TEPAT jam lapan pagi, Nasuha sudah sedia menunggu di sisi meja makan buatan Itali itu. Tayang senyum kecil, nampak ikhlas benar. Sesekali mata mencari-cari kelibat encik suami. Lama juga dia tunggu. Tetap tidak nampak batang hidung.
Tidak lama kemudian, bibir mula melepaskan keluhan. Sekonyong-konyongnya rasa hampa dan mungkin, kecewa? Entahlah. Nasuha cuba untuk tidak mahu memikirkan sesuatu yanghanya akan menghiris hati sendiri.
Mi goreng dan secawan kopi panas yang tadinya panas menghangat, kini semakin menghampiri dingin kesejukan. Mengeluh lagi. Lagi. Dan lagi. Bibir digigit, tahan diri untuk tidak melalukan sesuatu di luar kawal. Jarum jam sudah menghampiri lapan lima belas minit pagi.
Mana Ku Qidran ni? Patut ke Nasuha pergi jenguk sekejap? Tapi...hati berbelah bahagi. Tak mahu kelihatan terdesak. Nasuha tak mahu terlalu cepat tunjuk kekalahan dengan 'permainan' suaminya.
"Eh awak..." Cepat-cepat berdiri di sebelah Ku Qidran yang datang entah sejak bila. Jujurnya Nasuha tidak perasan. Mungkin banyak mengelamun tadi.
Riak wajah Nasuha sedikit berubah. Anak matanya tidak henti berlarian ke serata tubuh Ku Qidran dari atas hingga bawah. Kemeja putih dan tali leher berjalur merah itu bukan pilihannya. Bukan juga kemeja yang dia gosok subuh tadi. Liur ditelan payah. Terpaksa terima pilihan suaminya.
Ku Qidran memang sengaja. Sengaja menyakitkan hati Nasuha. Sengaja tidak mahu memakai pakaian yang sudah disiapkan oleh gadis itu. Diam-diam, sudut bibir Ku Qidran terjongket melihat ekspresi wajah gadis yang baru dinikahinya semalam.
"Saya ada masak breakfast. Awak duduklah." Otot pipi tetap gagah melekuk senyuman nipis.
Sekilas anak mata hitam pekat Ku Qidran melirik hidangan pagi yang sudah terhidang di atas meja. Kening tebalnya bertaut. Seketika kemudian, kembali mencari anak mata Nasuha yang sedikit bergetar. Meliar ke serata arah, tidak mahu bertentang mata dengannya. Entah gugup atau takut rasanya.
"Aku dah lewat."
"Tapi jamahlah sikit. Saya bangun awal, masak untuk awak."
Jemari Ku Qidran jatuh pada puncak kepala Nasuha. Membelai rambut ikal mayang isterinya lembut. Sesaat pipi kemerahan Nasuha menjadi mangsa usapan. Jelas wajah isterinya menghangat. Malu barangkali.
"Aku tak suruh. Itu keinginan kau, teringin sangat nak masak untuk aku. Aku jarang makan pagi. Lagi-lagi kau masak benda entah apa ni. Kau fikir aku berselera ke?"
Habis madu, sepah dibuang. Definisi paling sesuai untuk lelaki seperti Ku Qidran. Kata-kata lelaki itu menyentak tangkai hati kecil Nasuha. Terus tertunduk menekur lantai. Malu atau marah? Mungkin kedua-duanya.
Bila mahu tubuhnya, jemari kasar itu akan membelai lembut. Bila tidak mahu, dihamburnya kata-kata yang menyakitkan hati. Apa erti cinta bagi lelaki itu hanya satu permainan? Nasuha hampir lelah tetapi tidak mahu mengalah. Baru hari pertama. Hari pertama bergelar isteri Ku Qidran. Sudah melangkah sejauh ini, tiada jalan untuk berpatah kembali.
Meski sakit, tetap harus ditelan rasa pahit 'cinta' Ku Qidran.
Angguk sekali. Kemudian, kaki berura-ura ingin mengundur dua tapak jauh daripada Ku Qidran. Ironinya, tidak sempat. Tangan lelaki itu lebih cekap merangkul pinggang rampingnya. Menarik tubuh dia supaya rapat ke depan. Benar-benar hanya tinggal seinci ruang di antara mereka.
"Tunggu aku balik. Mungkin lewat, tapi aku tetap nak kau tunggu. Jangan lupa pakai baju yang aku belikan semalam. Faham?" Anak rambut halus Nasuha dimainkan.
Nasuha diam tetapi tetap mengangguk. Akur andai itu keinginan suaminya. Selagi tidak bercanggahan dengan agama, Nasuha wajib patuh kepada suami. Mungkin hubungan mereka masih baru. Belum pecah ais-ais dingin yang menjarakkan mereka. Nasuha harus cuba lebih.

YOU ARE READING
Isteri Yang Dibeli [ E-BOOK | DIBUKUKAN-TERBITAN APRIL 2022 ]
RomanceKata orang, cinta tidak bisa dijual beli. Tetapi tidak untuk seorang lelaki yang sudah beku hatinya untuk mencintai. Akibat kenangan pahit lalu, dia membesar menjadi seorang yang tidak ada kasih sayang. Prinsipnya hanya satu, tiada seorang perempun...