Sudah hampir jam 12 tengah malam. Dentingan jarum jam terus berlegar dalam kesunyian suasana rumah itu. Isterinya masih juga belum pulang.
Johan berdiri di jendela sambil memandang ke jalan di hadapan rumah. Berharap agar kereta isterinya muncul di situ. Namun hampa. Rusuh hatinya membuatkan dia tidak mampu lena. Panas buntut!
Hanya setelah hampir 12.30 tengah malam barulah kereta Toyota Camry milik Lyn muncul di depan pintu pagar. Johan lekas-lekas duduk di birai katil. Menanti isterinya masuk ke kamar mereka.
Lyn pergi menjengah bilik tidur dua anak daranya itu. Dua anak itu lena pulas saat dipandang oleh sang ibu. Perlahan jemari Lyn mengusap kepala anak-anaknya. Dan hatinya dijeruk kesedihan yang amat dalam.
"I love both of you," bisik Lyn seorang diri. Hatinya kembali dirantai kesedihan entah kenapa. Polos wajah sang anak menyentuh hatinya.
Puas memandang dua anak itu barulah Lyn bangkit untuk ke biliknya pula.
Johan menoleh setelah terdengar pintu biliknya dibuka dari luar. Lyn masuk tanpa menyapa biarpun melihat suaminya sedang duduk macam tunggul di birai katil. Dengan selamba dia menanggalkan gaunnya lalu mencapai tuala.
Johan menelan air liur. Seksi. Tapi tak gunalah dia berkehendak dalam keadaan begini. Takut makan penerajang pula dia nanti. Sudahnya dia berbaring. Biarpun terlalu ingin tahu apa yang dibuat oleh isterinya, dia tidak berani hendak bertanya. Bimbang jawapannya nanti menyakitkan hati.
Selesai mengenakan pakaian tidur, Lyn pergi ke wardrobe. Di dalam sana, dia mencari pakaian-pakaian lama yang sudah lama terperuk di dalam kotak.
"Lyn?" tegur Johan.
Lyn hanya diam. Tidak berminat hendak berbual dengan suaminya sama sekali.
Johan terbidik-bidik memerhatikan Lyn mengangkat sebuah kotak lalu dibawa ke dalam bilik lain. Puas dia menggaru kepala yang tidak gatal. Tidak tahu hendak berkata apa dalam keadaan isterinya boikot bercakap dengannya.
Setelah selesai urusannya, barulah Lyn mendapatkan anak bongsunya.
"Sorry, sayang mummy...." bisik Lyn sebelum anak itu diangkatnya. Kepala anak lelakinya dikucup berkali-kali. Seterusnya dia berlalu ke pintu bersama anaknya itu.
"Lyn, nak ke mana tu?" tanya Johan. Namun wanita itu terus keluar tidak membalas pertanyaannya.
Johan lekas bangun. Di luar dia melihat isterinya membuka pintu salah sebuah bilik lalu masuk. Namun baru dia hendak masuk, pintu itu terus ditutup Lyn dari dalam. Terkedu Johan di depan pintu. Namun segera dia membuka semula pintu itu.
Di dalam kamar itu, Lyn meletakkan anak lelakinya di tengah katil sebelum dia berlalu semula ke pintu.
Get out!" ucap Lyn lalu suaminya itu ditolak. Seterusnya pintu itu dikuncinya.
Terkulat-kulat Johan di depan pintu itu. Mahu mengetuk, bimbang dia mengganggu lena anak-anak.
"Lyn, bukanlah pintu itu kejap," rayu Johan dengan ketukan yang amat perlahan. Namun Lyn hanya membisu sambil melayani anak kecilnya yang dahagakan susu daripada tubuhnya.
"Lyn," panggil Johan lagi. Hampa. Tiada balasan langsung daripada sang isteri.
Sudahnya Johan kembali ke kamar tidurnya.
Berharap benar esok lusa isterinya akan sejuk hati. Namun saat memandang ruangan perbaringan isterinya hanya kosong, dia tidak mampu lena. Selalunya ruangan itu hanya kosong jika isterinya ke luar negara. Hatinya pedih. Tuannya ada, tapi tiada dekat dengannya; tidak mampu didekatinya; tidak peduli kepadanya.
Itu barulah namanya diabaikan!
YOU ARE READING
Curangla Lagi 2
RomanceCurang? Perkataan itu pantang bagi semua isteri atas dunia ini. Begitu juga dengan Azlyn. Ketika di kemuncak bahagia, dia diuji dengan kecurangan suaminya Johan. Johan telah membuat hubungan dengan gadis muda di pejabatnya. Sebagai perempuan, sudah...