KUCH-KUCH HOTA HAI

208 16 7
                                    

"Kuch-kuch hota hai, Anjali.. "

" Rahullll... "

"Kuch-kuch hota  WAHAI NAIFA ZAHRA BINTI KHADIJAH..TETAPKANLAH HATI MU,INILAH DIA SUATU DUGAAN YANG PALING BESAR. INGATLAH BAHAWA KAMU SEKARANG SEDANG TINGGAL DI ALAM BARZAKH,SEHINGGA SAMPAI SUATU MASA KELAK  KAMU AKAN DIBANGUNKAN  SEMUA UNTUK BERKUMPUL DI PADANG MASYAR. INSAFLAH KAMU WAHAI NAIFA ZAHRA BINTI KHADIJAH. BAHAWASANYA MATI ADALAH BENAR, SOALAN MALAIKAT MUNGKAR DAN NAKIR DI DALAM KUBUR INI ADALAH BENAR ,BANGUN DARI DALAM KUBUR DAN KEMUDIAN KITA DIHIDUPKAN SEMULA ADALAH BENAR ,BERKUMPUL DAN BERHIMPUN DI PADANG MASHYAR ADALAH BENAR ,DIHISAB DAN DIKIRA SEGALA AMALAN KAMU ADALAH BENARRRR.... "

" Warghhhhh....!!!!!!"

Melihat satu bingkai wajah yang menyeringai tepat di hadapan mukanya benar-benar membuatkan dia terlompat sehingga tanpa sedar kepalanya sempat singgah di penjuru katil. Mau benjol kepala aku mambang,Naii usap kepalanya yang berdenyut.

Astaghfirullahhalzaimmm...

Naii urut dada yang masih bergegar dan dengan mata yang seakan hendak bergolek keluar, sekitar bilik tersebut dipandangi dengan tatapan yang meliar.

Tingkap berdaun dua yang sudah ternganga sehingga pohon rambutan yang sedang semarak dengan buahnya itu kelihatan jelas. Katil bertilam nipis dengan alas hijau muda. Lalu kemudian kepada jam di atas meja.Jam 10.15 pagi!

Apa yang sebenarnya sedang berlaku?? 

" Mak suruh Adik kejutkan Mak Su. Matahari dah tinggi.. "

Begitu bersahaja toyol bergigi keropos tetapi berbaju merah dengan figura Spiderman  itu menjawab pertanyaan yang tidak sempat Naii tanyakan sementara seorang lagi yang sedang berdiri di sebelahnya kelihatan sedang berusaha untuk tidak tergelak. Perlahan-lahan Naii memusingkan kepala ke arahnya dan belum sempat Naii mencapai lengannya dia sudah melompat menjauhi katil. Pasang lagak seperti superhero yang sedang mengumpulkan kuasa untuk melawan raksasa.

" Siapa yanggg.. "

" Mak kata kalau Mak Su tak bangun juga, talkinkan di telinga.. "

Ada juga yang kena jurus Stone Cold Stunner karang!  Mujur sayang anak buah.

Kejamnya budak-budak ni, rengus Naii dalam hati demi melihat mereka berlumba-lumba keluar dari bilik lalu berhigh-five riang gembira. Sambil bangun dalam keadaan separuh nyawa akibat nyawa yang separuh lagi tertinggal di padang rumput berbunga kuning bersama Shah Rukh Khan sekejap tadi, Naii mengerling sekilas imejnya  di muka cermin.

Dengan rambut berantakan tidak ubah seperti rumput yang baru diragut kambing tua, muka sememeh dan ada bekas air liur yang mengering di sudut pipi- Naii mahu menarik selimut semula tetapi suara jeritan kakak nan kesayangan pujaan hatinya itu sudah membantutkan niat Naii hendak kembali menyambung mimpi yang sempat tergendala dek bacaan talkin anak-anak buahnya yang dua ketul itu.

Naii sebenarnya malas mahu mendengar bebelan Kak Uya di hari yang sudah tidak berapa pagi ini tetapi mengarut sekali jika dia melompat turun melalui jendela lalu menyelinap diam-diam ke dalam bilik mandi di belakang dapur. Silap haribulan boleh terkehel lutut. Jadi satu kerja pula dia nanti. Mahu tidak mahu, hadapi sajalah bebelan tahap Dewata Raya Kak Uya itu.

" Baru bangun Paduka Puteri? "

Naii mengheret kaki dengan malas dalam keadaan mata masih separuh mengantuk. Letih belum hilang, mengantuk masih bermaharajalela-telinga sudah dijejali sindiran tajam. Memang satu kombo yang sangat sempurna.

" Kenapa tak suruh budak-budak tu jirus air mawar terus, Kak? "

" Buatlah lagi. " Kak Uya bercekak pinggang sambil matanya mencerlang tajam ke arah Naii. " Jangan kata air mawar. Nanti akak suruh jirus air panas. Nak?? "

My Dear LoserWhere stories live. Discover now