B A B 8

3.3K 201 11
                                        


"AKU terima nikahnya Nasuha Zahra Binti Adnan dengan mas kahwinnya sembilan ratus ringgit, tunai." Jatuh setitik air mata tatkala lafaz itu meluncur lancar daripada mulut lelaki yang kini sudah bergelar suami.

Detik ini, Nasuha sudah sah menjadi milik Ku Qidran seutuhnya. Syukur pernikahan serba ringkas ini berjalan lancar tanpa ada gangguan. Ku Qidran pula seperti tiada debar. Lancar setiap lafaznya. Hanya sekali lafaz, kini mereka sah bergelar suami isteri.

Pernikahan serba ringkas hanya berlangsung di pejabat agama. Ku Qidran sekadar ikut rukun nikah yang diwajibkan saja. Tiada majlis untuk meraikan mereka, tiada keluarga atau teman-teman rapat yang akan menjadi 'saksi' detik mereka sudah sah.

Diam-diam Nasuha terkilan. Hingga saat ini, Puan Saleha sendiri tidak tahu akan pernikahan mereka. Malah tidak 'dijemput'. Semuanya arahan Ku Qidran. Lelaki itu mahu mereka sah menjadi suami isteri dahulu sebelum memberitahu ibu.

Tidak mahu ibu masuk campur urusan pernikahan mereka. Tambahan lagi, Nasuha satu-satunya anak gadis Puan Saleha. Satu-satunya permata hati dia. Sudah tentu Puan Saleha mahukan yang terbaik untuk majlis pernikahan gadis itu. Namun, Ku Qidran mengharapkan yang sebaliknya.

Pernikahan mereka akan dirahsiakan daripada pengetahuan media luar.

Bermula detik ini, perjalanan 'kisah cinta' Nasuha akan berlangsung selama mana yang diinginkan oleh Ku Qidran. Selama mana takdir masih berpihak kepada mereka, Nasuha berjanji akan simpan kenangan paling terindah sepanjang hidupnya bergelar isteri kepada lelaki itu.

Saat ini, Nasuha sedar pernikahan mereka bukan atas dasar cinta. Tapi tidak salah jika dia cuba merasai 'cinta' itu walau hanya bertepuk sebelah tangan. Tidak mengharapkan apa-apa, namun Nasuha tidak dapat menepis perasaan yang mulai hadir sebaik sahaja lafaz nikah meniti dari bibir Ku Qidran.

Lelaki yang sudah sah bergelar suami. Syurga dia untuk sementara ini.

Masuk saja ke dalam perut Audi A6 itu, Nasuha terus lempar pandangan ke luar. Cuba usir 'sesak' yang tersesat di dalam kepala dan hati. Nafas ditarik dan dihembus berulang kali. Biar sampai dapat rasa tenang. Tapi makin lama, Nasuha makin rasa nafas sesak kuat.

Suhu hujung jemari turun mendadak, dingin kaku. Bibir menggigil halus bila teringatkan Puan Saleha di hospital. Semalam, wanita itu telah dimasukkan ke dalam wad untuk pemantauan doktor. Entah bila boleh pulang, ianya bergantung kepada tahap kesihatan Puan Saleha sendiri.

Nasuha benar-benar takut untuk berhadapan dengan ibu. Benar-benar tiada keberanian untuk menentang anak mata tua yang benar-benar meletakkan sepenuh kepercayaan kepada dia.

Ibu tahu Ku Qidran akan menjadi suami dia. Tapi bukan secepat ini. Bukannya pernikahan seringkas di pejabat agama macam ini. Setidaknya, ibu perlu dijemput untuk menjadi 'saksi' penyatuan mereka.

"Nasuha."

Ada jemari kasar yang menyentuh kekura tangannya. Nasuha sedikit terenjat. Rasa seperti ada aliran elektrik mengalir dalam tubuh. Terus ditarik kembali tangannya, peluk tubuh sendiri.

Kening Ku Qidran terjongket. "Kau okey ke tak ni?"

Angguk.

Kelopak mata Ku Qidran mengecil. Ada benih-benih curiga bercambah. Respon Nasuha sedikit pun tidak meyakinkan. Dahi berkerut. Renung lagi Nasuha sampai gadis itu jadi tidak selesa.

"Menyesal dengan keputusan ni?" tanya Ku Qidran lagi. Ingin Nasuha berterus terang sebenarnya.

"Kau sah menjadi isteri aku beberapa minit yang lepas. Dan kau menyesal secepat ini?"

Berterusan mendesak Nasuha. Dagu isterinya disambar. Tidak kasar, tidak lembut. Tetapi cukup membuatkan wajah gadis itu menghala kepadanya. Mata sudah terpejam, takut mungkin. Tapi Ku Qidran tidak kesah.

Isteri Yang Dibeli [ E-BOOK | DIBUKUKAN-TERBITAN APRIL 2022 ] Where stories live. Discover now