BAB 9: DIA MUTAWIF SAYA

11.3K 193 26
                                    

Mekah al-Mukaramah.

Berjuraian air mata Batrisya ketika berdiri di depan Kaabah. Sungguh dia tidak percaya akan berdiri di hadapan kiblat seluruh umat Islam dalam jarak sedekat ini. Bibir dan hatinya tidak putus-putus berzikir kepada Rabbul Izzati.

           "Lepas selesai tawaf kita terus buat saie malam ini juga. Selesai barulah kita berehat. Esok kita masing-masing boleh buat tawaf sunat sendiri. Gunakan peluang ini untuk beribadah di masjidil haram dan mendapatkan ganjaran yang Allah janjikan. Semoga jemaah mendapat pahala umrah yang mabrur atau maqbul. Ingatlah kita di sini kerana mencari keredaan Allah dan kita mengharapkan keampunan-Nya dan bukan dengan tujuan yang lain..." Itulah antara pesanan mutawif sebelum turun dari bas.

"Puan Trisya dan Badrul nanti ikut saya ye? Jangan sampai terlepas sebab jemaah tengah ramai ni," pesan Ustaz Syed Fazli kepada mereka berdua.

        Batrisya yang memang duduk di kerusi paling hadapan bersama adik lelakinya terkejut seketika. Dia hanya mampu  menganggukkan kepala. Mana Badrul? Matanya liar mencari adik bungsunya yang juga merupakan mahramnya. Badrul diamanahkan oleh Dato Azlina untuk menjaga kakaknya selama mengerjakan ibadah umrah. Kebetulan Badrul memang baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang perniagaan di United Kingdom. Dato Azlina memintanya tinggal bersama Batrisya selepas kakaknya itu ditimpa musibah. Badrul tidak membantah malah gembira dapat menjaga kakaknya itu.

       Dalam keramaian manusia yang membanjiri ruang tawaf itu Batrisya sentiasa berada di sisi Badrul, betul-betul di belakang mutawif muda itu. Satu persatu lafaz doa Ustaz Syed Fazli diikutinya dengan penuh penghayatan. Dalam deraian air mata yang tidak mampu ditahan. Batrisya amat terharu kerana dijemput Ilahi untuk menjadi tetamu-Nya. Setiap hari yang berlalu seakan mimpi dirasakan. Perasaan yang amat indah dilaluinya sepanjang tempoh berada di bumi anbiya.

       Selesai tawaf mereka bergegas melakukan saei antara Safa dan Marwah. Kali ini, terasa agak lesu tubuhnya kerana sepanjang  hari itu Batrisya belum berpeluang melepaskan lelahnya. Mereka terus menyempurnakan umrah kerana tidak mahu terlanggar pantang-larang dalam ihram selepas berniat ihram di miqat Bir Ali. Saat berulang-alik sebanyak tujuh kali itu, jiwanya dihimpit sayu mengenang kembali sejarah Siti Hajar berulang-alik mencari minuman untuk anaknya, Nabi Ismail yang kehausan. Jiwanya diruntun pilu mengenangkan puteranya, Hafiz yang telah dijemput Ilahi sebelum sempat dia menikmati keindahan rasa menjadi seorang ibu. Belum sempat dia berbakti untuk sang putera. Menyambut kelahirannya dan membesarkan zuriatnya itu.

"Jangan meratapi kehilangannya Trisya.  Kau harus bersyukur kerana berpeluang merasai pengalaman menjadi ibu walau tak lama. Lagipun kau kena yakin dengan janji Allah..." kata-kata sahabat hatinya, Awra masih terngiang-ngiang di telinganya.

Husnuzon. Bersangka baik dengan Allah pasti Allah akan menghadiahkan yang terbaik. Itulah doanya. Dan ketenangan yang dicarinya itu ditemukan di kota Madinah dan di kota Mekah. Perjalanan mencari dan mengenal zat Allah dan Rasulullah yang ditempuhinya itu menyedarkan Batrisya iubetapa jahil dirinya selamanya. Terlalu sibuk mengejar urusan dunia, sehingga terkadang terlepas waktu solat. Terlalu obses mencari kemewahan dunia, sehingga lupa bahawa semua itu sementara sahaja. Segala yang ada di dunia ini hanya pinjaman. Tiada yang kekal abadi. Tidak ada satupun milik kita kerana segalanya milik Yang Maha Pencipta.

