MELENGKING-LENGKING suara seorang wanita dalam lingkungan pertengahan 20-an di luar sebalik pintu. Kedua-dua belah telinga ditutup menggunakan tangan kecilnya. Tetapi dia masih boleh dengar suara jeritan dan lolongan di luar.
Selepas suara wanita, suara garau sang bapa pula yang turut naik beroktaf-oktaf tidak mahu kalah. Menengking-nengking isterinya dalam keadaan emosi yang berlebih-lebihan. Suara tertahan-tahan, takut dia akan bertindak di luar kawalan.
"Stop please...please..." Budak lelaki yang baru saja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-8 semalam, menggeleng kepala laju-laju.
Dia cuba mengusir suara-suara mama dan papanya yang masih bersabung suara di luar kamar tidurnya. Yang dia dapat hanyalah kesakitan. Air mata mengalir laju tanpa rasa segan. Bahunya terhinggut-hinggut.
Apabila mendengar suara di luar makin kuat, dia sudah tidak dapat menahan diri. Wajah bertukar pucat lesi. Lagi-lagi setelah mendengar bunyi seperti seseorang menerima tamparan yang tersangat kuat. Saat ini, dia sedar mungkin mama telah menampar papa lagi. Untuk kali yang keberapa? Dia sendiri tidak tahu. Senang cerita, tidak mampu dikira.
Mama selalu meletakkan segala kesalahan ke atas bahu papa ketika mereka sedang bertengkar. Meskipun bukan salah papa, mama tetap akan cari jalan, putar belit cerita supaya papa terlihat seperti pesalah. Dia belum buta untuk menilai.
Mama selalu membawa keluar masuk lelaki ke dalam rumah mereka ketika papa berada di pejabat atau outstation di luar negeri. Bukan niatnya untuk menyimpan rahsia mama, tetapi wanita itu sudah mengugutnya terlebih dahulu agar tidak buka mulut kepada papa.
"Kau ni dah melampau tahu tak!" Ku Qaiser sudah tidak tahan suara. Menggelegak hati tatkala melihat senyuman isterinya.
Bukan sekali dua bertengkar. Kira-kiranya selepas kelahiran Ku Qidran, hubungan mereka sudah semakin rentak. Tidak tahu di mana salah dan kurangnya dia sebagai suami sehingga isterinya sanggup mencurangi dia. Ku Qaiser benar-benar terkilan.
Fikirnya masih ada ruang dan jalan untuk memperbaiki hubungan retak mereka suami isteri. Tetapi sakitnya perjuangan seorang diri itu benar-benar dirasainya. Hanya dia yang berjuang demi rumah tangga mereka, sedangkan wanita itu seolah-olah menunggu detik-detik dia melafazkan talak.
"Ya! Memang aku melampau! Jadi sampai bila kau nak simpan aku? Ceraikanlah aku cepat!" Oktaf suara Puan Melinda tidak turun meski hanya satu anak tangga. Masih kuat mempertahankan keinginannya yang satu itu.
"Kau fikir selama ni aku bahagia ke hidup dengan kau? Aku dah penat berpura-pura! Sekarang ni, aku nak kau ceraikan aku. Aku dah tak tahan tinggal dalam neraka ni!"
"Jangan cabar aku, Melinda!" Ku Qaiser ketap gigi. Rahang bergerak-gerak keras. Memandang Puan Melinda yang kini semakin mencabar dia melakukan tindakan itu. Mana mungkin Ku Qaiser ingin melakukannya dengan kerelaan hati.
Dia benar-benar sayangkan Puan Melinda. Wanita yang dia kutip dari tepi jalan dulu, kini sudah berpaling hati. Ku Qaiser masih tidak faham, di mana salahnya lagi? Ada kurang di mana kasih sayang yang dia curahkan?
"Aku cabar kau, Qaiser. Ceraikan. Aku!" Bulat-bulat Puan Melinda mempertahankan keinginannya untuk diceraikan. Langsung tiada riak serba salah terpamer di wajah manis itu.
Dalam pandangannya seolah-olah tiada lagi ruang untuk lelaki bernama Ku Qaiser.
"Kalau ini yang kau nak..." Ku Qaiser mengalah kepada takdir. Memandang isterinya yang kini senyum lebar, entah kenapa hati dia sakit sangat. Sakit ini terlalu memakan hatinya dari dalam. Merobek-robek isi hati dia.
"Nora Melinda Binti Abdullah, aku ceraikan kau dengan talak satu."
*****

YOU ARE READING
Isteri Yang Dibeli [ E-BOOK | DIBUKUKAN-TERBITAN APRIL 2022 ]
RomanceKata orang, cinta tidak bisa dijual beli. Tetapi tidak untuk seorang lelaki yang sudah beku hatinya untuk mencintai. Akibat kenangan pahit lalu, dia membesar menjadi seorang yang tidak ada kasih sayang. Prinsipnya hanya satu, tiada seorang perempun...