B A B 2

2.8K 179 4
                                        

PANDANGAN kosong dilayangkan kepada beberapa orang perempuan berpakaian tidak cukup kain yang baru berjalan melepasinya. Puas ditolak, barulah perempuan itu berjalan pergi. Tak ada mood untuk melepaskan kehendaknya yang satu itu.

Jemari mengitari bibir gelas minuman kerasnya. Hanya termenung memikirkan sesuatu. Hela nafasnya tenggelam dengan bunyi muzik rancak di pusat hiburan itu. Ku Qidran mendengus kasar apabila merasa terganggu.

Nyaris ingin menepis tangan di bahunya. Tindakan Ku Qidran mati apabila wajah tampan sepupunya, Ku Zaril menyapa pandangan. Kening dijongketkan kepada lelaki bert-shirt polo malam itu. Tersengih-sengih saja seperti kerang busuk. Gayanya macam baru menang loteri besar.

"Happy birthday my best buddy. Kau dah semakin tua. 32 huh?" Ku Zaril ketawa lepas. Bahu Ku Qidran ditepuk-tepuk kuat. Rasa geli hati pula apabila melihat reaksi lelaki itu, nampak sangat malas melayan dia.

Ku Zaril melabuhkan punggung berhadapan Ku Qidran. Kaki disilang gaya bossy. Turut menyandarkan tubuh, mata terpejam untuk beberapa detik. Lega dapat merehatkan tubuh. Mujur Ku Qidran pilih tempat paling hujung, tak adalah bising sangat. Menyakitkan telinga saja.

Sekilas mata mengerling Ku Qidran yang hanya senyap sedari tadi. Bunyi eh sepatah pun tidak ada. Sapaannya pun dibiarkan sepi. Tetapi wajah kosong itu tidak menggambarkan apa-apa pun. Sedihkah? Gembirakah? Ada masalahkah? Tiada sesiapa yang tahu.

"Oi, asal senyap je?" Kaki Ku Qidran ditendang.

Masih juga senyap membisu. Ku Qidran seperti terhenyak dalam emosi. Hanyut dalam kebisuan. Seakan sedang memaku perasaaan yang entah bagaimana rasanya kini. Air muka tidak melukiskan apa-apa kepedihan. Tetapi di sebalik dada itu, ada satu rasa pedih yang mula menyucuk-nyucuk ulu hati. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini, kenangan lalu kembali mengejarnya tanpa henti.

Ku Qidran jadi semakin benci untuk mengingati. Benci untuk putar kenangan gelap itu sebagai memori. Buat sakit hati, panas hati. Rasa menggelegak seluruh tubuh. Sampaikan mood dia malam ini tidak berapa baik. Beremosi tetapi tidak ditunjuk.

Ada luka tetapi tidak berdarah.

"Kau okey tak ni?" Ku Zaril mula faham rentak emosi sepupunya.

"Semalam, perempuan tu datang. Nak jumpa aku. Tak ada rasa malu, terus masuk rumah aku. Aku tak faham, apa yang dia nak sebenarnya?"

Angkat wajah, mata bertentang. Pandangan Ku Qidran saat itu sarat dengan emosi. Mahu rasa bagaimana lagi? Patutkah dia gembira apabila pulang saja ke rumah, wanita yang pernah bergelar 'mama' dulu sudah terpacak di depan pintu. Menayang wajah manis tanpa rasa bersalah.

Wajarkah Ku Qidran rasa gembira?

Puan Melinda yang dulu membuangnya, kini datang menagihnya kembali tanpa ada rasa bersalah. Sebagai seorang anak, Ku Qidran benar-benar terkilan. Kekecewaan lalu yang sentiasa ada dengannya sehingga kini. Wanita itu telah meninggalkan dia dan papa sejak hampir dua puluh tahun lebih lamanya.

Sejak dua bulan lepas, mama tiba-tiba muncul kembali membawa hajat untuk berbaik dengannya semula. Beri alasan rindu anak kandungnya. Lama tidak berjumpa.

Hak tuih! Dulu kau yang buang aku.

Sejujurnya sudah tiada rasa rindu atau sayang terhadap wanita itu. Yang dulunya dia teringat-ingat sayang, kini layak dibuang. Papa yang membesarkan dia, yang menjaga dan mendidik dia sejak mama meninggalkan mereka untuk lelaki lain. Katakan kepada dia sekarang, sebab kenapa dia harus mengharapkan wanita itu supaya kembali?

Mama yang menjadikan dia macam ini. Mama yang salah! Wanita itu punca segala-galanya.

"Aunty Melinda?" Ku Zaril kerutkan kening.

Isteri Yang Dibeli [ E-BOOK | DIBUKUKAN-TERBITAN APRIL 2022 ] Where stories live. Discover now