Bab 4

1K 40 0
                                    

Erhan melabuhkan punggung di atas pangkin kayu bawah pokok rambutan. Pandangannya menghala ke depan jalan raya. Petang yang mendamaikan walaupun hatinya masih libang-libu dan berserabut. Bunyi deruman motor yang lalu-lalang sikit pun tak diambil pusing. Dia berada dalam dunianya sendiri.

"Berikan aku... Cintamu... Cintamu... Agar aku terus bernafas... Sayangku... Jiwa ini memikirkanmu... Ooo..."

Hazreal tak habis-habis memetik gitar buruknya. Suara tak sedap mana pun. Itu pun ada hati nak masuk Malaysian Idol. Nafas dengan lidah sama-sama pendek, sekali tarik tinggi, terus hilang suara. Haha! Erhan menguis daun kering yang jatuh sehelai dua di atas pangkin. Kerengga yang meniti di tepi pangkin dijentik jatuh ke bawah.

"Adoi." Erhan meraba belakang tengkuk. Pantas jarinya menangkap seekor kerengga yang menggigitnya.

"Eleh, kena ketit sikit aje pun, jerit macam perempuan!" Hazreal ketawa mengejek.

"Aku tidoq sini tau," beritahu Erhan kepada Hazreal. Eh, macam tak biasa pula. Hazreal memang tak kesah sebab mak bapak dia kerap syif malam. Kakak dia pun berkurung dalam bilik melayan drama. Pendek cerita, dia pun kadang-kadang bosan duduk lama-lama dalam rumah sendiri.

"Beres, macam kau tak biasa." Hazreal tayang sengih.

"Kak long kau ada?" tanya Erhan lagi.

"Ada! Duk hidup lagi dalam bilik tu. Ah, dia bukan kacau kita pun," terang Hazreal. Erhan cuma segan sikit dengan kak long sebab selalu sangat bermalam di sini. Kadang-kadang macam dia tak ada rumah!

"E!" jerit Amir dari jauh. Syhhh, janganlah keloi kuat sangat. Erhan hanya angkat kening, hairan melihat kawannya itu kelihatan termengah-mengah berlari tadi.

"Weh, awat hang kalut sangat ni?" Hazreal menyandarkan gitar di tepi pangkin dan terus bangun menghampiri Amir. Kalau dia yang gendut sanggup datang berlari, mesti ada cerita penting nak disampaikan!

"Pak Cik Iman ada depan rumah hang," kata Amir. Aduh, lelah sungguh rasa selepas berlari tadi. Erhan dan Hazreal saling berpandangan. Siapa Iman tu, haram tak pernah dengar pun? Amir menggaru belakang kepala. Bodoh juga kawannya dua 'ekor' ni.

"Ayah budak perempuan tulah," terangnya lagi bila melihat mereka nampak bingung.

"Budak yang kena tangkap dengan hang tulah, weh. Awat pak dia pi cari hang sampai di rumah?" Hazreal mencelah. Laju tangannya menumbuk bahu Erhan. Hesy, ingatkan dah selesai di sekolah.

"Umi!" jerit Erhan separa kuat. Mesti umi dah dapat tahu. Aduh, memang masaklah dia! Hurm, tak payah nak tunggu minggu depan, belum sempat cikgu telefon, bapak Hilani dah datang mencarinya.

"Aku ingat hang dah settle di sekolah," kata Hazreal. Erhan laju geleng kepala. Ingat senang kes macam tu nak selesai awal?

"Minggu depan Cikgu Kamran kata nak panggil mak bapak kami berbincang kat sekolah, jadi aku pun tak buka mulut kat siapa pun. Ini kerja budak perempuan tu. Mesti dia mengarang cerita menipu lagi." Erhan tegak memandang wajah sahabatnya bersilih ganti.

"Habislah hang! Mak aku habaq, pak cik tu bekas tentera. Awatlah hang pi cari pasai dengan anak dia?" Amir duduk bersebelahan dengan Erhan. Bukanlah niat dia untuk menakutkan Erhan, tetapi itulah kenyataan.

"Bila masa aku cari pasal? Dia yang gatal masuk dalam bilik tu. Bukan aku yang tarik dia. Eee... Kurang ajar betul. Sebelum ni, aku tak pernah nampak pun dia di sekolah. Tadi tu first time aku tengok dia."

"Nama dia Hilani. Geng-geng dia panggil Hillie. Budak tu baru pindah masuk ke sekolah kita. Takkan hang tak perasan?" Amir bertanya. Pelik juga kalau Erhan tak pernah nampak. Comel kut budak perempuan tu.Wajahnya mixed Chinese dengan Melayu. Mata sedikit sepet tetapi mempunyai hidung mancung dan bibir mungil. Eh dia tahulah, sebab kerap meronda di blok pelajar tingkatan 3 semata-mata nak tengok Bibah Gebu.

Bukan Dark MetalikWhere stories live. Discover now