Bab 2 √

1.8K 115 38
                                    


KEPALANYA yang masih pening diusap seketika. Sejak dua hari setelah pulang dalam hujan saat habis berjualan, gadis itu demam dengan suhu badan yang agak panas. Sang ibu di sisi tidak lekang menemani. Dua hari ini, gerai kecil milik mereka di bawah pohon rendang tidak jauh dari rumah mereka tidak dibuka.

Latifah, si ibu yang kini menjangkau usia 48 tahun itu sedang menunggu sang anak terjaga dari tidurnya. Demamnya sudah agak kebah setelah diberi penadol dan ubat kampung yang dibuatnya sendiri.

Dahi Ainnara, anak gadisnya yang terbaring lesu itu dijamah. Sudah suam-suam kuku namun dia kelihatan agak lelah kerana seharian membantu kudratnya yang tua berjualan di gerai kecil milik mereka berdua.

Seketika pula, tangan Ainnara diraih. Diusap manja tangan mulus anaknya itu yang kini tidak lagi selembut dulu. Kelihatan timbul urat hijau di kekura tangannya. Ainnara sudah kelihatan sedikit kurus dari sebelumnya.

Gadis itu kurang makan, kurang tidur tapi rajin bekerja walaupun dia kurang sempurna. Dia rajin membantu Latifah di gerai menguruskan jualan mereka. Walaupun Ainnara tidak mampu untuk berusaha sendiri, namun semangatnya kuat untuk berdikari.

Ainnara membuka matanya perlahan saat menyedari tangannya terasa sejuk dari pegangan sang ibu. Senyum dia ukir.

"Ibu..." Tangan Latifah dipegang. "Ibu nak apa? Maaf ya, ibu. Nara ngantuk sangat."

"Takde apa. Ibu cuma jenguk kamu. Kamu bukan ngantuk, Nara. Kamu tu penat sangat. Tidurlah. Hari ni kita tak buka gerai lagi. Hujan lebat kat luar tu. Kalau buka pun takde orang datang beli. Kamu pun susah nak bergerak nanti."

Ainnara bingkas bangun. Tangan Latifah tangkas membantu. Gadis itu memperbetulkan posisi duduknya. Kepalanya diraba seraya pin rambut yang terasa tidak kemas dibetulkan semula.

Setelah itu, tangan Ainnara meraba tepi bantal miliknya. Berkerut mukanya dengan kening yang hampir bertaut.

"Ibu!" jerit Ainnara mengejutkan Latifah.

"Kenapa?"

"Kotak kecil yang ada kat tepi bantal ni mana?" Tangan Ainnara meraba-raba sekitar tepi bantalnya lagi.

"Oh! Ibu letak dalam laci almari tu ha. Ada apa dalam tu?" Latifah kerut kening.

"Ibu, bawa ke sini. Jangan simpan. Letak sini ibu! Nara nak kotak tu. Ada barang penting dalam tu."

"Haish, kamu ni. Apa yang penting sangatnya? Kotak tu berhabuk ibu tengok tadi."

"Bagi Nara ibu kotaknya. Nara nak kotaknya sekarang! Jangan buka, ibu. Nara tahu kalau ibu curi-curi buka."

"Ha, yalah! Tunggu. Ibu ambilkan." Latifah bingkas bangun seraya menuju ke sudut almari di hujung dinding. Lacinya dibuka. Kotak itu dipandang penuh curiga.

Sekilas dia berpaling melihat Ainnara yang kelihatan gelisah di tempatnya. Setelah berfikir, dia tidak jadi membuka kotak itu. Dia yakin di dalamnya pasti cuma barang kesayangan anak gadisnya itu. Paling-paling pun koleksi pin rambut yang sering ditukar ganti menghiasi rambut hitam panjangnya.

"Ibu, cepat. Bagi Nara kotaknya."

"Ya, ya... ibu datang ni!" Terkocoh-kocoh Latifah datang menghampiri Ainnara seraya menghulurkan kotak yang diminta. "Ini."

Ainnara cepat-cepat mengambil kotak itu seraya memeluknya kemas. "Ibu jangan ambil. Jangan letak kat tempat lain. Biar kat sini saja. Nanti senang Nara nak ambil. Ibu janji."

"Ya, ibu janji..." Latifah geleng kepala. "Hmm... sudahlah. Ibu nak ke dapur. Nara rehatlah. Tak payah tolong ibu. Hari ni lauk kita dah habis. Ada telur je. Ibu masak ringkas saja."

SAYO-NARA [CETAK]Where stories live. Discover now