BAB 6

1K 20 0
                                    

"MAK!"

Wanita yang sedang sibuk menyusun pisang goreng di atas dulang sederhana besar itu terus mengangkat mukanya apabila seorang gadis memanggilnya. Air mukanya berubah ceria melihatkan gadis itu.

"Mina, Mina buat apa dekat sini?" soal Zainab sambil menyambut huluran tangan anak sulungnya itu.

Amina tersenyum sambil tunduk mencium tangannya. Zainab terus mendakap erat tubuh tinggi dan kurus Amina itu. Terus hilang rasa penatnya sebaik saja melihat Amina.

"Rindunya kat mak," ujar Amina penuh gembira.

Wajah Zainab yang kemerahan disebabkan terkena bahang matahari dan minyak panas itu dipandang penuh kasih.

Zainab tersenyum lebar. Senang hati.

"Mak pun rindu dekat Mina. Alahai... baru aje jumpa pagi tadi dekat rumah dah rindu ya? Kerja okey?"

"Mestilah. Mina mana boleh jauh daripada mak. Kerja okey aje. Mak janganlah risau. Patutnya Mina yang tanya mak soalan ni sebab mak nampak macam tak sihat aje," kata Amina lalu meraba dahi Zainab.

Hatinya tersentak. Zainab cepat-cepat menolak tangannya dan terus berpaling ke kuali yang berisi pisang yang masih dalam proses gorengan. Amina menghampirinya dan berdiri di sisi Zainab.

"Haba minyak panas ni buat muka mak rasa panas aje setiap hari. Itu yang Mina rasa panas kat dahi mak tadi," beritahu Zainab sambil tangannya cekap membalikkan pisang goreng itu.

Kemudian, dia membuka kulit pisang dan membelah dua pisang itu sebelum diletakkan ke dalam adunan tepung.

Amina tunduk, memandang kaki emaknya yang kurus, berkedut dan juga timbul urat. Jelas sekali kaki itu berdiri sepanjang hari di gerai untuk menggoreng kuih dan melayan pelanggan yang datang.

Bukannya Amina tidak tahu emaknya itu memang jenis tidak mudah duduk diam di gerai itu, apatah lagi ketika berada di rumah. Ada saja yang dia kerjakan walaupun sedang bercuti. Dia pandang tangan emaknya pula. Sama. Akhirnya dia pandang wajah emaknya. Sama.

Sungguh pedih hatinya melihatkan wajah emaknya yang sudah semakin dimamah usia sebelum masanya kerana terlalu kuat bekerja untuk memastikan mereka dua beradik cukup makan, cukup pelajaran dan cukup pakai.

Sudah sepuluh tahun Zainab bekerja keras begitu selepas suaminya, Zamri, terkorban dalam kemalangan jalan raya ketika baru pulang daripada solat subuh di surau.

"Esok mak tutup gerai ya?"

Demi mendengarkan kata-kata Amina, tangan Zainab berhenti membuka kulit pisang. Mukanya menunjukkan rasa hairan.

"Kenapa?" soalnya ingin tahu.

"Mak cutilah. Mina dapat gaji pendahuluan untuk kerja part time Jumaat ni. Dah tak payah risau untuk yuran dan buku Ejad tu. Jadi, esok Mina nak bawak mak dan Ejad keluar makan. Jalan-jalan. Dah lama dah kita tak keluar jalan-jalan kan?"

Zainab terkedu.

"Kerja part time apa tu, Mina?" soal Zainab ingin tahu.

"Nantilah Mina beritahu dekat rumah. Customer dah datang tu. Mina ke depan dulu."

Amina segera ke meja depan dengan muka yang manis dengan senyuman menyambut kehadiran dua orang pelanggan yang datang untuk membeli di gerai kuih-muih Zainab itu. Zainab kembali menyambung kerjanya.


MATA Amina menyoroti langkah lelaki yang sejak tadi mencuri tumpuannya. Ketika itu dia berada di MPH Mid Valley menemani Zainab yang mencari buku resipi kuih-muih tradisional.

"Mak, Mina ke bahagian sana kejap. Mak tunggu sini tahu. Nanti Mina datang sini balik," ujar Amina, lalu melangkah, mengikuti lelaki tadi.

Zainab hanya memandang Amina yang sudah melangkah pergi. Dia terus menyelak buku resipi yang menarik perhatian.

Penuh berhati-hati Amina mengikut langkah lelaki itu. Langkah lelaki itu berhenti di depan rak yang terletak novel Inggeris non fiction. Mata Amina terbeliak melihat lelaki itu mencapai salah sebuah novel cinta di situ.

Oh, suka juga baca kisah cinta Mr. Beast ni. Dia mengintip Noh di sebalik hujung rak buku itu dengan fikiran penuh persoalan.

Noh menyelak novel Inggeris yang baru dicapainya dari rak buku. Khusyuk dia membaca isi muka surat pertama novel. Namun, buat seketika waktu, dia tersedar apabila menyedari seperti ada seseorang yang sedang memerhatinya di sebalik hujung rak.

Mata tajamnya memerhati siapakah gerangan si pemerhati. Dia mengerutkan dahinya apabila melihat gadis yang sangat dikenalinya itu. Ketara sekali gerak-geri gadis itu yang nampak takut jika dia menyedari kehadirannya. Macamlah dia tidak nampak gadis itu. Main sorok-sorok pulak dia.

"You nak cakap apa-apa dengan I ke?" Noh sudah mula bersuara tanpa memandang ke hujung rak.

Sepi, tiada balasan.

"You nak apa?" Kali kedua dia menyoal dengan nada sedikit kuat apabila tiada balasan.

"I nak you diam. Tak nampak ke orang tengah membaca? Kalau bercakap dengan hantu tu, pergilah jauh-jauh. Isy."

Noh tersentak apabila mendengar suara seorang perempuan. Dia terus menoleh ke kiri. Seorang perempuan berusia dalam lingkungan 30-an sedang duduk di lantai dengan sebuah novel di pangkuannya. Nampak bengang saja muka perempuan itu.

Noh terkedu sebelum menoleh ke kanan. Dia terus bergegas ke hujung rak itu. Dia terpanar. Kosong saja di situ.

Isy, mana pulak budak tu? Bikin malu aku aje cakap seorang diri tadi. Tak fasal-fasal kena marah dengan orang.

TERASA semput pula nafas Amina setelah memecut dari rak buku tadi. Mujur dia sempat melarikan diri ketika lelaki itu mula bertanya. Fuh, rasa mahu gugur jantung ini. Habislah dia kalau terpaksa berdepan dengan lelaki itu tadi.

Dalam hati berdoa supaya lelaki itu tidak mengecam mukanya.

"Mina, kenapa dengan Mina ni? Macam baru lepas maraton aje," tegur Zainab yang muncul dengan dua buah buku resipi di tangan.

Amina tersentak. Terkejut dengan kemunculan emaknya. Dia terus mengurut dadanya yang masih dilanda ribut taufan. Mati-mati dia ingatkan Noh menemuinya di situ.

"Mak, mak dah selesai tengok buku?" tanya Amina pantas sambil mata melilau memerhati persekitaran. Takut.

Zainab menunjukkan kedua-dua buku itu.

"Dah. Yang ni macam menarik aje."

"Jom, mak."

Tanpa berlengah, Aminamenarik lengan kiri Zainab dan membawanya ke kaunter. Dia tidak mahuterserempak dengan Noh sekiranya masihberlama-lama di situ.

BIAR HANYA AKUWhere stories live. Discover now