Bab 7

824 34 0
                                    

Hazura duduk termenung di meja makan. Anak sorang saja tapi sepanjang bulan ini, dah dua kali dia dipanggil oleh guru disiplin ke sekolah untuk membincangkan tentang perangai anak jantan yang sorang tu. Hazura mula berfikir di mana silapnya sebagai seorang ibu. Apa yang terkurang dan terlebih?

Dahulu, Erhan merupakan anak yang baik dan tidak pernah pun memberinya masalah. Itulah kekuatan baginya. Erhanlah yang menjadi tulang belakangnya untuk teruskan hidup selepas kematian suaminya dalam kemalangan di tempat kerja. Semakin dia menginjak dewasa, hubungan mereka juga semakin renggang. Dia sendiri tidak pasti di mana silapnya tetapi dia yakin sedikit sebanyak berpunca daripada perhubungannya dengan Yusuf. Erhan paling kuat menentang!

"Umi," seru Erhan perlahan. Dia tahu umi sedang berduka.

"E minta maaf," ujarnya penuh penyesalan.

Bukan sebab kes kena tangkap dengan budak sepet itu. Yang itu dia memang tak bersalah langsung. Dia siap bersumpah depan umi. Kalau cikgu-cikgu tak percaya ceritanya pun, tak kesahlah asalkan umi percayakan dia.

"Tak cukup lagi ke kena gantung sekolah seminggu? Kenapa cari masalah lagi?" Umi mengesat air mata. Terngiang-ngiang di telinganya bila pihak sekolah sarankan agar Erhan ditukarkan ke sekolah baru. Senang cerita, dia kena buang sekolah sebab melanggar peraturan sekolah lagi.

"Umi pernah ke ajar E berkasar dengan perempuan? Kenapa E tampar budak perempuan tu?" tanya umi lagi, jari-jemarinya memicit sekitar dahi. Waktu beginilah kepalanya mula rasa berat bila memikirkan masalah anak lelakinya.

"Geram!" jawab Erhan ringkas. Ya, itulah yang dia rasa. Betapa benci dan geram dengan budak sepet itu. Kerana insiden itu, dia dipandang serong dan pedas disindir oleh puak-puak perempuan di sekolahnya. Tak cukup dengan itu, ada juga ustazah beri tazkirah seakan-akan menyindir dia ketika belajar di kelas. Topik berkaitan dosa, berkhalwat, maksiat semua itu macam dituju kepadanya. Maka memang nampak dialah yang teruk dan jahat. Hilani masih boleh bergelak ketawa dengan rakan-rakan sampai tak ingat dunia. Dia memang spesies kulit tebal dan kuat menipu. Adilkah?

"Umi tak rasa apa yang E rasa. E bencilah tengok dia. Benci sangat-sangat!"

"Umi tahu dia menipu dari awal lagi, tapi umi cuma diamkan saja sebab umi tau keadaan tak memihak kepada E. Sepatutnya E buka buku baru, abaikan cakap-cakap depa tu. Susah sangat ka?"

"Ooo... Jadi umi sukalah kalau orang kata umi tak pandai jaga anak? Orang tuduh E jahat sebab tak ada bapa. Siap perli macam-macam lagi. Sakit telinga ni dengar. Kalau E tak fikir pasal umi, memang dah lama E rembat mamat poyo tu. Tak ada angin, tak ada ribut, kenapa dia boleh masuk campur dalam masalah ni?"

"Siapa budak Hadif tu?" Hazura berminat ingin tahu. Sebelum ini dia cuma tahu dan kenal Hazreal dan Amir saja. Itulah kawan lelaki yang kerap bertandang ke rumahnya hampir setiap hari.

"Boyfriend budak sepet tu," balas Erhan laju. Dia pun baru dapat tahu cerita itu semalam selepas Amir buka mulut. Patutlah beria-ia mamat itu backup Si Hilani.Sudahnya dia seorang yang terpalit najis!

"Ni balik pada cerita tadi, E saja tunjuk perangai kan sebab umi nak kahwin dengan Pak Cik Yusuf, macam tu?" tanya umi. Sebelum ini pun memang Erhan tidak bersetuju langsung dengan hubungan mereka. Sejak akhir-akhir ini, perangai anaknya semakin teruk bila tarikh nikah semakin dekat.

Erhan tepuk dahi. Isy, umi ni. Saja ajekan nak ungkit cerita lain pula. Dah-dahlah, umi. Letih ooo. Serabut kepala!

"Itu dululah umi, memang E tak suka umi berkawan dengan Uncle Yusuf. Budak perempuan tu tak ada kena-mengena dengan urusan umi dan pak cik sebab E pun tak pernah nampak dia sebelum kes tu. E geram sebab sekarang ni orang dah cop anak umi ni jahat! Budak tu juga yang nampak baik, konon dialah mangsa," ujarnya tegas.

"Awat pula tak ada kaitan dengan umi? E masuk bilik sakit tu sebab tension kan lepas umi bagi tau nak kahwin lain? Sebab tu E cari alasan pi berehat situ dan ponteng kelas. Cuba cakap, ke umi ni yang salah faham?"

Erhan geleng perlahan. Payah nak cakap dengan umi yang selalu nak menang. Agaknya macam inilah yang Tok Wan Nawi rasa selalu bila Tok Cah asyik nak menang memanjang.

