BAB 2

1.5K 29 2
                                    

AMINA berdiri menunggu di sebalik tiang besar yang terletak di bahagian kiri pintu utama Bina Holdings sambil memerhati para pekerja syarikat yang baru habis bekerja dan berpusu-pusu keluar. Cuaca kelihatan mendung saja dari tadi menandakan hari bakal hujan.

Dia nekad untuk berdepan dengan Alif hari itu juga untuk mengetahui sebab sebenar lelaki itu memutuskan hubungan mereka. Dari hari itu dia menunggu di luar Bina Holdings dengan penuh harapan, namun hampa kerana kelibat Alif langsung tidak kelihatan.

Dia nampak kereta Alif di kawasan parkir yang terletak di sebelah kanan bangunan syarikat itu. Namun hatinya tertanya-tanya juga mengapa Alif tidak kelihatan di mana-mana.

Dia menunggu sehingga hampir maghrib pun lelaki itu tidak juga muncul. Mahu menelefon pun bukannya lelaki itu mahu menjawab panggilannnya apatah lagi membalas WhatsAppnya.

"Cik cari siapa?" tegur pak cik yang beruniform pengawal keselamatan.

Amina tersentak lalu memandang pak cik itu.

"Kawan," balasnya sambil tersenyum.

"Boleh pak cik tahu siapa? Bukan apa, dah beberapa hari pak cik tengok kamu tunggu kat sini, tapi tak jumpa siapa-siapa. Mana tahu pak cik boleh tolong kamu panggilkan kawan kamu tu," ujar pak cik bertag nama Murad itu.

"Saya cari Alif. Alif Rizman. Pak cik kenal tak?"

Dahi Murad berkerut seketika sebelum menjawab, "Ooo... anak bos kan? Kenal. Pak cik baru nampak dia berjalan ke tempat parkir sana."

Amina terkejut sebelum pandangannya beralih ke kawasan parkir.

"Ye ke? Saya tak nampak pun tadi. Terima kasih pak cik. Saya minta diri dulu."

Tanpa berlengah lagi, Amina cepat-cepat menuju ke kawasan parkir. Dalam hatinya berdoa semoga Alif belum pergi lagi. Matanya terbuka luas apabila terpandangkan belakang badan Alif yang baru saja membuka pintu keretanya. Langkah kakinya semakin dilajukan.

"Alif!" panggilnya sebaik saja berdiri di belakang lelaki itu.

Terangkat bahu Alif mendengarkan panggilan itu. Dia terus memusingkan badannya ke belakang. Terus berubah raut wajahnya apabila melihatkan Amina sedang memandangnya dengan perasaan yang sukar digambarkan.

"Mina. Mina buat apa kat sini?" Mendatar saja suara Alif menanya, seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Nafas Amina bagaikan mahu terputus saja melihatkan sikap selamba lelaki itu. Boleh lagi dia tanya soalan itu sedangkan sudah nyata lagi bersuluh sebab apa dia datang berjumpa lelaki itu.

"Alif tahu kan sebab apa Mina datang ni. Kenapa Alif langsung tak nak jawab telefon dan balas WhatsApp Mina? Mina perlukan penjelasan daripada Alif. Kenapa..."

Ayat Amina terhenti sebaik saja suaranya mula bergetar. Bergetar menahan rasa sedih dan pada masa yang sama geram. Matanya sudah bergenang dengan air mata. Namun, dia nekad tidak akan menangis di hadapan lelaki itu lagi.

Perlahan-lahan dia menarik nafas dalam-dalam sebelum menyambung ayatnya. Muka Alif yang penuh bersahaja itu dipandang.

"Kenapa Alif putuskan hubungan kita? Kenapa Alif tinggalkan Mina?" Akhirnya berjaya juga dia meluahkan soalan yang sering kali diutarakan.

"Alif tak ada jawapan untuk itu. Suatu hari nanti, Mina akan tahu juga sebab apa Alif terpaksa buat macam ni. Maafkan Alif. Alif tak ada apa-apa nak dicakapkan lagi sekarang ni. Mina baliklah dan terimalah keputusan ni dengan hati yang terbuka. Alif doakan Mina akan dapat lelaki yang lebih baik daripada Alif nanti."

"Senang Alif cakap macam ni kan? Senang sangat ke hati nak bertukar ganti untuk orang lain? Alif tahu sangat kan, Mina hanya sayangkan Alif seorang. Tiada lelaki lain. Lima tahun, Alif. Lima tahun. Untuk apa Mina bersama Alif selama ni, tapi ini jawapan yang Alif bagi? Alif ni dah kenapa?

BIAR HANYA AKUWhere stories live. Discover now