Episode 16

156 81 9
                                    


Cinta pertama takkan dapat dilupakan walau sampai bila-bila kerana pahit manis kenangan yang tercipta, itu yang pertama lekat dalam minda.

🌹🌹🌹

Aku keluar dan menutup perlahan pintu bilik Dr. Hisham dan mula mengatur langkah longlai menuju ke kaunter farmasi untuk mengambil ubat yang telah dipreskripsikan.

Atas nasihat Dr. Hisham aku harus mengambil ubat-ubatan tersebut untuk mengawal kondisi jantungku daripada terus membengkak dan diminta sebulan sekali datang berjumpa dengannya untuk pemeriksaan susulan.

Patutlah sejak kebelakangan ini bahagian dada sebelah kiriku selalu nyeri dan nyilu. Ada masa tertentu aku merasakan degupan jantung tidak sekata, senang berasa lelah, naik tangga ke bilik atas di rumah sendiripun sudah tercungap-cungap.

Adakalanya, kalau cuaca panas terik terasa sesak nafas dan baru-baru ini aku perasan keadaan kakiku kedua-dua belah selalu membengkak jika duduk ataupun berdiri terlalu lama, tangan juga sering berasa kebas.

Paduhal ini petanda bahawa jantungku bermasalah. Tidak pernah terlintas diminda, aku akan menghidap penyakit yang boleh mencabut nyawaku pada bila-bila masa.

Tiada sesiapa yang minta dirinya ditimpa penyakit namun aku sudah menerima keadaan ini dengan positif. Cuma yang menjadi kerisauan aku saat ini adalah anak-anakku yang masih kecil. Apakah yang akan terjadi kepada mereka jika aku sudah tiada nanti?

Sedang asyik aku melayan fikiran sambil kaki melangkah terus menuju ke tempat duduk di kaunter farmasi.

"Eh, adik ni Suziana kan?"

Aku segera menoleh ke arah suara yang menyapa. Seorang wanita dalam lingkungan umur awal 40-an sedang tersenyum duduk di kerusi bersebelahan denganku. Dia lalu mengulurkan jari dan kami bersalaman. Aku cuba mengingati siapakah wanita itu tetapi kotak memoriku langsung tidak menyimpan rekod mengenai siapa wanita ini.

Aku mengamati wajahnya cuba untuk mengingati sebaik mungkin namun masih gagal tetapi suaranya seakan pernah aku dengar sebelum ini cuma aku tidak pasti dimana. Dari raut wajah wanita ini hatiku dapat merasakan yang orangnya baik.

"Pasti adik tidak ingat siapa akak," katanya, di bibir masih menguntum senyum.

"Maafkan saya kak, memori tak kuat. Biasalah kak, semakin meningkat umur ni semakin pelupa," jawabku berseloroh.

"Maafkan saya sekali lagi, akak ni siapa? Macam mana boleh kenal dengan saya," tanyaku bertalu-talu.

"Nama akak, Waniya. Panggil saja Kak Wani," wanita itu memperkenalkan diri. Seperti pernah aku dengar nama itu tetapi...

"Akak yang jumpa adik pengsan di dalam kereta tempoh hari. Nasib baik ramai yang datang membantu akak mengeluarkan adik keluar dari dalam kereta," jelas Kak Wani.

"Oh, Kak Wani, awak Kak Wani?" tanyaku inginkan kepastian. Wanita itu mengganguk.

Dengan segera aku memeluk wanita itu, "Terima kasih sangat-sangat kak sebab akaklah nyawa saya selamat," aku sungguh terharu, walaupun aku belum mengenali siapa sebenarnya Kak Wani secara peribadi, namun aku berhutang budi dengannya.

Hati nuraniku percaya bahawa Kak Wani hadir dalam drama kehidupanku bukan secara kebetulan melainkan kehadirannya adalah tepat pada waktunya. Kami sama-sama berpelukan, dapatku rasakan kehangatan kasih yang terpancar dari dalam dirinya.

"Selama ini saya tertanya-tanya siapakah wanita yang telah menyelamatkanku pada waktu kejadian dan hari ini persoalan itu telah terjawab," ujarku.

Perlahan pelukan dilepaskan dan dia memegang tanganku, "Tak mengapa. Syukur kepada ALLAH, adik selamat, bukan kerana akak tetapi DIA yang telah mengatur semuanya."

CAS [Completed] ✔Where stories live. Discover now