Setelah beberapa minggu berlalunya kejadian itu, keadaan Johan pulih hampir sepenuhnya. Tiada sebarang komplikasi biarpun sebelum ini doktor mengatakan terdapat darah beku dalam kepalanya. Namun dia tetap perlu menghadiri janji temu dengan doktor selama 6 bulan bagi memeriksa semula keretakan pada tempurung kepalanya. Johan juga sudah mula sibuk menghadap kerjanya setelah cuti sakit yang agak lama.
Tengah malam itu mereka berdua masih duduk di hadapan TV. Anak-anak sudah tidur. Bibik Sutinah juga sudah berada di dalam biliknya. Berehat.
"Abang buat apa ni?" tanya Lyn. Baru berkesempatan hendak melihat apa yang dikerjakan suaminya di atas kertas A1 itu. Sudah lama dia tidak melihat Johan melukis pelan. Bukan lagi tugas Johan sebagai arkitek.
"Suprise," jawab Johan perlahan.
"Suprise apanya kalau dah depan mata. Cakaplah. Apa ni?" tanya Lyn. Sibuk memandang lukisan separuh siap itu.
"Design rumah."
"Untuk projek yang di Indonesia tu ke?" Kening Lyn berkerut. Setahunya pelan untuk projek di sana bukan dibuat oleh mereka, tetapi arkitek daripada Indonesia juga.
"Bukan. Ni rumah kita," balas Johan perlahan.
"Rumah kita?"
"Daddy nak beri rumah lama daddy tu pada kak long. Tapi kak long tak mahu. Dia selesa di rumah sekarang. Anak-anak dia pun tak nak pindah ke rumah itu. Rumah tu rumah lama. Jauh daripada orang. Jadi kak long suruh kita ambil saja."
"Abang setujukah?"
"Rezeki. Bukan senang kita nak dapat tanah untuk tapak rumah," jawab Johan lantas tersenyum kepada isterinya.
"Luas ke kawasan tu?"
"Luas lebih sikit berbanding rumah daddy sekarang. Rumah tu pusaka arwah datuk abang dulu. Dah lama sangat rumah tu. Jadi, abang cadang nak bina rumah baharu di situ. Abang design sendiri. Kita boleh jual rumah kita, untuk tampung kos pembinaan nanti. Kawasan ni best sebab jauh dari bandar."
Lyn terdiam. Rumah yang hendak dijual itu rumah pertama yang mereka beli dengan hasil titik peluh mereka. Dia sayangkan rumah itu. Banyak memori indah mereka bersama di sana.
"Tak setuju?"
"Sayang, abang. Kita boleh sewakan aja kalau kita tak mahu duduk situ."
"Boleh sewakan. Tapi tetap kena kira untung ruginya, sayang. Setiap tahun kita kena bayar cukai," jawab Johan sambil melarikan pembaris ke bahagian lain.
Lyn memerhatikan lukisan itu. Puas disengetkan kepalanya untuk melihat reka bentuk yang direka sang suami.
"Banyaknya bilik," ujar Lyn.
"Abang nak buat swimming pool dalam rumah. Lebih selamat."
"Besarlah kosnya."
"Ya. Nanti dah siap, abang tukarkan atas nama Lyn. Mana tahu ada apa-apa jadi pada abang, itulah tempat Lyn besarkan anak-anak kita."
"Apa abang ni! Jangan takutkan Lyn boleh tak?" tukas Lyn tidak senang dengan kata-kata suaminya.
"Manalah tahu. Mati ni tak kira tua; tak kira sakit, sayang."
Lyn diam. Ada benar kata-kata Johan. Sesiapa pun tidak dapat menidakkan perpisahan akan berlaku juga suatu hari nanti.
"Nanti dah siap abang tunjukkan designnya."
"Bila abang terfikir nak buat semua ni?"
"Dah lama. Sebelum ni abang fikir nak cari tanah untuk tapak rumah sahaja. Abang pun nak rumah macam kak long," jawab Johan lantas tersenyum.
YOU ARE READING
Curangla Lagi 2
RomanceCurang? Perkataan itu pantang bagi semua isteri atas dunia ini. Begitu juga dengan Azlyn. Ketika di kemuncak bahagia, dia diuji dengan kecurangan suaminya Johan. Johan telah membuat hubungan dengan gadis muda di pejabatnya. Sebagai perempuan, sudah...