57

4.4K 185 2
                                    

JAMBANG halus mula naik pada serata wajah Nufail. Nufail tak terurus. Tiga hari Inaya hilang. Nufail rasa seperti dia sudah hilang arah. Otak sentiasa memikirkan keberadaan Inaya. Isterinya itu dah makan atau belum? Selamat atau tak? Bermacam-macam fikiran negatif menyusup masuk ke dalam kepada Nufail.

Apa yang pasti, dia takkan dapat maafkan dirinya sendiri jika apa-apa berlaku terhadap Inaya.

Nufail merenung kosong makanan di dalam pinggan. Dia tak ada selera. Terus dia naik ke bilik. Mahu mengambil wudhuk dan solat. Lagipun, itu bukan masakan Inaya. Nufail mahu makan hasil air tangan isterinya. Bukan masakan pembantu rumah. Mata Nufail merah. Dia tak dapat lelapkan mata beberapa hari ini. Selalu dia dapat tidur apabila Inaya berada dalam pelukannya.

Namun, sisi katilnya kosong tanpa susuk tubuh Inaya.

Mandi tak basah. Tidur tak lena. Dulu dia mengejek Aryan. Sekarang baru dia faham perasaan lelaki itu. Sedangkan Aryan hilang Darya berbulan-bulan dan pernah juga bertahun lamanya. Dia baru hilang Inaya selama tiga hari. Nufail rasa hampir gila. Jiwanya kacau. Ada kala ketika dia mahu tunaikan solat lima waktu, sempat dia memanggil Inaya tanpa sedar. Pernah juga dia tersalah niat solat sebagai imam sebelum mengangkat takbir.

"Maleeqa, ambil wudhuk cepat."

Dan bila Nufail tersedar. Nufail meraup wajah. Selama ini hidup dia dilengkapi Inaya setelah mereka berdua berkahwin. Inaya selalu ada di sisinya. Hidup Nufail selama tiga hari ini terasa kosong. Tak lengkap. Seolah tak berwarna. Ibarat Inaya adalah warna-warna kehidupannya selama ini. Nufail rapatkan lutut ke dada di atas sejadah. Kepala disembam ke lutut.

"Maleeqa... h-hubby rindu." Bisik Nufail perlahan. Tanpa sedar, air mata Nufail jatuh ke atas kain pelikat yang dikenakan. Dada terasa seolah dicengkam hebat. Sakit. Bila isteri tersayang tak tahu khabar berita. Selama tiga hari ini, Nufail mengurungkan diri di dalam bilik. Turun hanya bila Isaac ataupun Riyaz panggil makan.

Nufail akui, dia tak boleh hidup tanpa Inaya. Lelaki itu sunyi tanpa isteri di sisi.

Nufail angkat kepala. Lutut dijatuhkan sebelum dia bersila. Tangan ditadah ke langit. Hanya ini sahaja senjata yang dia ada sekarang. Nufail basahkan bibir. Bergetar belahan bibir itu tatkala mahu mula berdoa.

"Ya Allah Ya Tuhanku... Kau ampunilah dosa-dosaku. Dosa kedua ibu bapaku. Dosa isteriku, Maleeqa dan juga muslimin dan muslimat yang lain. Sesungguhnya kami hambaMu yang lemah. Aku berlindung di bawah nauanganMu, Ya Allah. Kau lindungilah isteriku, Maleeqa seperti mana Engkau lindungi aku. Kau berilah petunjukMu, supaya dia dapat ditemui semula. Aku merayu kepadaMu, Ya Allah. Kau pertemukanlah kami sebagaimana keadaan kami ketika kami berpisah. Dan jika sekujur tubuh itu hanya tinggal jasadnya sahaja..." Jeda.

Nufail tak sanggup mahu membayangkan jika sekujur tubuh tak bernyawa Inaya berada dalam dakapannya.

"Kau pertemukanlah kami kepada dia dalam keadaan sempurna. Tanpa sebarang cela. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Berkuasa, Ya Allah." Nufail sebak. Tak henti air matanya jatuh membasahi pipi. Bersungguh-sungguh dia berdoa. Agar Inaya kembali ke pangkuannya. Jika Inaya ditakdirkan meninggal... Dia akan cuba untuk redha dengan pemergian isterinya itu.

Usai habis berdoa. Kedua tapak tangan disapu pada wajah. Nufail mencapai satu helai gaun Inaya tak jauh darinya sebelum gaun itu dibawa ke hidung. Menghidu wangian yang melekat pada pakaian Inaya.