Selesai umrah yang pertama, mereka balik ke hotel yang terletak hanya 50 meter dari masjidil haram. Saat merebahkan tubuhnya di atas katil, air matanya mengalir lagi. Tidak berdaya dia menahan kepiluan yang meraja di hatinya. Tidak mampu dia menghentikan tangisan, terutamanya ketika berada di hadapan rumah Allah.

        "Are you okey, Trisya?" Sapa Rohani, teman sekamarnya. Kak Ani panggilannya. Dia seorang pensyarah Kimia di Unisel.  Berusia awal 50-an, suaminya juga pensyarah di tempat yang sama. Punya dua orang anak gadis yang masing-masing berusia 23 dan 25 tahun. Batrisya tersenyum sahaja ketika mendengar cerita Kak Ani, yang mula dikenalinya ketika sama-sama menghadiri kursus umrah di Shah Alam. Mereka kemudian duduk bersebelahan di dalam kapal terbang Saudia Airlines.

       "Tak ada apa-apa, kak Ani. Sayu hati bila berada di sini. Rasa dekat dengan Allah.. Dengan kekasih Allah..."

         "Itulah juga perasaan akak Trisya. Akak rasa tak nak balik Malaysia. Di sini, jiwa tenang, tidak ada yang mengganggu fikiran. Kita fokus untuk ibadah saja...'

        "Nanti kalau Kak Ani nak pergi solat Subuh di masjid jangan tinggal saya ye?"
Ujar Batrisya. Dia rasa amat bersyukur kerana sebilik dengan Kak Ani yang tampak baik dan berbudi bahasa orangnya. Ketulusannya dalam beribadah juga terserlah. Air matanya turun mencurah-curah sewaktu pertama sekali melihat Kaabah, selebat air matanya sewaktu solat dan berdoa di Raudah. 

          Senyuman manis Kak Ani menyejukkan hatinya. Namun di sebalik ketenangannya itu, seakan ada misteri yang menyelubungi kehidupannya. Dia tidak pernah bercerita tentang suaminya. Jauh sekali mendengar namanya disebut-sebut. Tidak pernah juga dia melihat wanita itu berbual dengan suaminya melalui telefon. Ahhh, biarlah! Itu hal rumah tangga orang, desisnya.

         "Esok pagi kita sarapan sama ya? " ujar teman sebiliknya itu dan Batrisya mengangguk dengan senyuman.

         "Ustaz Syed Fazli tu agak-agak dah kahwin ke?". Tiba-tiba terpacul soalan itu dari bibir Kak Ani. Batrisya yang sedang meneguk air suam hampir tersedak lalu ketawa.

          "Eh, jangan salah sangka pulak Trisya! Akak kan ada anak dara, boleh akak dapat menantu mutawif. Dahlah baik, penyabar, handsome pulak tu. Sejuk hati tengok muka ustaz tu. Kalau dia jadi menantu, senang akak nak buat umrah selalu," ujar Kak Ani seolah-olah dia mahu menepis lintasan fikiran Batrisya. Panjang lebar alasannya, disulami dengan ketawa.

           "Esok kita siasat ye, Kak Ani. Nanti kalau jadi, jangan lupa jemput ye? Saya pun nak ikut akak pergi umrah lagi." Giliran Batrisya pula ketawa perlahan. Kak Ani yang sedang mengemas isi bagasinya terus tertawa. Nampak barisan giginya yang cantik. Ayu sungguh Kak Ani, meski usianya sudah di ambang senja.

Wajah tenang mutawif muda itu terbayang di matanya. Sejuk sungguh wajah lelaki itu. Redup mata dan senyumannya pasti bisa mencairkan hati ramai wanita. Ah, mengarut sungguh!
"Astaghfirullah hal azim," bisik hatinya lalu segera mengusir pergi bayangan wajah lelaki itu. Batrisya beristighfar sebelum memejamkan matanya untuk menghilangkan lelahnya sepanjang hari itu.
       
        

SUAMI ATAS KERTASDonde viven las historias. Descúbrelo ahora