Bab 15

5.8K 112 29
                                    

Hari Nan Biru.

Ikan di laut dapat kujinak,

Pikat dinda apa umpannya.

Udara sekeliling agak berdebu dan berbahang. Awan tipis yang merenda langit, tidak mampu menapis cahaya terik mentari petang itu.

Sofeatulaishah sedikit cuak sebenarnya apabila dipelawa minum oleh Firdaus. Awalnya dia menolak apabila Firdaus mengajaknya untuk berbincang sesuatu.

"Abang nak bercakap ni pasal kerja." Berkocak dada Sofeatulaishah dibuatnya. Akhirnya dia beralah dan setuju. Firdaus pula mengenakan syarat. Harus di luar pejabat. Gerai cendol dan rojak mamak di bawah pokok saga yang terletak di belakang Menara Rumah Manis menjadi pilihan.

"Pia, bayangkan dulu lepas keluar universiti, kerja pertama abang, bancuh teh tarik dekat satu kafe di Shah Alam. Masa kerja di situ abang kenal Tuan Chairil."

Sofeatulaishah berkerut mendengar cerita Firdaus. Bukan setakat berkerut, kening hampir bertaut apabila Firdaus membahasakan dirinya abang.

"Encik Firdaus kenapa beria-ia nak melobi Tuan Chairil?"

"Hish! Mana ada lobi! Janganlah berencik-encik dengan abang. Kita kalau kerja di Menara Rumah Manis ni dah macam adik-beradik. Abang Firdaus tahulah hati budi Tuan Chairil. Nampak aje bengis macam harimau jadian. Tapi hati, baik! Kalau kita kata dinding hospital selalunya warna putih, hati Chairil tu lagi putih dari putih dinding hospital!"

Sofeatulaishah yang awalnya agak mendung wajah, terlerai juga senyuman di bibir. Firdaus sendiri tertawa terbahak-bahak. Memang niatnya untuk meredakan resah gelisah dalam hati Sofeatulaishah.

"Tapi dia selalu cari salah Pia. Dikatanya Pia Pemuk, Sofea Pendek Gemuk. Disindirnya Pia sebab memandu kereta Fiat buruk tu. Depan-depan orang dikatanya kereta Pia tu dah patut campak ke kedai jual besi buruk. Tak pernah ada yang elok Pia ni di mata Tuan Chairil."

Suara Sofeatulaishah agak bergetar. Mujur mereka memilih untuk duduk agak jauh dari pandangan orang ramai di gerai rojak dan cendol. Tidak berniat pun mahu mengadu pada Firdaus tetapi terasa ringan segala beban di dada apabila semuanya dapat diluahkan. Hilang panasaran biarpun untuk seketika.

"Allah, Pia! Jangan ambil hatilah! Mulut saja yang berbisa Tuan Chairil tu... Tapi hati ada satu ladang bunga kekwa, bunga ros macam ladang bunga dekat Cameron Highlands. Sebab dia mamat sensitiflah, mulut dia jadi laser. Cepat terasa. Orang yang cepat sentap, cepat terasa ni selalunya penyayang."

Semakin bulat mata Sofeatulaishah memandang Firdaus. Ah, lelaki... Kau pun sama macam lelaki yang lain! Pandai jual air liur! Ini mesti dah biasa menjulang bos untuk close deal dengan client! getus Sofeatulaishah dalam hati. Air kelapa yang dipesan, luak sedikit saja. Merusuh hatinya apabila mengenangkan perang dingin yang tidak diketahui apa puncanya dengan Chairil.

"Abang Firdaus naik gaji berapa banyak tolong berkempen untuk Tuan Chairil ni?" Sofeatulaishah menjeling ke arah lelaki yang sentiasa ceria saja di pejabat. Bukan dia tidak pernah melihat Chairil menghempas fail pada Firdaus. Tetapi lelaki yang seorang ini tetap dengan muka selambanya. Bagai tidak tergores langsung perasaannya.

"Kita jangan ambil hati kalau nak berjaya. Dalam bidang kita ni, banyak saingan, banyak dugaan di luar sana. Kalau setakat Chairil yang ala-ala anak harimau manja Pia dah takut, macam mana nak kerja seminggu dua dekat site? Pia nanti kena pergi Pengkalan Hulu, bukan? Haha... Kalau macam ni pun Pia dah tak lalu makan, esok lusa kalau tercampak dalam hutan, ada projek besar nak buka tanah baru, macam mana? Takkan nak meraung panggil emak abah datang, kut?"

Berdesing telinga Sofeatulaishah mendengar kata-kata Firdaus. Terasa lelaki itu ada sedikit nada mengejek.

"Faham. Terima kasih sesangat untuk nasihat abang tu. Emak abah Pia pun pesan benda yang sama. Pia tahu, Pia budak baru, memang patutnya tahan lasak, tahan kena marah dengan bos. Tapi kalau pasal kerja, Pia tak kesah. Ni pasal pakaian Pia, pasal kereta Pia... Kenapa, ya? Sebab tu Pia kata, Tuan Chairil memang nak sangat tengok Pia berhenti. Pia sedar, Pia ni tak pandai nak melawa macam Effa, macam staf yang lain."

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Aug 08, 2016 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Izinkan Aku Jadi SayapmuWhere stories live. Discover now