❤️ Bab 8❤️

123 4 0
                                    

Khaisara menguak pintu bilik Nek Melah sebelum menjenguk kepalanya. Nek Melah perasan cucunya sedang merenung ke arahnya lalu dia memanggil Khaisara supaya mendekatinya.

"Sara? Kenapa berdiri aje kat luar tu? Meh masuk." Khaisara terus masuk sebelum memeluk tubuh tua Nek Melah. Dia menangis semahu-mahunya. Terhinjut-hinjut bahunya menahan tangis.

Nek Melah mengusap lembut belakang tubuh Khaisara, cuba menenangkannya. Dia tidak bertanya apa-apa, biarlah Khaisara menangis sepuas-puasnya.

Sudah lama dia menjaga cucu tunggalnya, jarang sekali dia nampak Khaisara menangis. Kali terakhir gadis itu mengalirkan air matanya adalah apabila arwah tok wannya meninggal. Khaisara hanya akan menangis apabila hatinya benar-benar kecewa.

"Nek tok, kenapa mama tak pernah sayang Sara? Kenapa mama mesti paksa Sara buat perkara yang Sara tak suka, nek tok?" Khaisara mengadu.

"Sara, sayang, mama buat semua tu untuk kebaikan Sara jugak kan?" Nek Melah cuba memujuk walaupun dia sendiri tidak bersetuju dengan tindakan menantunya.

"Kebaikan apa, nek tok? Sara tak faham kenapa mama tak nak percayakan Sara. Kat mata mama, Jufri tu yang terbaik." Khaisara mengangkat mukanya memandang wajah Nek Melah dengan pandangan sayu.

Nek Melah tidak tahu mahu menjawab apa. Dia mengelap air mata Khaisara dengan jemari tuanya.

"Sara janganlah menangis macam ni, sayang. Nanti mata bengkak, dah tak lawa dah cucu kesayangan nek tok ni," pujuknya.

"Biarlah mata Sara ni bengkak, nek tok. Untung-untung tunang mithali Sara tu tak jadi kahwin dengan Sara." Khaisara mencebik.

"Tak baik cakap macam tu, Sara. Kalau jadi betul-betul nanti, kan mama dan papa jugak dapat malunya," nasihat Nek Melah.

Khaisara kembali memeluk tubuh Nek Melah. Meskipun dia cuba untuk menerima semua ini, namun dia tidak akan pernah berhenti berdoa agar Allah memberi petunjuk kepadanya.

💖💖💖💖💖💖💖💖

Malam itu, Faramy tidak dapat melelapkan matanya. Puas dia cuba tetapi tetap gagal. Entah kenapa dia berasa resah gelisah sahaja malam itu.

"Ya Allah, kenapa aku asyik teringat kat Khai aje ni? Dia tunang oranglah." Faramy mencuba untuk membuang bayangan wajah Khaisara dari mindanya.

Dia tahu takkan semudah itu dia boleh lupakan perasaannya pada Khaisara. Sudah lama dia menaruh hati pada gadis itu, cuma dia tidak tahu bagaimana mahu berterus-terang. Lagipun  dia sedar lelaki lembut seperti dia tidak layak untuk Khaisara.

Dan dia tidak akan dapat beritahu Khaisara tentang perasaannya sampai bila-bilapun. Biarlah hanya Allah sahaja yang tahu isi hatinya.

"Ya Allah, Kau permudahkanlah urusan Khai. Berilah dia merasa kebahagiaan dan lindungilah dia daripada segala malapetaka." Doa Faramy ikhlas.

Dia mengambil telefonnya sebelum membuka aplikasi Whatsapp. Dia ternampak status Khaisara sebelum klik pada nama Khaisara.

Ayam vs. Sotong. Siapa akan menang ye? Itulah kapsyen Khaisara pada gambar makanan tengah hari mereka yang sempat diambil sebelum ini. Faramy tergelak sebelum menghantar emoji ketawa pada status Khaisara itu.

Faramy segera mengambil telefonnya apabila terdengar notifikasi masuk. Balasan daripada Khaisara.

-Bluekkk! Amy jealous sebab kalah, kan?- 

Faramy segera membalas.

-Mana ada jealous. Aku jenis yang menikmati makanan, bukan gelojoh macam kau! Bluekk!-

Dia menunggu balasan daripada Khaisara.

