BAB 6

13.7K 1.1K 61
                                    

- not-edited-

BAB 6

"Astatine, ikut saya!" Hanya arahan itu yang dikeluarkan Eshal sebelum wanita itu umpama lipas kudung berlalu ke arah pintu keluar. Mengharap Ardean mengekorinya tanpa perlu dia keluarkan arahan kali kedua.

Ardean yang sedang bergelak ketawa bersama rakan-rakan bawah umurnya terkejut sesaat. Namun, terus dia tersedar. Buku nota yang baru dikeluarkan kembali disumbat ke dalam beg galasnya. Dia berdiri.

Ruby dan Enita berpandangan sesama sendiri.

"Abang A.T, Elsa ajak abang pergi mana? Dia siap bawa handbag. Maksudnya, dia nak keluar," tanya Ruby. Sempat lagi dia menganalisa.

"Ajak dating kut," gurau Enita pula. Sebelum dia gelak berjemaah dengan Ruby.

Tanpa sempat Ardean melayan usikan mereka, dia buka langkah seribu. Mengejar Eshal yang makin jauh dengannya. Kalau dia buang masa lagi, tak mustahil Eshal bertukar jadi Azidoazide azide yang boleh kebaboom tak kira masa.

Ardean melihat Eshal sedang menantinya di depan lif. Sebaik sahaja sedar dengan kehadirannya, Eshal menekan punat lif. Tak sampai lima saat, kedengaran bunyi ting sebelum mulut lif ternganga luas. Kosong. Eshal menapak masuk dulu, diikuti oleh Ardean.

Bila melihat Eshal menekan B1, Ardean tahu apa yang dikatakan rakan-rakan bawah umurnya tadi mungkin ada benarnya. Bukan bab dating, tapi memang dia dan Eshal akan keluar. Sebab sekarang ini mereka menuju ke tempat letak kereta. Nasib baik dia dah bersiap sedia.

"Kita nak pergi mana, Cik Eshal?" Ardean bertanya. Ini kali pertama dia keluar pada waktu pejabat.

"Nak lawat kawasan."

Perghh... dah macam engineer dah gayanya nak melawat kawasan bagai! Meskipun makin tertanya-tanya jadinya, Ardean hanya diam. Dia pasti akan tahu juga nanti. Pasti berkaitan dengan urusan tempat kerja juga. Kedai buku? Gudang? Tapak pesta buku?

Eshal berhenti melangkah, buatkan Ardean automatik hentikan langkahnya juga. Hanya melihat Eshal meraba-raba tas tangannya beberapa saat sebelum dia keluarkan kunci kereta. Kedengaran bunyi isyarat serta lampu yang berkelip-kelip menandakan kunci kereta telah dinyah aktif. Datang dari sebuah Myvi merah yang berada kurang dua meter dari mereka.

"Cik Eshal nak saya drive?" Ardean menawar budi.

"Tak payah. Ingat perempuan tak boleh drive ke?" Mentah-mentah ditolak. Siap kena side eye lagi.

Haish, Cik Eshal ni! Orang tanya je la. Ardean cuma menjadi gentleman. Manalah tahu. Biasanya perempuan memang suka duduk sebelah macam tuan puteri. Seronok bila ada pak supir. Lagipun, dia kan kuli. Cik Eshal kan bos. Bukan ke itu alasan Eshal memanggilnya ikut bersama?

Ardean hanya geleng-geleng kepala, namun berlalu ke arah tempat duduk penumpang sebelah pemandu. Lebih seminggu dia kenal wanita itu rasanya dia dah kenal beberapa perangai Eshal.

Hati kering. Macam manalah dia boleh jadi editor untuk novel-novel cinta?

Merungkai teori itu adalah lebih kompleks daripada segala teori fizik yang Dr. Ardean pernah belajar sebelum ini. Mahu syntax error!

Mereka senyap untuk lima minit pertama. Ardean hanya mendengar DJ radio berceloteh. Dia memandang sekeliling dalaman kereta itu. Bersih. Wangi dengan haruman lavender. Mata cekap Ardean sempat perasan dua pasang kasut bertutup bertumit tinggi di bahagian lantai kereta di bahagian belakang ketika dia ingin masuk tadi. Buatkan dia yakin ini memang kereta persendirian Eshal, bukan hak milik pejabat.

Lelaki AstatineWhere stories live. Discover now