Bab 12

3K 41 0
                                    

Jiwa Jauhari.

Mata tajam menusuk kalbu,

Ada menyimpan cerita beribu.

Bulan semakin pucat dan lesu di dada langit. Malam kian terbenam di garisan hari. Dingin dinihari disambut haruman melur dan cempaka di halaman rumah. Saat itu Sofeatulaishah sedang menikmati sujudnya yang panjang di atas sejadah. Rasa syukur dilafazkan sepanjang sepertiga malam itu.

"Ya Allah! Saat aku khatam surah-surah indah-Mu, aku merayu agar usiaku bertambah dengan tidak sia-sia. Ya Rab! Ketika aku menzahirkan rasa syukur lewat sujudku di pagi yang bening ini, aku memohon agar dijauhkan segala rasa tidak pasti, rasa tidak tenteram ini. Aku mensyukuri nikmat-Mu. Ya Allah! Aku menumpang rahmat-Mu, semoga hari-hari yang mendatang lebih baik untukku."

Menghabiskan sisa waktu menunggu subuh, dia memilih untuk terus menikmati mukjizat al-Quran. Terasa ketenangan yang luar biasa apabila hati rawan dipujuk dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran.

"Hidup ni, takdir diri kita, semuanya rahsia Tuhan. Kita jangan lari dari masalah. Berusaha, buat yang terbaik, berdoa kemudian bertawakal." Berulang kali Haji Imran berpesan. Rusuh di wajah Sofeatulaishah beransur hilang.

Ya, hidup ini harus diteruskan. Bukankah sewaktu lahir di dunia, aku mulakan dengan tangisan? Bukankah untuk nafas yang pertama itu juga satu cabaran kelangsungan hidup untuk manusia? Dan, setakat engkau Chairil Razlan... Aku pastikan engkau tak akan mampu memporak-perandakan hidup aku! Jauh sekali untuk membeli jiwa aku!

Pagi masih berkabut, di mana-mana jalan di Kuala Lumpur sesak. Semua berasak-asak dan menderu-deru mahu bergegas sampai ke tempat kerja. Chairil berkira-kira mahu menjengah ke tapak kerja di Pandan Indah. Telefon di sisi berbunyi.

"Bos besar dah tahu. Nak jawab apa?"

"Orang lain dah tahu ke?"

"Rasanya belum. Tapi tak pastilah mulut staf perempuan. Lagi cepat dari Twitter!"

"Aku baru nak ke site."

"Masuk menghadap dululah. Bos besar tengah tengok semua dokumen."

"Aku dah nak menghala Pandan Indah ni."

"Patah baliklah."

Suara Firdaus cemas. Ah, rakan yang seorang ini kekadang tampak licik macam belut. Ada ketikanya lebih lurus dari bendul! Disergah sedikit sudah menggelabah.

Chairil mematikan telefon bimbitnya, memperkemaskan tali pinggang keledar. Pedal minyak ditekan, memacu Proton Satria tua berekzos buluh itu meredah lautan kenderaan yang sesak.

Sambil memandu, fikirannya ligat mencari alasan. Membayangkan soalan yang akan dilontar padanya di atas meja bujur bilik mesyuarat warna kelabu itu nanti.

Sewaktu sampai di persimpangan jalan memasuki Menara Rumah Manis, kereta pertama Chairil itu terus tangkas memanjat laluan spiral menuju parkir. Menjejaki aras tiga tiba-tiba pecutannya menjadi perlahan. Dia memandang kereta di depan sambil menggeleng.

Sengaja dia menekan pedal minyak. Semakin mengaum dan berdengung enjin kereta, semakin huru-hara kereta yang bentuk kekotak putih di hadapannya. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Chairil sudah tergelak-gelak sendiri. Tangan pantas mencapai telefon bimbit di sebelah.

"Cik kak! Pia Pemuk... Boleh ke tepi sikit tak? Aku nak cepat ni! Pasal kau, bos besar panggil aku."

"Errr... Errr.. Saya dah ke tepilah ni." Suara Sofeatulaishah sangat tidak tenteram di sebelah sana. Chairil seronok menyakat. Tatkala melintasi kereta antik Sofeatulaishah, dengan sengaja kereta Proton Satria itu merapati kereta Fiat lama itu sebelum terus menderum laju dan hilang di aras atas.

Izinkan Aku Jadi SayapmuWhere stories live. Discover now