Bab 9

892 39 0
                                    

Gerai Char Kuetiau Ali Thop memang dikunjungi ramai pelanggan hampir setiap malam. Yusuf mengambil tempat yang agak jauh dari keriuhan. Erhan duduk membelek telefon dan tidak banyak cakap. Sesekali dia mengangguk bila Yusuf rancak bercerita berkaitan isu semasa. Sumpah, dia tak minat nak komen lebih-lebih.

Sepi.

"Umi bagi tau yang E nak tukar sekolah. Betul ke?" Yusuf terus masuk cerita tentang hal lain pula. Itu poin sebenarnya bila dia diajak keluar makan rupa-rupanya. Pertanyaan Yusuf dibiarkan sepi. Hurm, mesti umi minta Yusuf nasihatkan dia.

Gerenti Yusuf pun akan bantah. Hello, you are not my father! Blaaa... Blaaa... Blaaa!

"Bagus! Uncle sokong sepenuhnya. Kita lelaki kena berani buat keputusan untuk masa depan sendiri."

Terkejut beruk Erhan dengar. Ikhlas dari lubuk hati atau sekadar sebaris ayat untuk mengambil hati bakal anak tiri? Erhan pandang wajah Yusuf sekilas. Lidah masih berat nak membuka cerita pasal diri sendiri tapi hati nak sangat meluah kepada yang sudi.

"Kalau kita kalah sekali, tak bererti selalu akan kalah. Uncle tak tau apa yang terjadi sebenarnya sebab kami semua tak ada dalam bilik tu masa kejadian. Nasi dah jadi bubur, kan? Sekarang E kena buka buku baru. Lupakan yang pahit-pahit. Fokus utama sekarang peperiksaan SPM, itu lebih penting," ujarnya lantas menggosok belakang Erhan.

"Saya tak salah," tukas Erhan laju.

"Umi tau. Dia lagi kenal anak yang dia kandung lebih sembilan bulan. Tapi perbuatan E berkasar dengan budak tu memang tak betul. Tak gentleman," kata Yusuf lagi.

"Budak tu menipu nak selamatkan diri dia." Erhan sambung cerita. Tiba-tiba dia rasa mahu meluahkan segalanya. Dadanya yang sarat dengan rasa geram sudah tak berdaya nak ditatang lagi. Erhan nak sangat hamburkan semuanya supaya esok hari, dia dapat semangat baru walaupun luka itu mungkin ambil masa untuk sembuh. Kesembuhan yang tetap meninggalkan parut.

"Cantik ke?" Yusuf cuba memanjangkan perbualan bila Erhan sudah nampak selesa bersama dia.

"Huh, tak cantik langsung! Mata dia sepet sebab tu silap masuk bilik kut. Kalau uncle nak tau, muka dia lebih kurang pelakon opera Cina tu."

"Fuyoo! Segaklah tu kalau boleh jadi pelakon."

"Dia kuat pakai topeng. Air mata dia banyak dan boleh penuh satu tempayan bila dia mula berlakon watak sedih," jawab Erhan. Yusuf melepaskan ketawa. Ooo... Barulah dia faham bila Erhan menggelarkan Hilani begitu.

"Nanti uncle uruskan sekolah baru. E nak tinggal dengan tok wan ke?" tanya Yusuf lagi. Ya, semestinyalah. Di kampung nanti, dia akan mulakan hidup baru. Paling penting, tiada siapa pun boleh hidu kisah buruk itu. Tetapi itulah, hatinya berat nak berpisah dengan Amir dan Hazreal.

Air liur ditelan mula rasa berpasir bila teringatkan member dua 'ekor' tu. Mereka mula berkawan sejak dari tadika kut. Daripada Si Amir tu kurus sampailah gebu gebas macam sekarang. Mana lagi dia nak cari kawan macam Si Hazreal yang selalu beralah dan berkongsi tempat tidur dengannya bila dia kerap menumpang tidur di situ?

Kawan-kawannya memang ramai tetapi sahabat baik merangkap partner in crime cuma mereka berdua sajalah. Erhan mengetap bibir menahan rasa sebak yang singgah menjentik hatinya sesaat tadi.

"Atau E nak tinggal dengan kami nanti?" tanya Yusuf. Erhan menggeleng kepala. Lagilah dia tak mahu. Baik dia tinggal dengan tok wan. Lagipun jiwanya belum boleh terima sepenuhnya yang dia dan Yusuf bakal berkongsi kasih sayang uminya.

Lebih baik dia belajar bawa diri dari sekarang sebelum umi bagi dia adik baru. Warghhh! Erhan tak boleh bayang kalau dia dapat adik!

"Kenapa pilih umi?" tanya Erhan spontan. Ketulan ais yang berbaki di dalam gelas sengaja dihisap rakus. Sudu pun diketuk-ketuk pada pinggan sengaja tunjuk perangai buruk. Yusuf meletakkan semula gelasnya, terus tak jadi minum bila diaju soalan kuiz rumah tangga!

"Ramai lagi anak dara di luar. Sebelum uncle muncul, hidup kami okey saja," terang Erhan penuh yakin. Kedua-dua belah tangan diletakkan di atas meja. Tak sabar mahu mendengar karangan panjang yang keluar dari mulut Yusuf. Ah, mesti Yusuf akan puji umi macam-macam. Perangai lelaki buaya memang begitu. Mereka bijak menanam tebu di tepi bibir sebelum dapat!