"Memang E rasa stres. Terus terang cakap, E tak suka Pak Cik Yusuf tu. Dia takkan boleh ganti tempat arwah ayah."

"Siapa cakap yang dia nak ganti tempat ayah?" cantas Hazura laju.

"Dengar dulu, umi. Itu yang E rasa dulu. Kalau umi rasa Pak Cik Yusuf boleh bahagiakan umi, E izinkan tapi dengan syarat," terang Erhan satu per satu. Hazura membetulkan duduknya. Daripada riak wajah Erhan, dia sudah mengagak apa yang ingin Erhan sampaikan. Syarat apa pula yang Erhan mahukan sebagai galang ganti bahagianya kelak?

"Bagi tau umi sekarang, apa syaratnya?" Dia menyoal dengan penuh kelembutan.

"E nak tinggal dengan tok wan," jawabnya penuh yakin. Terkedu sekejap umi dengan syarat Erhan walaupun tadi dia sudah boleh mengagak sikit-sikit.Perkara yang paling dia risau itulah yang Erhan pula mahukan. Anaknya tidak pernah berjauhan dengannya. Itulah satu-satunya anak dia. Dia tak sanggup berpisah dengan Erhan. Tidak sama sekali!

"Tak boleh!"

"Awat tak boleh pula?" bentaknya geram.

"Kalau E tak suka dengan Pak Cik Yusuf, tak apa, umi tak jadi kahwin. Nanti umi jumpa dia bagi tau elok-elok suruh cancel semuanya," balas Hazura lalu menggenggam tangan anak terunanya itu.

Tangan Erhan ditarik kasar dari genggaman Hazura. Kepala botak yang mula ditumbuhi rambut diramas kasar. Mata merahnya memandang wajah Hazura tanpa kedip. Dia cuba bertahan dari menggugurkan air mata jantannya. Tolonglah faham, umi. Jiwanya memberontak kuat sekarang dan dia cuba bertahan untuk tidak bertindak bodoh lagi.

"E kena tinggal dengan tok wan. Kalau E duduk sini lagi, otak rasa serabut. Hati ni rasa sakit. Umi tak faham apa yang E tanggung. Nak pegang buku pun tak boleh fokus. Macam mana nak pulun SPM?" luahnya penuh emosi. Kali ini, wajahnya tunduk memandang muka meja.

"E tak salah, umi. Tak salah!" Suara Erhan merintih sayu.

Hazura menghela nafas. Jari-jemarinya menggenggam erat tangan Erhan. Dia tahu anaknya tak bersalah. Rasa menyesal kerana dulu tidak mempertahankan anaknya bersungguh-sungguh. Dia tidak sangka masalah akan merebak api yang lebih besar.

"Umi tahu... Umi tahu. Suatu hari budak perempuan tu akan dapat balasan dia sebab aniaya anak umi macam ni," pujuk Hazura sayu.

"Tapi apa yang E buat tu tetap salah. Mana boleh sesuka hati tampar anak dara orang," sambung Hazura.

"Kalau ikut hati, E rasa nak tumbuk biar dia mati terus," jawabnya laju.

Pap! Tangan umi mendarat di bahunya. Wajah uminya itu berubah serta-merta. Erhan menyimpan ketawa. Alahai umi ni, lurus sangat!

"E buat lawak la, umi. Jadi boleh tak umi bagi E tinggal dengan tok wan?" pujuk Erhan lagi. Hazura hanya diam seribu bahasa.

Dia tidak mahu memberikan jawapan sekarang. Banyak baik buruk dia kena pertimbangkan. Hatinya berat nak lepaskan anak yang seorang itu. Menunggu jawapan daripada mulut Hazura samalah bagai menunggu bulan jatuh ke riba!

Erhan terus bangun dan beredar dari dapur tetapi sesaat kemudian langkahnya terhenti di tangga dapur. Dia pusing memandang Hazura yang duduk membelakangkannya.

"Umi, kalau dah jodoh, umi tak boleh menolak. Kalau Pak Cik Yusuf mampu jaga umi dengan baik, umi kahwinlah. Biarlah E sambung belajar di kampung. E pun ada cita-cita," lanjutnya lagi. Kali ini dia bertekad untuk pergi jauh. Kalau dia masih di takuk yang sama ditambah rasa geram yang membelenggu diri, tobat lahum masa depan dia akan lebur begitu saja.

"Jiwa E akan mati kalau duduk sini," tambahnya lagi mengharapkan simpati.

"Kawan-kawan macam mana? Pasukan ragbi? E tak kesah hilang semua tu?" tanya Hazura. Lama dia perhatikan wajah anak lelaki kesayangannya itu.

"Mungkin tak sama, tapi E bertekad nak mulakan yang baru di tempat lain. E tak boleh tengok muka dia, muka Hadif, muka semua orang! Rasa meluat bila budak-budak lain tuduh E jahat. Cikgu-cikgu pun sama saja lebih percayakan dia daripada cerita E," tukasnya. Hazura terus terdiam bila Erhan melangkah laju meninggalkannya termangu-mangu di meja makan.

Bukan Dark MetalikDonde viven las historias. Descúbrelo ahora