"IBU!" Nasuha melaung kuat sebaik tiba di depan pintu rumah separuh batu, separuh papan itu. Larian semakin laju ketika di ruang tamu. Mencari kelibat ibu di merata tempat. Jantung Nasuha berdegup laju bukan main. Di mana ibu?
"Ibu..."
"Suha? Ya Allah anak ibu! Anak ibu dah balik. Suha pergi mana sayang? Seminggu tak telefon ibu. Ya Allah, risau ibu sayang!" Puan Saleha yang baru masuk dari belakang rumah terus memeluk Nasuha. Satu-satunya permata hati dia. Cinta hati seorang ibu.
Ruang redup dan samar-samar cahaya itu membuatkan hati semakin sayu dikerat air mata. Dua beranak itu saling berpelukan. Tiada kata-kata rindu mampu dilafazkan. Hanya tangisan yang bersuara betapa rasa rindu itu memakan diri. Kata syukur tidak terlepas dari mulut Nasuha. Berkat pertolongan Ku Qidran, ibu sudah ada di depan matanya saat ini.
Ku Qidran hanya memerhati tanpa suara. Membiarkan dua beranak itu melayan perasaan jiwang karat, drama air mata. Tubuh tegapnya disandarkan ke dinding, berpeluk tubuh. Nafas dihela panjang. Berat bunyinya. Macam menyimpan sesuatu yang tidak terluah.
Ibu? Dia tidak pernah rasa kasih sayang seorang ibu seperti Nasuha.
"Ni siapa sayang?" Puan Saleha maksudkan Ku Qidran. Baru perasan lelaki itu hanya bersandar tidak bersuara. Tak pernah pula dia kenal jejaka itu. Rasanya bukan orang kampung ini. Dari gaya berpakaian pun nampak lain.
"Ni..."
Nasuha gigit bibir. Anak mata meliar-liar ke arah lain. Cuba mencipta alasan munasabah yang boleh diberikan kepada ibu. Saat ini, fikirannya kosong. Hilang diksi untuk hujahkan penipuan. Nasuha tidak sanggup untuk menipu ibu. Tapi apa boleh buat? Ada pilihan lainkah?
"Saya Qidran." Ukir senyum nipis.
"Bakal suami Nasuha."
Kumpul liur, ditelan rasa payah. Ya Allah! Kenapa Ku Qidran beritahu ibu macam itu? Memang itu yang betulnya. Memang Ku Qidran bakal suaminya. Tapi yang betulnya juga, lelaki itu hanya bakal suami sementara. Perkahwinan mereka cuma sementara. Cuma sandaran untuk lelaki itu mendapatkan 'anak'.
Macam mana Nasuha ingin beritahu ibu andai perpisahan mereka nanti menjadi tanda tanya?
"Bakal suami?!" Puan Saleha benar-benar terkejut. Rasa sesak dada mendengarkan pernyataan yang keluar dari mulut Ku Qidran.
"Nasuha Zahra..."
Jemari Nasuha terasa berpeluh meski tidaklah hangat mana. Tetapi pandangan ibu seolah-olah menghantar bara api. Bukan kemarahan tetapi kekecewaan. Rasa terkilan. Nasuha tunduk kepala. Pegang tangan ibu lalu dikucup lama.
"Maaf ibu...Suha..."
"Kenapa tak beritahu ibu awal-awal? Ibu ni ibu Suha, berhak tahu." Puan Saleha seakan berjauh hati. Sedikit terkesan.
"Suha tak ada niat untuk ketepikan ibu. Qidran sebenarnya..."
Ku Qidran mendengus perlahan. Menegakkan tubuh, kaki mendekati Puan Saleha dan Nasuha. Sepenggal senyuman diukir paksa. Berdiri di hadapan Puan Saleha dengan wajah 'suci', nampaklah seperti bakal menantu mithali.
"Semua ni bukan salah Suha, ibu. Saya yang buat keputusan terlalu awal. Suha kawan lama saya. Dah lama simpan perasaan, saya rasa lebih baik cepatkan je perkahwinan. Benda baik tak elok dilambat-lambatkan, kan?" auta Ku Qidran dengan senyuman. Penuh keyakinan. Pandai pulak mamat ni reka skrip sendiri.
Apa? Dah lama kenal? Dah lama simpan perasaan? Wah, melampau-lampau ye skrip Ku Qidran kali ini.
Lama Puan Saleha tenung Ku Qidran. Nampak macam tiada sebarang unsur penipuan. Kecuali satu. Sudah lama kenal itu...berapa lama agaknya? Kerana Nasuha tidak pernah menceritakan apa-apa kepadanya tentang Ku Qidran.

YOU ARE READING
Isteri Yang Dibeli [ E-BOOK | DIBUKUKAN-TERBITAN APRIL 2022 ]
RomanceKata orang, cinta tidak bisa dijual beli. Tetapi tidak untuk seorang lelaki yang sudah beku hatinya untuk mencintai. Akibat kenangan pahit lalu, dia membesar menjadi seorang yang tidak ada kasih sayang. Prinsipnya hanya satu, tiada seorang perempun...