AFTER A WHILE

44 4 0
                                    

Kanak-kanak zaman milenium bukannya boleh mendengar perkataan janji.Pantang nenek moyang mereka barangkali dan agak memalukan jika seorang dewasa sepertinya mungkir janji kepada seorang kanak-kanak.Bagaimana anak-anak akan belajar dan mencontohi nilai yang baik daripada orang dewasa jika orang dewasa sendiri bengkok akhlaknya?

Terlajak perahu boleh diundur,terlajak janji bertabahlah!

Itu situasi yang dialami Farhan kini.Kehabisan tenaga kerana melayani karenah anak saudaranya yang seorang itu.Anak yang ketika menghantarnya di lapangan terbang masih bertatih kini tingginya sudah melepasi pinggang.Nakal dan keletahnya minta ampun.

Benarlah.Masa terlalu cepat berlalu kini.Sebentar-sebentar Jumaat lalu Jumaat bertukar seminggu.Seminggu menjadi sebulan dan pejam celik,sebulan sudah jadi setahun.Empat tahun tidak bertemu dan hanya bersua muka melalui panggilan video jika dia berkelapangan dalam kesibukannya menyelesaikan laporan penyelidikan.

Dan kini anak itu sedang menagih janjinya semasa sambutan hari lahir yang ke-tujuh awal bulan lepas.Janji Farhan akan membawanya membeli buku-buku bergambar dan singgah ke taman tema .Lalu,senggang Farhan diisi dengan menemani anak saudaranya itu membeli kesemua buku bergambar kesukaannya sebagai menepati janji yang pernah dikatakannya.

Syaratnya hanya dua.Stamina dan dompet yang tebal!

Menghabiskan masa hampir sejam di ruangan buku yang menjual ratusan jenis buku bergambar itu dengan Azfar membeli belasan jilid buku,Farhan sudah kehabisan tenaga tetapi janji tetaplah janji yang perlu ditunaikan.Letih mengekori Azfar yang ke hulu ke hilir dengan troli mininya memilih buku dan pensil warna yang disukainya.

Duduk seketika di atas permukaan kerusi yang tersedia berhampiran kaunter pembayaran,Farhan merogoh koceknya bagi memeriksa pesanan yang diterima melalui aplikasi whatsapp. Diketepikan dulu hal kerja kerana dia masih mempunyai tempoh empat bulan waktu rehat sebelum memulakan tugasnya.Dan pesanan lain adalah daripada rakan-rakannya semasa di universiti dulu.Ammar,Fateh,Jimmy dan Khan.Lingkungan pertemanan yang begitu-begitu sahaja.

Ketika Farhan menyua kad debitnya untuk menyelesaikan pembayaran,tiba-tiba sahaja ada seorang kanak-kanak dalam lingkungan tiga atau empat tahun meluru laju ke arahnya dan hampir tersandung di hujung kaki membuatkan refleks Farhan segera menyambar anak itu sebelum wajahnya mencecah lantai.

Merendahkan tubuh sehingga separas dengan kanak-kanak tersebut,Farhan melayangkan senyumannya seraya menyeluruhi wajah kanak-kanak itu.Sinar mata anak itu mencerminkan hati anak-anak yang masih naif dan bersih.Hidungnya mancung diapit pipi yang sedikit berisi sementara rambutnya hitam dipotong rapi hampir kening.Mengenakan kemeja biru muda yang  berkolar dan sehelai jeans hitam juga kasut warna senada.Kemas.Segak dan menyenagkan untuk dipandang lama-lama.

Baru sahaja Farhan hendak bertanya nama dan dia bersama dengan siapa,pandangannya sudah tertuju ke hujung kasut seseorang yang berhenti tepat di hadapannya setelah berlari-lari anak.

"Terima kasih,encik dan maaf kalau ia sedikit tidak menyenangkan."

Tunggu..

Tatapan mata Farhan yang jatuh ke hujung kasut hitam itu sedikit membola.Dia kenal suara tersebut walaupun sudah terlalu lama dia tidak mendengarnya.Mendadak sahaja dadanya gemuruh entah mengapa.Mengatur semula nafasnya,perlahan-lahan dia kembali meluruskan tubuh.

" Assalamualaikum,Naiifa.."

Buat beberapa detik,Naifa tidak segera menjawab.Terkejut apabila seseorang dengan tampang wajah yang sangat dikenalinya itu memberi salam.Langsung tidak menyangka akan bertemu dengan Farhan di tempat itu.Dia tidak pula mendengar khabar tentang kepulangan Farhan dari luar negara dan kerana itulah dia masih sedikit tergamam.

My Dear LoserWhere stories live. Discover now