MEE REBUS vs YOO SI JIN

98 12 2
                                    

Sepanjang apa yang boleh diingati Farhan,amat jarang urusan yang melibatkan mahkluk berjantina perempuan ini membuatkannya tidak senang duduk kerana secara tepatnya dia tidak pernah mahu memikirkan hal tersebut dengan bersungguh-sungguh.

Lagi pula,urusannya dengan perempuan tidak pernah rumit.Tidak dramatik seperti drama-drama Korea dan jauh sekali daripada perkataan tragis seperti filem-filem Hindustan.Urusan wanita dalam hidupnya pun tipikal urusan tentang wanita yang tidak banyak tingkah dan karenah.

Aira yang menghubunginya tiga kali seminggu bertanya khabar itu ini dan akhir sekali ibunya,Hajah Faridah yang menghemat bicara.Ataupun kakak iparnya yang seorang itu.Begitu-begitu sahaja.

Abangnya sendiri adalah contoh terbaik kepada seorang perempuan yang tidak banyak ulah.Si abang yang laris seperti pisang gorang panas itu selalu bersikap cuek dan tidak perduli bahkan Farhan bukan sekali dua menjadi posmen buat menyampaikan surat berbau bunga yang dititipkan para gadis kepadanya lama dulu.

Tetapi,tidak ada angin tidak ada ribut abangnya menyerahkan sebentuk cincin kepada ibu mereka pada suatu malam.Meminta agar dilamarkan seseorang untuknya.

Berminggu-minggu Farhan mencari informasi bertanya itu ini kerana sungguh dia ingin tahu bagaimana pemuda yang hatinya selalu tertutup rapat bak kawat berduri di penjara Guantanamo Bay itu dapat tunduk begitu mudah.

Selidik atas selidik,rupanya sudah bertahun-tahun ibu mereka memata-matai gadis yang hanya menamatkan sekolah pondok dan tidak dapat meneruskan pengajiannya ke peringkat lebih tinggi disebabkan ayah yang menjadi tulang belakang keluarga itu jatuh sakit dan tidak mampu menyekolahkan adik beradiknya yang lain.Bak bulan jatuh ke riba,gadis yang dimata-matai ibu mereka dan gadis yang menjadi panutan hati sang abang rupa-rupanya adalah orang yang sama.

Barangkali memang sudah menjadi kebiasaan kaum ibu begitu mengambil berat soal pemilihan anak menantu.Dan itu sepertinya menjadi punca wujud istilah telangkai dalam kamus perbendaharaan bahasa Melayu sehingga ke hari ini.Setelah ditimbang dengan saksama,gadis bernama Ummu Fatihah itu layak dipertimbangkan menjadi menantu sulung keluarga mereka.

"Hanya kerana sepinggan mee rebus,Aan."

Bisik ibunya dan sang abang yang berada di situ sekadar mengulum senyum.Dipandangi wajah pemuda itu yang membuang senyum ke luar jendela dan raut wajah Farhan ketika itu terpamer rasa tidak percaya yang bukan main-main.Jika diamati,abangnya itu menjadi bertambah tampan bukan kerana anatomi wajahnya yang sudah berubah,melainkan ada aura lain yang memancar dari dalam dirinya.Aura yang membuatkan sesiapa sahaja percaya diri dan mendadak lebih rupawan.

"Bahkan ketika tidur dia boleh tersenyum."Tambah ibu mereka tertawa kecil.

Tetapi setelah bernikah dengan abangnya dan mendengarkan suara kakak iparnya mengalunkan bacaan Al-Quran ketika penghuni rumah lain masih lena diulit mimpi ataupun ketika dia mendodoikan sang permata hati dengan lantunan selawat dan puji-pujian kepada Nabi Junjungan SAW,barulah dia faham mengapa pemuda berhati keras bak cangkerang kura-kura itu dapat luluh hanya dengan sepinggan mee rebus.

Namun,sejak kebelakangan ini segala tanggapan positifnya tentang wanita lebur berantakan gara-gara satu nama.Naifa Zahra!

019-×××××××                                   Mynameiskhan😎

Perempuan ini makhluk misteri,Aan.Sigmund Freud sendiri tidak dapat merungkai misteri itu sehingga akhir hayatnya.

Tidak perlu Khan menyebutkan hal tersebut.Farhan sendiri tidak mampu menandingi segala macam teori psiko-analisis Bapa Psikologi Moden kelahiran Austria itu.Dan lebih daripada itu,dia langsung tidak faham mengapa nama Naifa Zahra kerap menjadi topik mereka dalam aplikasi sembang kumpulan.

My Dear LoserWhere stories live. Discover now