B A B 4

2.8K 193 15
                                        

TERCENGANG. Mata terbuka luas, tidak berkelip melihat bangunan mewah yang tersergam indah di depan mata. Sepanjang hidupnya, ini merupakan pengalaman pertama menjejakkan kaki ke tempat seperti ini. Mata jeling lantai pula. Wah, bersih! Lagi bersih daripada muka aku.

Kemudian, beralih pula memandang dinding lif di depan. Pun berkilat juga. Boleh nampak pantulan diri sendiri. Tidak semena-mena rasa takjub dan tidak sabar-sabar untuk meneroka apa yang ada lagi di dalam bangunan ini.

"Seronok ke terpacak jadi guard dekat situ?"

Wajah Nasuha bertukar merah padam. Baru perasan Ku Qidran sudah masuk ke dalam perut lif. Menunggu dia sambil berpeluk tubuh. Kantoilah dia mengelamun tadi. Seronok sangat melihat sekelilingnya. Sampai tidak peka dengan situasi yang berlaku.

"Kau nak aku tunggu berapa lama lagi? Masuk." Suara Ku Qidran bertukar keras sedikit. Mungkin nak bagi Nasuha faham. Gadis itu masih nampak terpinga-pinga. Teruja pun ada. Seperti rusa baru masuk kampung.

"Maaf..."

Nasuha tundukkan wajah. Langsung tidak bertentang mata dengan Ku Qidran, rasa malu pun ada sebenarnya. Berdiri di samping lelaki itu tanpa suara. Sekali lagi, seperti di dalam kereta tadi, sepi menghambat suasana.

Lebih selesa diam. Tak ada topik sebenarnya.

Tidak lama juga menunggu, bunyi dentingan lif agak mengejutkan Nasuha. Tertera nombor 045. Mungkin sudah sampai ke rumah Ku Qidran, fikirnya mudah. Tidak mahu berfikiran jauh. Buat sakit otak. Perempuan jika overthinking boleh sampai ke bulan.

Kebisuan masih menyelit di antara mereka. Nasuha hanya ikut langkah besar Ku Qidran menuju ke pintu rumah lelaki itu. Sesekali hampir tersadung. Tidak pandai pakai kasut tumit tinggi yang sebetulnya. Hanya kasut itu saja yang ada, terpaksalah pakai. Takkan mahu berkaki ayam pula.

"Duduk."

Tiba di ruang tamu rumah Ku Qidran, sekali lagi bibir Nasuha tidak henti-henti memuji. Mata memandang penuh takjub. Rasa terpegun buat sekian kalinya. Reka bentuk dalaman ini terlihat elegan, mewah, dan kaya. Yang paling penting, ada bercirikan ala-ala Inggeris.

"Kau nak minum apa-apa ke?" soal Ku Qidran berbasa-basi.

Barulah mereka bertentang mata. Nasuha kelipkan mata banyak kali, nampak polos. Tak padan dengan pakaian terdedah itu. Ku Qidran mengeluh. Ditilik tubuh Nasuha dari atas ke bawah.

"Erm, saya nak air kosong je, boleh? Haus..."

"Kau tak selesa ke? Tak apalah, malam ni kau pakai dulu apa yang ada. Esok bersiap, aku bawa kau beli baju baru." Usai itu, Ku Qidran terus berlalu ke ruang dapur.

Tinggallah Nasuha seorang diri di situ. Masih juga tidak tahu mahu buat apa. Apabila sudah rasa bosan, punggung diangkat. Kakinya mendayung ikut kata hati meski tidak familiar dengan ruangan itu. Berhenti di hadapan sebuah almari kaca putih. Tentunya reka bentuk yang eksklusif.

Barisan bingkai gambar di dalam almari kaca tersebut menjadi tumpuan Nasuha. Ada juga plak kayu, piala dan pingat-pingat dari berwarna emas hingga warna perak. Dari yang besar hingga yang kecil. Mungkin Ku Qidran merupakan atlet sekolah dulu. Sebab itulah Ku Qidran berkulit tan. Tubuhnya tinggi dan tegap.

"Nasuha."

Berkalih pandangan. Nasuha melangkah kembali ke tempat tadi. Melihat Ku Qidran yang sudah melabuhkan punggung, dia ikut saja. Pandangan lelaki itu seolah-olah mengisyaratkan dia supaya tidak banyak mulut.

"Terima kasih," ucap Nasuha perlahan.

Gelas air kosong yang dihulurkan oleh Ku Qidran disambut dengan senyuman nipis. Ada rasa sedikit kurang selesa. Anak mata helang itu memerhatikannya tanpa lepas-lepas. Seolah-olah tidak mahu dia lari dari pandangan. Nak menggari kakinya.

Isteri Yang Dibeli [ E-BOOK | DIBUKUKAN-TERBITAN APRIL 2022 ] Where stories live. Discover now