BAB 5

1K 23 0
                                    

NOH berdiri di depan kaunter kafe sambil memandang dua orang pekerja kafe yang sedang rancak berborak. Salah seorang daripadanya menyedari kehadirannya sebelum yang seorang lagi menoleh.

Terkocoh-kocoh Amina menghampiri kaunter. Kedua-dua belah hujung bibirnya sudah dinaikkan ke atas sambil mata menatap muka Noh. He's here!

Terasa mahu meletup hatinya apabila menatap wajah tampan Noh secara dekat. Sempat matanya melihat sut lengkap kelabu yang dipakai oleh Noh hari ini. Kalau bukan warna biru, kelabu atau hitam yang sering menjadi pilihan Noh. Memang Amina sudah dapat menghafal semuanya.

Suka benar dia melihat gaya Noh yang nampak kemas dan rapi sepanjang masa. Belum ditambah dengan wangian yang dipakai oleh Noh yang cukup membuatkan hati Amina terbuai.

"Hai!"

Umar muncul di sisi Noh sekali gus mematikan suasana sunyi antara mereka.

"Hai," balas Amina setelah tersedar.

Ah, boleh pula dia mengelamun saat menikmati keindahan rupa paras Noh.

"Uncle nak americano macam biasa ke? Atau nak minuman lain?"

Umar mula menjadi tukang mengambil pesanan daripada Noh.

Amina menarik nafas lega dalam diam. Mujurlah ada Umar. Kalau tidak, sampai ke malam lidahnya kelu. Dahsyat sungguh penangan aura dingin Noh terhadap dirinya.

"Americano. Three shots of espresso. Kali ni with ice."

Sebaik saja menghabiskan kata-katanya, dia terus menuju ke meja. Meninggalkan Umar yang masih belum membuat apa-apa pesanan.

"Haih..." Tanpa sedar Umar mengeluh sebelum tersengih-sengih memandang Amina.

"Aaa... Iced americano with three shots. I pula nak green tea frappucino. Saiz grande."

Dea yang dari tadi menjadi pemerhati, terus membuat air setelah mendengar pesanan Umar.

"Ada apa-apa lagi yang nak ditambah?"

"Itu aje. Uncle I tak lama lepak sini kut. Dia ada hal nanti. I sebagai setiausaha dia, kenalah ikut dia ke mana-mana."

"Oh, you bekerja dengan uncle you?"

"Yup. Hanya I aje yang dapat tahan bekerja dengan uncle tu. Opps, terlebih cerita pula fasal dia. Jangan beritahu dia, eh. Karang I pula yang dapat susah. Oh, berapa harga semuanya?"

Mata Umar menatap pada skrin penyata. Ditariknya not 50 dan diserahkan kepada Amina. Amina menyambutnya dan segera memulangkan baki.

"Terima kasih. I duduk dulu ya."

Amina angguk sambil tersenyum.


MATA Amina melekat kepada Noh yang sedang menundukkan muka, fokus merenung skrin iPad. Hairan apabila lelaki itu tidak membaca buku seperti kebiasaannya.

"Terima kasih, Cik Amina," ucap Umar setelah Amina menghantar minuman mereka.

Dia sedar pandangan Amina yang terarah kepada Noh.

"Kenapa? You ada sesuatu nak dicakapkan pada Uncle Noh ke?"

Mendengarkan kata-kata Umar, Noh mengangkat mukanya. Dia memandang Amina yang nampak kalut. Belum ditambah dengan rona pipinya yang semakin merah.

"Yes?" soal Noh apabila melihatkan Amina yang hanya mendiamkan diri.

Gadis itu nampak teragak-agak untuk menyuarakan sesuatu. Noh mula memeluk tubuh sambil matanya tidak lepas merenung Amina. Masih sabar menunggu.

BIAR HANYA AKUWhere stories live. Discover now