Pandangan Tengku Sakti Armada gelap bak arang. Tiada walau satu cahaya menyinari penglihatan jejaka itu sekarang. Armada dapat rasa pergerakan tubuhnya tetapi Armada tidak dapat melihat apa-apa.
Lambat-lambat, ruangan itu menjadi terang. Anak mata Armada merantau ke sekeliling tempat. Armada sedang terduduk senang di dalam bilik vila mereka.
"Love?" Armada menyeru nama Anggun. Kosong saja bilik ini. Kebiasaannya Anggun tak akan jauh daripada Armada. Terutama sekali ketika emosi Anggun sedang baik.
"Sayang?" Armada bangun daripada tempat duduk, melangkah terus ke luar bilik untuk cari sang isteri di tempat lain.
"Lily!" nada Armada ditekan saat bayang-bayang Anggun langsung tak terlihat berada di mana-mana.
"Awak ni sayang... terlalu suka menghilang tiba-tiba," bisik Armada seraya daki tangga untuk ke tingkat atas. Armada tidak begitu cemas sekarang kerana berfikiran yang Anggun berada di tingkat atas.
Namun, saat jejaka ini tiba saja di tingkat kedua vila, tubuh Anggun langsung tidak terlihat. Jejaka ini berdiri pegun, rasa terhenti sebentar dunia Armada. Ke mana pula Anggun menghilang.
Dalam keheningan, Armada terdengar tawa halus Anggun. Armada tersentak sebelum pusingkan kepala, mencari sumber gelakan. Kaki Armada laju saja menapak ke bawah sebelum keluar ke bahagian kolam peribadi dalam vila ini.
Spontan, pandangan tajam Armada menangkap wajah Anggun sedang duduk di kerusi rehat berdekatan kolam. Ketika itu juga, Armada rasa tubuhnya seolah direnjat elektrik.
Siapa... lelaki yang sedang bersama Anggun tika ini?
Anggun terlihat begitu senang memandang tubuh lelaki yang duduk membelakangi Armada. Wajah Anggun jelas terlihat bahagia, berbalas mulut dengan jejaka tersebut.
Armada yakin, itu bukan dirinya. Tubuh belakang Armada tidak terlihat begitu.
Armada mahu dekati mereka berdua, Armada mahu halang jejaka tak dikenali ini daripada terus menyentuh wajah Anggun tapi kakinya rasa terkunci pada lantai. Sikit pun Anggun tidak sedar akan kehadiran Armada.
Hati Armada... sakit melihat bagaimana Anggun selesa bersama lelaki itu.
Lelaki itu siapa?
Belum sempat Armada peroleh jawapan akan persoalannya, Armada dikejutkan dengan gerakan rawak yang tiba-tiba dirasai. Mata Armada terbuka luas. Benda pertama yang menyapa kornea mata adalah siling bilik.
Armada dapat rasa dadanya turun dan naik dengan laju. Keras jantung Armada bekerja sekarang sehingga buat Armada berasa sesak untuk sesaat. Ruangan malap bilik ini buat Armada yakin, situasi tadi merupakan satu mimpi.
Armada telan air liur. Perlahan-lahan kepala menoleh melihat ke sebelah kanan. Apabila nampak Anggun sedang terbaring statik di tempatnya, Armada lantas hela nafas lega.
YOU ARE READING
[OG] SESAL TERINDAH
Romance"Aku mahu jalani latihan VAT69, aku mahu capai cita-cita aku jadi aku tak mahu berkahwin. Sekurangnya untuk 10 tahun ke hadapan" - Sarjan Mejar Riffat Rizqullah "Saya akan tetap tunggu sehingga awak bersedia" - Anggun Lilyann. Demi kebaikan Anggun...