BAB 12: MANISNYA RINDU

1.9K 49 10
                                    

Saat merebahkan tubuhnya di atas tilam yang empuk malam itu, terasa ada kerinduan yang singgah di hati. Bukan sengaja dia mahu menjemput rasa itu, namun bagai bayu yang menyapa wajahnya begitulah juga gemersik rasa itu berlagu di tebing sanubari. Apakah telah terpadam api amarah di bumi anbiya ini? Mungkinkah pintu kemaafannya terbuka luas untuk lelaki yang pernah meruntuhkan tugu kepercayaannya terhadap cinta dan perkahwinan? Atau mungkinkah bebunga rindu mula mengharumi kamar hati seorang Batrisya yang sedang bermusafir mencari keredaan Sang Pencipta?

"Sesungguhnya, memaafkan itu merupakan salah satu sifat Rasulullah SAW. Baginda selalu memaafkan orang yang membenci dan menyakiti baginda. Rasulullah juga mengajarkan kepada kita untuk tetap berbuat baik kepada orang lain meskipun orang tersebut membalasnya dengan kejahatan," itulah antara tazkirah ringkas Ustaz Fazli dalam bas siang tadi.

"Adalah Rasulullah SAW orang yang paling bagus akhlaknya: baginda tidak pernah kasar, berbuat keji, menjerit-jerit di pasar, dan membalas kejahatan dengan kejahatan. Malahan baginda seorang yang pemaaf dan mendamaikan," (HR Ibnu Hibban).

Kata-kata Ustaz Fazli begitu membekas di jiwanya. Malam itu, dia menangis semahunya semasa mengerjakan tawaf sunat bersama adiknya. Dia beristighfar dan terus berzikir memohon keampunan Allah atas segala dosa yang dilakukan secara sedar mahupun di luar batas kewarasan akalnya. Dia bagaikan baru tersedar dari mimpi yang panjang. Dia sedar, segala kesakitan yang dilalui berpunca dari kesombongannya sendiri. Dia bermain-main dengan hukum agama tentang ijab kabul dan tanggungjawab suami isteri dalam perkahwinan. Idea liberalisme yang cuba diguna pakai ternyata telah menghancurkan impiannya untuk bergelar ibu. Dia gagal melahirkan seorang pewaris. Ternyata tiada perancang yang lebih hebat daripada Allah Yang Satu. Air mata Batrisya terus mencurah-curah bagai hujan di musim tengkujuh.

"Siapalah aku tanpa keredaan-Mu. Tidak layak aku membenci sesama manusia, sedangkan aku sendiri pendosa yang menagih keampunan Yang Maha Pencipta. Allahu Akbar!"

Dalam hadis riwayat Abu Daud dari Sayyidatina Aisyah, dikatakan bahawa, “Aku sangat ingin memasuki Kaabah untuk melakukan solat di dalamnya. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam membawa Siti Aisyah ke dalam Hijir Ismail sambil berkata, “Solatlah kamu di sini jika kamu ingin solat di dalam Kaabah, kerana Hijir Ismail termasuk sebahagian dari Kaabah”.

Usai tawaf sunat, Batrisya direzekikan bersolat di dalam Hijir Ismail. Kata Ustaz Fazli, selain Multazam, di situlah antara tempat mustajabnya doa. Meskipun hujan renyai-renyai, Batrisyia terus melakukan solat sunat dua rakaat.

Ketika sujud terakhirnya di bawah pancuran emas,  hujan makin lebat. Batrisya enggan berganjak. Air matanya terus mengalir laju, selaju air hujan dari pancuran yang jatuh di hadapannya. Sungguh terasa dirinya dianugerahi nikmat tertinggi kerana berpeluang solat di dalam Hijir Ismail, di bawah pancuran emas.  Dapat beribadah dalam hujan di bumi Mekah juga merupakan momen terindah dalam hidupnya.

Subhanallah.
Alhamdulillah.
Allahu Akbar.

Benarlah, manisnya rindu untuk beribadah amat terasa di dua kota suci ini. Amat rindu untuk berkejar-kejar dengan waktu, bersedia di atas sejadah di dalam majid sementara menunggu azan berkumandang. Aduhai, manisnya rindu itu!

Batrisya memejamkan matanya dengan lafaz Basmallah. Dia sudah berniat mahu bangun sepertiga malam untuk bertahajud. Dia juga sudah berjanji dengan Kak Ani untuk turun awal Subuh nanti. Moga tidurnya juga dikira sebagai ibadah di bumi anbiya.


SUAMI ATAS KERTASHikayelerin yaşadığı yer. Şimdi keşfedin