BAB 4

17.2K 1.2K 120
                                    

~unedited~

BAB 4

Pap! Eshal menepuk kuat meja kayu panjang itu sebelum bangun. Kerusi berodanya laju mengundur sehingga kuat kedengaran bunyinya berlaga dengan dinding. Tanpa mempedulikan semua itu, dia keluar dari bilik itu. Entah kenapa dada rasa sesak walaupun semua sudah keluar. Ada sesuatu yang membuak-buak dalam dadanya yang minta dilepaskan. Kalau dia masih berada di situ, kerusi bukan setakat berlaga dengan dinding. Silap-silap boleh terbang sekali.

Beberapa tapak Eshal berjalan, kakinya berhenti di satu sudut kaki lima yang agak sunyi. Rambutnya dikuak kasar sebelum nafas kasar dihela.

"Dasar spesis perosak muka bumi. Banyak-banyak wujud, pilih untuk jadi tak berguna. Masa bayi dulu asyik minum susu expired agaknya. Sebab tu sel-sel otak habis terencat." Eshal yang masih marah dengan lelaki-lelaki dalam mesyuarat tadi melepaskan rasa.

Menggelegak rasa api dalam dadanya. Benci dengan apa yang berlaku. Dia tak kesah andai diberi tugas itu. Tapi cukup pantang dia dibuli dan didiskriminasi kerana jantinanya. Dia tak suka apabila mereka semua buatkan kedudukan wanita itu seperti lebih rendah dari mereka. Seumpama objek.

"Jantan-jantan penuh ego. Patut simbah hydrochloric acid kasi hakis. Tak pun kasi sedut gas arsenic pentaflouride," bebel Eshal lagi.

"Tak boleh, Cik Eshal! Di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, boleh dikenakan hukuman atas cubaan membunuh." Terkejut Eshal apabila ada suara asing menyampuk.

Pantas tubuhnya berpusing ke belakang. Budak tak berapa nak budak intern yang datang bersamanya tadi sedang berdiri dengan wajah tak bersalahnya. Marah sangat agaknya sampai Eshal tak sedar ada manusia lain yang membuntutinya. Sah-sah lelaki itu dengar semuanya tadi.

"Awak ikut saya?" Suara Eshal seakan menuduh. Tangannya disilang ke dada dengan wajah seriusnya.

"Cik Eshal macam tengah marah tadi. Saya risau."

"Kenapa? Takut saya buat tindakan bodoh ke?" sinis Eshal.

"Well... you were planning a murder."

Terus mencerun mata Eshal ke arah Ardean.

"Orang kata, bila tengah marah berdiri, kita kena duduk." Ardean berkata tanpa rasa bersalah, macam tak nampak jelingan maut Eshal itu. Hanya tenang seperti selalu.

Eshal pandang kerusi panjang yang berada di sebelahnya.

"Habis? Kalau duduk masih marah, nak buat apa? Nak suruh saya meniarap, guling-guling pulak ke?" sinis wanita itu lagi. Tapi dia tetap menghempaskan punggungnya di atas kerusi itu. Memang kakinya sudah lenguh berdiri. Nafas kasarnya dilepaskan lagi.

Ardean senyum pendek tanpa menjawab. Kata-kata Eshal memang ada benarnya tapi agak kurang tepat. Bukan meniarap, tapi berbaring. Kalau marah berdiri, hendaklah duduk. Kalau marah duduk, hendaklah berbaring pula. Bukan hanya cakap-cakap orang sembarangan. Tapi itu adalah dari Rasulullah S.A.W. untuk menghadapi rasa marah.

Tanpa berbicara apa-apa, Ardean turut labuhkan punggungnya di sebelah Eshal. Ada jarak yang agak besar memisahkan mereka. Hanya mereka berdua di laluan kaki lima yang sunyi itu.

"Cik Eshal, marah itu syaitan. Banyakkan bertenang, berzikir dan ingat Allah," nasihat Ardean lagi meskipun mungkin dia kena maki hamun dengan wanita itu.

Kedengaran Eshal menarik nafas dalam. Sedang menenangkan dirinya mungkin.

"Nah!" Ardean hulurkan sesuatu kepada Eshal.

Sebelah kening Eshal yang terangkat menggantikan soalannya.

"H20." Ardean sengih. Dia suakan botol air mineral itu sekali lagi sebagai isyarat supaya Eshal menyambutnya.

Lelaki AstatineWhere stories live. Discover now