Tak lama kemudian, tubuh Nufail jatuh menghempap lantai bersama baju Inaya pada pelukannya. Mata Nufail terpejam erat. Peluh dingin menitik di tepi dahi. Pintu dikuak Riyaz dari luar apabila salah seorang pembantu rumah memberitahunya tadi bahawa Nufail masih belum menjamah sebarang makanan.

"Pael kau- Pael!" Lantas kaki berlari menuju ke arah Nufail. Riyaz panik. Berkali-kali pipi Nufail ditepuk.

"Pael! Bangun, Pael!" Belakang tapak tangan dihala ke leher Nufail apabila wajah Nufail memerah. Panas. Suhu Nufail sungguh tinggi.

"Isaac! Datang sini, Isaac!" Nama Isaac dijerit sekuat hati. Berharap agar lelaki itu dengar namanya dipanggil. Kebetulan, Isaac yang baru sahaja mendaki tangga terus bergegas masuk ke dalam bilik Nufail apabila Riyaz tak henti melaung namanya.

"Kenapa ni!"

"Badan Pael panas. Aku rasa, dia pengsan!" Isaac terkelu apabila perasan Nufail menggenggam erat gaun Inaya. Dia kenal gaun itu. Gaun putih labuh kegemaran Inaya. Sejauh itukah kesan kehilangan Inaya terhadap Nufail? Nufail sarat rindukan Inaya.

"Doktor kata, dia kurang air. Gula dalam badan dia rendah sebab dia tak makan. Apa kita nak jawab dekat Inaya kalau tahu keadaan suami dia macam ni?" Runsing Isaac. Memang Inaya masih tak ditemui. Tapi Zati sudah yakinkan, Inaya pasti akan hidup dan selamat. Orang tua bersifat iblis itu hanya mahukan Inaya. Bukan mahu Inaya mati. Pasti keadaan Inaya baik-baik sahaja buat sementara waktu.

"Maleeqa..." Nufail merengek kecil dalam tidur. Serentak, Riyaz dan Isaac menghela nafas. Mereka tak bagi Nufail ikut mencari Inaya bersebab. Nufail lansung tak bermaya. Mereka tak mahu Nufail pengsan ketika mencari Inaya. Puas juga mereka memujuk Nufail agar lelaki itu duduk di rumah saja. Dengan alasan, mana tahu ketika Inaya balik tiada orang di rumah.

Riyaz dan Isaac keluar bilik. Pintu bilik ditutup cermat.

"Dulu dia anti gila dengan Inaya," ujar Riyaz. Dia masih ingat. Bagaimana Nufail menghalau Inaya keluar dari pejabat setiap kali dia terserempak dengan mereka berdua. Inaya dengan muka tak tahu malu tak henti mengganggu Nufail. Dan Nufail pula bersama wajah tak berperasaan dia mengabaikan kewujudan Inaya dalam pejabat tersebut.

"Tahu. Aku pernah tumbuk dia sebab dia panggil Inaya pelacur. Buruk betul perangai." Balas Isaac pula. Melopong Riyaz dibuatnya.

"Dulu pipi dia lebam, sebab kau lah?" Isaac mengangguk selamba. Itulah makan dia bila mulut tak ada insurans. Tapi tengoklah sekarang. Nufail rindukan Inaya sampai demam! Siapa pun tak dapat jangka perancangan tuhan. Daripada benci, sekelip mata saja berubah menjadi sayang.

Isaac tersenyum nipis.

"Tapi sebab dia jugalah Inaya berubah. Inaya keras kepala, ajaibnya dengan mudah Nufail dapat bentuk dia. Sampai dia dah berubah sejauh ini sekarang. Aku tak pernah expect Inaya akan pakai tudung." Entah magis apa Nufail ada, Isaac tak tahu. Tutur kata Nufail memang kasar. Isaac dapat lihat depan mata betapa kasarnya Nufail. Mungkin ada sisinya tersendiri kita lelaki itu bersama dengan Inaya yang orang tak tahu.

"Nufail pun, berubah sejak berkahwin dengan Inaya. Jauh sangat daripada kehidupan zaman bujang dia." Jujur Riyaz. Isaac merenung pintu bilik Inaya dan Nufail lama.

"It's like they were created for each other." Tambah Riyaz lagi.

Kerana sudah tertulis di atas sana, bahawa Inaya Maleeqa adalah milik Arden Nufail sejak awal lagi.

[C] Bukan Bidadari NufailWhere stories live. Discover now