Bab 6

864 31 0
                                    

Hilani mahupun Erhan masing-masing terus mendiamkan diri. Pada saat ini, Erhan rela mengunci mulut daripada terus-menerus mengulang cerita yang sama. Yalah, apa lagi nak diceritakan bila berulang kali sudah diperdebatkan dalam bilik disiplin? Lebih baik kedua-duanya cuma jadi pendengar yang baik. Dari awal lagi, Erhan sudah dapat mengagak, di hujung-hujung cerita nanti, salah itu akan berpatah balik kena batang hidung sendiri.

Tak tahulah kat mana silapnya. Cerita mereka disulam dengan episod-episod cinta yang tak pernah wujud pun sebelum ni. Erhan sendiri kurang pasti bagaimana cerita itu sampai ke telinga guru-gurunya walhal itulah kali pertama dia dan Hilani bertentang mata! Dunia yang dipenuhi kata-kata fitnah memang kejam!

"Cikgu tak sangka perangai awak macam ni, Erhan. Cikgu kecewa sangat. Gatal sangat nak menikah dah ke?" Cikgu Muhazam menyindir. Mentang-mentanglah Erhan antara pemain ragbi sekolah yang menyerlah, gamaknya dia gunakan kelebihan itu untuk mengayat perempuan walaupun muka tak berapa hot.

"Erhan, awak nak mengaku ke tak ni? Mak awak pun dah ada di sini. Tak kesian ke kat dia?" Cikgu Faridah pula bersuara. Adoi, dah kenapa semua cikgu yang ada di dalam bilik ini, seakan-akan mengasak pelbagai soalan kepadanya dan paling tragis cuma nama dia yang dipetik dan dipersalahkan?

"Saya malu, cikgu. Saya kenal anak saya. Hilani bukan jenis budak liar. Dia memang tak pandai menipu. Dia tak pernah menipu kami pun. Semua benda dia akan cerita kepada saya dan suami." Salmi pula mula menutur bicara. Erhan mencuri pandang kepada wanita yang hampir sebaya dengan uminya. Wajah Hilani lebih mirip mengikut raut wajah ayahnya. Betulkah itu emaknya, atau Hilani sekadar mengupah wanita yang tidak dikenali tepi jalan berlakon sebagai ibunya semata-mata untuk melepaskan diri? Huh! Otak Erhan ligat mencari kaitan antara dua manusia yang nampak janggal hubungannya itu.

"Saya minta maaf bagi pihak anak saya, ya? Saya pun tak terjangka dia akan bertindak macam tu." Bicara Hazura seakan-akan mencipta alasan untuk segera menamatkan perbincangan. Erhan geleng kepala tidak bersetuju dengan uminya yang cepat menyerah.

Hazura pula mempunyai pendapatnya tersendiri. Walaupun dia percaya Erhan takkan melakukan perkara terkutuk itu, tapi keadaan macam tak memihak kepada anaknya. Semalam pun berkali-kali Erhan bersumpah yang dia tak bersalah, takkanlah dia pun nak tuding jari kepada anaknya? Sudahnya lagi empat jari tetap hala kepadanya. Itulah emak si polan si polan yang tak pandai mendidik anak! Bila membesarkan anak dengan status ibu tunggal, banyak mata-mata yang memandang serong. Bila wujud masalah, mereka yang berstatus tunggal itulah akan cepat menerima kecaman. Aduhai. Memang perit.

"Umi. E tak salah!" tegasnya.

"Habis, kamu nak tuduh dia yang salah?" Salmi mengherdik. Mata mereka bertaut dan dia cepat-cepat melarikan pandangan bila renungan budak lelaki itu sangat tajam menikam.

"Mujur suami saya tak ikut sekali, kalau tidak, saya tak taulah jadi apa dengan budak laki ni. Dah terang-terang buat salah, tak mau mengaku pula. Anak saya baru bertukar ke sini. Sebelum ni, dia tak ada masalah langsung di sekolah lama." Nada suara Salmi berubah rentak.

"Ayah dia malu sangat bila anak dia diperlakukan macam tu. Dia muda lagi. Kami sekeluarga menanggung malu. Jiran-jiran saya semua tau pasal hal ni. Sebab tulah, saya harap sangat kes ni dapat diselesaikan cepat," tambah Salmi lagi. Makin menyampah dia melihat wajah kelat anak muda itu.

Dia lebih percayakan cerita kawan-kawan Hilani. Dari dahulu anak gadisnya memang ramai peminat lelaki. Dia sendiri mengagak budak lelaki berwajah ketat yang duduk berhadapan dengannya mesti turut sama menyimpan perasaan terhadap Hilani. Tapi perlukah Erhan perangkap dan jatuhkan maruah seorang gadis sampai begitu sekali semata-mata cinta yang bertepuk sebelah tangan?

Bukan Dark MetalikWhere stories live. Discover now