Ding!

-Ceh! Sempat kau mengutuk aku ye?-

-Dahlah, malas aku nak layan kau. Pergilah tidur, lewat dah ni.-

-Hahahaha, kau rindu aku eh?-

Tersentak Faramy membacanya. Macam mana dia tahu ni? Bisik hati Faramy.

-Dah..dah.. Aku nak tidur. Bye, assalamualaikum.-

-Yelah..yelah.. Waalaikumussalam.-

Faramy melelapkan mata dengan senyuman manis terukir di bibir. Adra Khaisara, alangkah bagusnya kalau kau jadi isteri aku. Tapi mungkin bukan jodoh kita kan? Aku doakan kau bahagia.

💖💖💖💖💖💖💖💖

Khaisara turun bersarapan bersama Dato' Khairil. Kelihatan Bibik Nona keluar dari dapur sambil membawa makanan buat Nek Melah. "Good morning, papa," ucap Khaisara sebelum menghadiahkan kucupan di pipi kanan Dato' Khairil.

"Good morning, anak papa sayang. Hari ni tak kerja ke?" tanya Dato' Khairil apabila dia melihat Khaisara hanya memakai baju t-shirt dan kain batik.

"Hari ni Sara tak kerja, papa. Sara ingat nak cuti aje hari ni," balas Khaisara. Dato' Khairil mengangguk tanda faham. Anaknya itu freelancer, bekerja sendiri. Mudah juga untuknya membahagikan masa untuk kerja dan diri sendiri.

"Mama mana, papa?" tanya Khaisara. Dato' Khairil meletakkan kopi yang dihirupnya tadi di atas piring.

"Macam biasa, pergi shopping dengan bakal mertua Sara tulah," balas Dato' Khairil.

"Lah, semalam kan mama dah shopping dengan auntie Maria? Nak beli apa lagi?" soal Khaisara.

"Katanya nak pergi tempah kad kahwin. Mama nak ajak Sara tadi tapi Sara belum bangun lagi," beritahu Dato' Khairil. Khaisara menghela nafas berat.

"Mama memang nekad betul nak Sara kahwin dengan Jufri tu. Mama tak pernah fikir pasal perasaan Sara ke?" rungut Khaisara tanpa sedar. Kasihan Dato' Khairil mendengar keluhan anak tunggalnya itu.

"Papa mintak maaf ya, Sara. Papa dah cuba pujuk mama tapi mama tetap nak teruskan. Papa cuma harapkan Jufri boleh jaga dan sayangkan Sara," luah Dato' Khairil.

"Bukan salah papa. Sara.... kena redha dengan takdir Allah kan?"

"Takdir boleh berubah dengan doa dan usaha. Doa banyak-banyak ya, Sara. Kalau masih keliru, buat solat Istikharah," pesan papanya.

"Sara faham, papa. Thanks sebab faham perasaan Sara," ucap Khaisara, terharu.

Sedang asyik menikmati sarapan pagi, telefon bimbit Khaisara berbunyi. Nama Jufri terpapar di skrin telefonnya. Dia menutup telefonnya, tidak berminat untuk menjawab panggilan lelaki itu.

"Siapa tu?"

"Jufri." Dato' Khairil mengangguk sebelum menyambung baca surat khabar. Tiba-tiba telefonnya berbunyi tanda ada pesanan Whatsapp yang masuk.

-Abang, suruh Sara bersiap sekarang! Jufri nak ajak dia keluar kejap lagi. And abang pesan kat anak kesayangan abang tu, jangan kurang ajar sangat dengan orang. Jufri call dia baik-baik, dia boleh matikan phone?!-

Dato' Khairil mengeluh sebelum memandang ke arah Khaisara. Gadis itu perasan pandangan papanya sebelum mengangkat keningnya.

"Mama suruh Sara bersiap. Jufri nak ajak keluar." Khaisara membuat muka bosan.

"Kalau Sara tak pergi, tak boleh ke papa?" Dato' Khairil menggelengkan kepalanya. Dia ralat. Isterinya itu dulu seorang isteri dan ibu yang baik. Tetapi sejak berkawan dengan Datin Maria, dia mulai berubah menjadi isteri dan ibu yang terlalu tegas. Semua orang kena ikut kehendak dia.

KAU DAN AKU (complete ✅)Where stories live. Discover now