dia tetap bertenang.

"Maaflah. Saya bergurau aje. Kalau bukan Hulk Hogan, Hulk apa ya?"

"Haqq Zulkarnain. H-A-Q-Q."

"Ah... Haqq Zulkarnain." Terangguk-angguk kepalanya menyebut.

"Awak nak tak kalau saya ofer awak kerja? Nanti awak boleh makan dekat restoran tadi tu." Haqq senyum segaris.

"Awak ingat saya ni penganggur ke?" Wajah gadis itu bertukar tegang.

BONGKARWhere stories live. Discover now