BAB 1

2.8K 30 0
                                    

SUASANA di Apple's Cafe meriah dengan para pengunjung. Kafe yang kecil, tetapi sentiasa penuh dengan pelbagai pengunjung.

Kelihatan seorang gadis berbaju T-shirt ungu, seluar hitam, apron hitam, kasut hitam, serta topi hitam mengelap sebuah meja yang terletak di luar kafe. Rambut panjang disanggul dan disimpan kemas ke dalam topi.

"Mina!"

Gadis itu terus menoleh dengan tangan masih mengelap meja. Pantas saja dia mengukir senyuman sebaik saja melihatkan kawan sekerjanya yang bertudung hitam dan berpakaian sama sepertinya, namun tanpa topi itu. Di tangannya terdapat sebatang penyapu dan dia mula menyapu di sekitar meja itu.

"Dea," tegurnya sebelum habis mengelap meja.

Tangannya terus saja mengangkat dulang hitam berisi piring dan gelas kosong yang berada di atas meja itu.

"Uits, Mr. Beast dah sampailah," bisik Dea ke tepi telinga Amina sambil matanya memerhati seorang lelaki yang duduk menyendiri di tepi cermin tingkap di dalam kafe itu.

Mendengarkan kata-kata Dea, Amina terus menoleh. Dia nampak lelaki yang digelar Mr. Beast oleh mereka berdua, sedang duduk membaca buku sambil menghirup americano.

Dia yakin minuman yang diminum lelaki itu adalah americano kerana setiap kali ke situ, minuman itu saja yang dipesannya. Tiada minuman lain. Dan lelaki itu akan membaca tanpa mempedulikan orang di sekelilingnya.

Mata Amina beralih ke jam tangan hitam di pergelangan tangan kirinya. Tepat jam 4.00 petang. Bibirnya tersenyum lagi.

"Tepat pada masa," gumamnya sendiri.

Dea terus menoleh, memandangnya Hairan.

"Kau cakap apa?"

Dia kurang dengar apa yang diperkatakan oleh kawan baiknya itu disebabkan terlalu asyik memerhatikan Mr. Beast.

"Tak ada apa-apa. Aku cakap kat diri aku sendiri aje. Aku masuk dalam dulu eh."

Amina terus beredar dengan dulang tadi sebelum Dea membalas kata-katanya.

Amina melangkah masuk ke dalam kafe dan melalui meja Mr. Beast dari belakang. Sempat juga matanya curi-curi menjeling buku yang dibaca lelaki itu. Hmm, novel Inggeris. Dia nampak satu perkataan iaitu pain di bahagian atas muka surat buku itu.

Agaknya novel kisah misteri yang sedang dibaca oleh lelaki itu. Yalah, Mr. Beast ni kan misteri orangnya. Bukan setakat misteri saja, tapi dingin juga orangnya.

Masih segar di mindanya apabila dia pernah tersilap menumpahkan americano ke atas buku lelaki itu beberapa minggu yang lalu. Kesilapan itu terjadi apabila dia terlalu asyik memandang buku yang dibaca oleh lelaki itu. Reaksi yang dia dapat ketika itu hanyalah renungan tajam tanpa kata sebelum lelaki itu cepat-cepat mengelap bukunya.

Sejak hari itu, Amina hanya menerima renungan tajam saja daripada lelaki itu. Disebabkan itulah, lelaki itu mendapat gelaran Mr. Beast. Karakternya lebih kurang macam Beast dalam cerita Beauty and The Beast. Dingin dan misteri.

Tapi, Mr. Beast ini tiada suara pula. Jadi, tahap kegarangannya tidak dapat ditafsir kerana lelaki itu gemar membisu saja.

"Hai, Cik Mina. Macam biasa ya," pinta seorang lelaki berwajah Cina yang baru muncul di depan kaunter sebaik saja Amina masuk ke situ.

"Okey, Encik Umar," balas Amina sambil tersenyum lalu menyambut not RM10 yang dihulurkan oleh Umar.

Kemudian dia memulangkan baki RM1.

"Tunggu sekejap ya," ujar Amina lalu dengan pantasnya membancuh segelas hot chocolate.

Gadis berjubah hitam dan berselendang kuning cair yang sedang berdiri di belakang Umar terkesima mendengarkan Amina memanggil lelaki di hadapannya itu dengan nama tersebut.

BIAR HANYA AKUWhere stories live. Discover now