EPIPHANY II : HAZER vs HAZER

92 13 10
                                    

Secara kasarnya,boleh dikatakan Farhan lumpuh dari pinggang ke kaki kerana ketika dipapah menuju ke arah kereta Khan,dia merasakan kakinya seperti baru digilis treler.Hampir kebas dan tidak dapat merasakan jerutan kasut kanvas pada kakinya.Bahkan hujan juga menambahkan dramatiknya kejadian tersebut entah mengapa.

Dan satu-satunya perkara yang menyenangkan bagi Farhan ialah ketika melihat para junior menyorakinya dalam guyuran hujan walaupun dia tidak  mengendahkan hal tersebut.Ketika Amei memayunginya daripada curahan hujan tepat tatkala dia menyelesaikan larian,wajah-wajah risau yang memenuhi pandangan matanya senyap-senyap menyelinapkan rasa hangat yang menjalar dalam hatinya.

Dan kerana itu,hujung minggu Farhan hanya dihabiskan di dalam bilik tidur dengan kakinya diampuh bantal dan beberapa jam pertama selepas kejadian itu,dia hanya mampu terbaring di atas katil sementara rakan-rakannya dari kru AJK Minggu Orientasi berganti-ganti melawatnya dan membahagikan masa sesama mereka untuk menunggui Farhan di situ sekurang-kurangnya sehingga dia mampu bangun sendiri.

Ketika telefon bimbitnya bergetar,pantas dia mencapai dan menggeserkan ikon hijau bagi menyambungkan talian .

" Hidup lagi engkau?" tanpa salam satu suara menendang gegendang telinganya.

Tchhh...Farhan tertawa kecil sambil cuba menegakkan bantal yang mengalasi belakangnya pada kepala katil.Amar tidak ada.Membeli makanan katanya dan kerana itulah Farhan dapat melelapkan mata dengan aman sebentar tadi.Jika pemuda yang satu itu ada,naik bingit juga telinga Farhan mendengar bunyi aneh dari permainan video yang dimainkan Amar maka ketika dia mengatakan hendak keluar membeli makanan,harap berlama-lamalah pemuda itu kerana tanpa dia,dapat juga Farhan merehatkan gegendang telinganya buat beberapa ketika.

" Saya dah nampak orang berjubah hitam dengan sabit panjang menunggu di atas sampan bertanglung merah,senior.."

Pemuda di hujung talian tertawa besar mendengarkan jawapan Farhan.Dia tahu apa yang dimaksudkan Farhan.Imej Grim Reaper yang selalu muncul dalam adegan kartun serta-merta terbayang di dalam imaginasinya.

" Kita dah janji hanya selesaikan dua atau tiga pusingan.Nasib baik kau tak pengsan."

" Eiyyy..word is an honour,senior."

" Banyaklah kau punya honour." sahut suara di hujung sana " Kami cuma tampil sepuluh minit tetapi akan dibenci sepanjang tahun.Ada yang memuatnaik rakaman video ke dalam ruangan forum online universiti.Tak pasal-pasal kami jadi topik hangat."

" Ala..saya cuma nak menunjukkan betapa berkuasanya senior tahun akhir kepada para junior.Di atas langit masih ada langit dan di atas senior tahun empat ada lagi senior tahun akhir.Senior Nabil juga yang popular.."

" Popular tak popular.." Ada suara lain pula yang mencelah dan tahulah Farhan perbualan tersebut sememangnya dalam mod pembesar suara" Kau okay tak tu?"

" Saya okay.Tak payah risaulah."

" Rehatlah Farhan.Call kalau ada apa-apa." Begitu Nabil sang antagonis adegan semalam menamatkan panggilan.

Muhammad Nabil bin Muhammad .Senior tahun akhir yang tampil sebagai pelakon tambahan dalam skrip yang dirancang para kru hazer disiplin.Walaupun jarang berjumpa disebabkan kesibukan masing-masing,ia sedikit pun tidak mengurangkan rasa hormat Farhan kepadanya.Susuk yang bertanggungjawab secara langsung kepada perlantikan Farhan sebagai ketua AJK Disiplin Minggu Orientasi.

Tidak akan Farhan pernah lupakan bagaimana dia didenda untuk menyanyi lagu kebangsaan di hadapan sebatang pokok berhampiran padang bola sehingga suaranya serak dan setiap kali Farhan melihat pokok  tersebut,dia tidak akan dapat menahan diri daripada tersenyum sendiri. Satu nostalgia yang tidak dapat dilupakan.

My Dear LoserWhere stories live. Discover now