Bab 6

3.4K 49 0
                                    

Celaru dan Keliru.

Berapa manis namanya nira,

Disimpan lama menjadi cuka.

Jurai cahaya rembulan sudah lama tertumpah ke tumit langit. Rumput, kembang puspa dan dedaun yang bertasbih saban waktu sudah basah dengan titis embun. Chairil rancak bersembang. Teh tarik sudah masuk gelas yang kedua.

"Lahhh!!! Memang ke sini kita? Bos ni... Sembang ajelah! Kata ada date baru! Haishhh... Penat aje pakai lawa-lawa. Buang minyak wangi mahal aje sembur banyak-banyak!!!" Firdaus menggeleng apabila langkah kakinya mengekori Chairil ke kedai mamak di hadapannya.

"Daripada layan awek, baik kita cerita pasal ikan! Ada faedah. Dapat ikan besar, kita kenduri. Dapat juga pahala bila sedekah pada kawan-kawan," balas Chairil yang memang sudah berjanji dengan geng kaki pancingnya di Restoran Mahbub, Bangsar.

Bualnya seputar kisah joran yang disulami cerita kolam mana yang paling ganas ikannya merembat umpan. Sesekali menghilangkan lelah dan stres pejabat dengan Firdaus dan beberapa rakan kaki pancing yang lain di kedai mamak, cukup membuat dia naik semangat. Sempat lagi dia berkongsi resipi membuat umpan baru.

"Wajib cuba ni! Kita kena test umpan ni!" Itu azamnya sambil mengenyit mata ke arah Firdaus. Sahabatnya itu berkerut bila mendengar santan harus diperam dahulu, sebelum dimasak.

"Basi santan tu! Ni mendera ikan kau orang ni!" Menggeleng Firdaus melihat Chairil yang taasub dengan ikan dan joran. Bersungguh-sungguh mahu mencuba! Roti canai cicah asam pedas tenggiri menambah rancak mereka berbual. Selesai di atas meja Restoran Mahbub, mereka menyambung sembang ke Kampung Baru. Sup ayam kampung dinikmati panas-panas menyerap kedinginan dinihari. Jam tiga pagi baru mereka saling berjabat akrab dan bersurai.

Pulang ke rumah, jiwa terasa lapang, perasaan sudah belayar ke kolam ikan. Masin angin laut bagai dapat dihidu sebelum tidur. Selepas solat subuh, mata masih terasa kelat dan berat.

Dingin angin pagi yang mencelah masuk ke kamarnya bukan kepalang. Saat begitu kalau berbungkus di dalam selimut sambil memeluk bantal guling memang syurga dunia namanya! Rancangnya, pukul lapan bangun semula, mandi segayung dua dan terus melompat naik ke kuda besinya. Lebih cepat dan ringkas kalau mahu ke pejabat dengan motor besar kalau sudah lambat bangun tidur. Tapi ada suara yang bertingkah di ruang tamu yang sangat menjengkelkan hatinya. Biar betul! Takkan pagi-pagi dua manusia itu datang ke sini? Apa hal?

Pagi nan sunyi itu cukup untuk membuatkan Chairil dapat menangkap perbualan di ruang tamu rumahnya. Suara abah. Suara emak. Oh!!! Betul! Betullah tu... Memang suara adik abahnya, Haris dan isterinya, Shaza. Ke kanan tidak kena, ke kiri tidak lena, akhirnya Chairil bangkit dari katil. Suara Haris yang sesekali meninggi benar-benar membuat cuping telinganya rasa berbahang pagi itu.

"Apa masalahnya? Kita jual rumah pusaka tu. Duit berbahagi dua. Susah sangat ke?"

"Tak ada masalah, Haris. Tapi kena faham. Tu rumah pusaka emak. Keluarga yang lain pun ada. Adik-beradik emak pun ada lagi. Apa kata yang lain kalau kita pandai-pandai jual? Duit boleh cari, tapi kenangan kita membesar di rumah tu tak boleh kita nak beli. Tak akan ada ganti." Tuan Ramli tenang beralas cakap dengan adiknya, Haris.

"Lecehlah kalau nak bersentimental sangat! Dalam hidup ni sekarang, duit tu penting. Yang mati dah tentu mati. Kita yang ada hidup ni kalau ada peluang depan mata buat duit lebih, caranya pula mudah, apa salahnya?!" Haris seperti tidak peduli. Kata-katanya berbisa tidak dihiraukan kalau ada hati yang terluka.

"Rumah tu buat kita pandang-pandang. Penuh kenangan. Takkan nak lepaskan macam tu aje? Sebak arwah mak kalau tahu anak-anak nak jual rumah dia. Dulu, bukan senang mak nak dapatkan rumah tu. Arwah mak, emas sehalus janggut udang pun tak merasa pakai. Semua habis untuk besarkan kita," pujuk Tuan Ramli dengan penuh rasa sebak.

Izinkan Aku Jadi SayapmuWhere stories live. Discover now