"Jodoh kami mungkin dah tertulis di lohmahfuz," jawab Yusuf tenang dengan secalit senyuman di wajahnya.

"Huh, itu saja alasan? Apa yang uncle harapkan sebenarnya bila berkahwin dengan umi? Sepatutnya uncle cari anak dara atau ibu tunggal yang tak ada anak, barulah hidup uncle tak pening kemudian hari," balas Erhan. Ketulan ais yang ada di dalam mulut sengaja diludah jauh. Dia memang sengaja mahu menguji kesabaran Yusuf. Bukan senang tau nak handle anak tiri segera yang sudah besar panjang.

"Tak baik meludah. Uncle nak tumpang kasih sayang umi dengan E. Boleh jawapan macam tu?" Yusuf tayang sengih. Erhan mendengus geram. Bodoh punya alasan. Tumpang kasih sayang mana sama macam tumpang sebuah kereta. Erhan tayang wajah kelat. Sungguh dia tak suka jawapan tadi, langsung tak terbit keikhlasan! Agaknya apa yang Yusuf mahukan daripada mereka dua beranak?

"Jomlah kita balik. Nanti umi bising," ajak Yusuf. Kunci kereta dihulurkan kepada Erhan. Dia kemudian berjalan menuju ke kaunter untuk membuat pembayaran. Erhan melangkah malas menuju ke kereta. Dia bersandar di pintu kereta sambil mendongak ke langit.

"Kalaulah ayah masih ada, mesti E tak jadi macam ni, ayah," bisiknya perlahan. Jiwanya berkelana merindui kasih sayang seorang ayah. Matanya terpejam rapat membayangkan wajah arwah Fahim yang telah lama meninggal dunia sejak dia berusia 7 tahun. Kenangan yang ada bersama Fahim pun sudah semakin kabur dalam ingatan itu. Mujurlah foto-foto lama masih ada tersimpan elok dalam album gambar.

"Uncle bukan lelaki sempurna. Banyak yang kurang. Uncle pun nak rasa bahagia hidup berkeluarga sampai hari tua. Jadi uncle harap umi dan Erhan buka peluang itu untuk uncle." Yusuf bersuara tiba-tiba. Erhan membuka mata dan cepat-cepat menarik zip hoodienya sampai ke leher, seram sejuk pula dengar bait-bait patah yang keluar dari mulut Yusuf.

Sepi.

"Apa maksud uncle?" Kening Erhan bertaut.

"Bahagia apa yang uncle harap daripada balu beranak satu? Huh, memang menarik ni," sindirnya lagi. Erhan silang tangan di dada, sumpah dia memang berminat ingin tahu sejauh mana keikhlasan lelaki itu terhadap Hazura.

"Uncle bukan lelaki sempurna. Bekas isteri uncle dulu minta cerai bila kami lama berkahwin tapi belum dikurniakan anak. Tapi itu cerita lama, dia pun dah kahwin lain dan dah ada anak pun! Tak semua apa yang kita nampak dengan mata kasar, itulah kesempurnaan. Kadang-kadang itu juga ada kekurangan dan kecacatan tersembunyi dalam diri. Uncle yang ada masalah kesihatan sebenarnya," terang Yusuf sepatah-sepatah. Tergamam Erhan dibuatnya. Dia menegakkan badan. Lidahnya kelu untuk bertanya lagi. Terkejut pun ada. Satu persoalan singgah dalam fikirannya. Adakah umi tahu?

Selama ini dia nampak sisi Yusuf yang sangat sempurna. Yusuf lelaki yang kacak, berpoket tebal dan ada jaminan hidup. Senang cerita dia ada syarikat sendiri dan di situlah Hazura dan Yusuf saling mengenal bila dia mula dapat pekerjaan di situ. Kiranya hidup mereka sedikit senang selepas ibu bekerja tetap di situ walaupun sebagai kerani.

Senang cerita, kalau Yusuf petik jari mahu bersusun anak dara beratur minta dipilih sebagai suri hidup. Memang betullah kata Tok Wan Nawi, tak semua manusia lahir sempurna. Sentiasa bersyukur dan berkongsi nikmat hidup dengan orang lain. Insya-Allah hidup akan lebih berkat.

"Kehadiran umi banyak mengubah hidup uncle. Umi terima segala kekurangan uncle. Tiada sebab uncle nak tolak wanita sebaik dan setabah umi. Jadi apa salahnya uncle jadi sebahagian keluarga kamu juga? Boleh, kan?" Yusuf angkat kening.

Entah kenapa dia pun ringan mulut nak canang semuanya kepada Erhan. Perkara seperti itu sepatutnya disimpan rapat-rapat dalam kamus hidupnya. Erhan tidak memberikan jawapan. Pandangan Yusuf dibiarkan berlalu. Kemudian dia cepat-cepat melolos masuk ke dalam kereta. Yusuf pun ikut sekali. Erhan memang hati kering sebab langsung tidak memberikan jawapan. Yusuf simpan sedikit rasa kecewa, susah sangat ke Erhan nak faham isi hati dia? Dia perlukan restu si anak juga sebab perkahwinan bukan untuk sehari dua. Dia sedang belajar menerima Erhan dalam hidupnya. Bukan senang nak hadap perangai bakal anak tiri yang sudah besar panjang.

Bukan Dark MetalikWhere stories live. Discover now