Bab 3

4K 65 1
                                    

Salam, Saya Sofeatulaishah!

Sebelum pelangi digapai tangan,

Jiwa diuji seribu halangan.

Pagi yang basah dan dingin. Di pura langit, bintang-bintang yang berserakan masih penuh pesona menjadi kerongsang alam. Bau rumput nan basah dan harum manis kelopak melur serta mawar di halaman rumah menyerap ke segenap ruang. Sofeatulaishah sejak empat pagi sudah bangkit dari tidur. Semuanya menjadi serba tidak kena. Selepas solat subuh, abahnya mengetuk pintu bilik. Emak pun sama menjengah.

"Betul tak mahu abah hantarkan?"

"Hish, tak payahlah. Biar Pia pergi sendiri."

"Jalan tu sesak. Takut Pia sesat, lambat sampai pejabat."

"Tak apa, abah. Jangan risau. Kak Pia dah mengkaji peta Kuala Lumpur semalam. Tu Kak Pia bangun pagi sebelum subuh tu nak menghafal peta rasanya!" Sufian sengaja menyakat kakaknya.

"Hei, jangan nak mengada-ada, ya?! Orang sekarang ada Waze! Apa susah?!" Pantas Sofeatulaishah membalas biar yang benar ada gelora di dalam diri pagi itu.

"Alah, kalau ada Waze pun Kak Pia bukan reti pun! Waze kata kanan, akak kalut pi kiri nanti!" Nada mengejek adik lelaki itu membuat gadis yang mahu keluar rumah awal itu menjadi senak perut.

"Betul tak mahu abah temankan? Boleh ni?" Haji Imran masih cuba memujuk.

"Hah, hari pertama ni kalau tak mahir jalan biar abah bawakan kereta. Petang nanti abah jemputlah Pia balik. Jalan Yap Kwan Seng tu sesak selalunya. Salah masuk simpang pepagi ni, jenuh nanti!" Hajah Asmah pun sama memancing. Susah sungguh hatinya mahu melepaskan anak dara memandu sendirian pagi-pagi begini.

"Abah, mak jangan risau!!! Hahaha... Kelakarlah kalau mak abah nak hantarkan. Hish, macam nak masuk tadika. Macam nak daftar sekolah darjah satu pula!"

Bersungguh-sungguh Sofeatulaishah menolak. Huh! Janganlah mak abah menggunakan kuasa veto! Tak sanggup rasanya nak ada adegan bersalam cium tangan emak abah, emak balas dengan mengucup dahi, kemudian melambai-lambai macam mahu belayar jauh untuk merantau depan bangunan pejabat baru nanti. Haishhh!!! Tak sanggup!

"Betul ni? Betul tak mahu abah hantarkan? Hari pertama aje pun. Bukan hari-hari. Pia tak biasa lagi." Seperti tidak yakin dengan anak sendiri, Haji Imran menawarkan diri lagi.

"Betul, tak payah. Tak apa. Pia redah aje nanti. Tak mahulah. Buat gelak orang aje kalau tahu. Dah besar panjang, pergi kerja hari pertama, mak abah temankan." Berkerut dahi Sofeatulaishah bila melihat kesungguhan emak abahnya. Huhhh... Ya Allah! Permudahkanlah urusan aku ini!

"Hari pertama, buat muka manis. Jangan tunjuk muka ketat. Apapun kerja yang disuruh, jangan bantah. Jangan kata tak boleh. Pia kena tunjukkan Pia serba boleh. Senyum, angguk selalu. Kalau tak reti, tanya. Jangan berat mulut. Dengan pekerja lain jangan menyombong." Hajah Asmah sudah memberi kuliah subuh pada anaknya yang sudah bersiap hendak keluar rumah. Sufian yang mahu ke sekolah, tersengih-sengih memandang kakaknya.

"Kak Pia! Muka tu kenapa? Terlebih bedak ke... Takut sesangat?!"

"Nak kena, ya?! Nak ke sekolah tu jangan sibuk jaga hal orang!"

"Sepanjang memandu jangan lupa zikir. Baca apa-apa ayat lazim. Biar hilang rasa takut tu. Biar semua orang sejuk hati dengan Pia. Jangan lupa baca Rabbi Yassir wala tu-'assir. Rabbi tham-mim bil khair. Rabbi zidni 'ilman war-zuqni fahman. Baca jangan putus!" Haji Imran pula memberi pesanan terakhir. Sofeatulaishah menarik nafas panjang-panjang. Terasa semuanya bagai tersangkut di dada.

Izinkan Aku Jadi SayapmuWhere stories live. Discover now