PETANG tadi, sebenarnya Aryan tidak langsung pulang selepas menghantar Maleeq ke hospital. Dia pilih untuk menemani Maleeq melihat Puteri barang sebentar. Bukan apa, nak ditinggalkan terus tak sampai hati pula. Bagaimana pun keadaan Maleeq masih belum pulih benar. Kesihan pula dia.
"Aku nak masuk temui dia, Aryan." Maleeq merayu. Ingin masuk ke dalam wad tapi tak dapat.
Sudah tak tertahan rasa sakit di dalam dihenyak sesal. Kepulangannya adalah untuk Puteri, tetapi dia hanya mampu melihat wanita itu terbaring lemah dari luar pintu sahaja.
"Tak boleh, Maleeq. Doktor tak benarkan sesiapa masuk dalam wad ICU tu." Inilah sebabnya Aryan tak terus beredar. Dia bimbang Maleeq akan bertindak di luar jangkaan. Buatnya dia redah aje masuk dalam, tak ke lagi satu hal?
"Tapi aku kena temui dia. Aku nak temui dia lebih dekat. Dia macam tu pun disebabkan aku, tahu tak?"
"Iya, aku faham. Tapi kau kena sabar dulu."
"Berapa lama? Berapa lama aku kena sabar? Kau tahu tak? Satu-satunya sebab aku dekat sini, adalah kerana dia. Kalau ingatan aku tak terangsang kerana dia, mungkin sampai ke sudah aku masih terperuk dekat kampung tu."
Aryan mengeluh. Hilang punca untuk berujar. Itulah yang dulu dia pernah kata pada Maleeq. Tapi tulah, masa tu dia yang degil. Sekarang dah jadi macam ni, Aryan juga yang kena hadap. Haih!
"Sekejaplah. Kalau iya pun, bagilah aku pergi tanya doktor dulu."
"Aku nak ikut."
Baru saja Aryan nak cakap 'Kau tunggu sini,' sudah dia mencelah gerak dulu. Adeh!
Satu je yang tak berubah pada Maleeq ni walaupun ingatan belum pulih benar, degil! Keras kepala dia, dari dulu memang tak boleh bawa bincang. Aryan memang give-up dengan dia ni.
Namun, nasib mereka tidak begitu buruk. Kebetulan doktor muncul untuk memeriksa keadaan pesakit. Jadi, tak perlulah mereka kena melilau satu hospital semata-mata nak jumpa doktor.
Buat berapa ketika, mereka terpaksa bersabar membiarkan doktor memeriksa Puteri. Lebih kurang sepuluh minit selepas itu doktor keluar kembali.
"Doc, boleh ke kami masuk melihat pesakit lebih dekat?" tanya Aryan sebaik doktor keluar.
"Oh ya! Boleh dah masuk, tapi hanya keluarga terdekat saja. Encik ni keluarga pesakit ke?"
Aryan teragak-agak mahu menjawap. Dia bukan keluarga Puteri pun. Dia tolong cakap bagi pihak Maleeq aje.
Tetapi siapa sangka, Maleeq yang pergi menjawap sendiri pada doktor. Aryan tercengang.
"Saya suami dia, doc. Tolong benarkan saya masuk."
"Owh, suaminya. Boleh! Encik boleh masuk ke dalam, tapi kena pakai pakaian khas pelawat dulu."
"Boleh doc, tak ada masalah."
Setelah itu, Maleeq diberikan pakaian khas sebelum dibenarkan melawat ke dalam wad. Dia bersyukur, akhirnya dapat juga melihat keadaan Puteri dengan lebih dekat.
Sebelum melangkah masuk, tak lupa dia ucapkan lafaz bismillah dalam hati. Mendadak debar datang menyerang, yang membuat Maleeq sempat menahan langkahnya.
"Maleeq, kau okey?" Aryan di belakang.
Maleeq menoleh lantas mengangguk ala kadar. Selanjutnya langkah diteruskan kembali.
Puteri adalah isterinya. Dia mesti yakin, tak perlu meragui lagi. Mungkin debar yang dirasa adalah aura pertemuan semula setelah terpisah sekian lama. Walaupun ingatannya belum pun pulih seratus peratus, tetapi hati yang paling dalam telah yakin bahawa dia sedang menghampiri seorang wanita yang paling bertahta dalam hidupnya.
YOU ARE READING
NIKAH GANTUNG
RomanceRumahtangga yang baru dibina oleh Maleeq dan Puteri sedikit berbeza dengan pasangan suami isteri pada umumnya. Selepas menjalani akad nikah mereka berdua masih belum dibenarkan untuk tinggal sebumbung oleh ayahnya. Tapi kenapa? Ada syarat yang Tan...