Bab 13

2.9K 38 0
                                    

Bunga Lalang.

Hati dingin dendam membeku,

Jiwa luluh siapa yang tahu.

Darah menggelegak. Bagai terhidu bau hamisnya. Basah dan berkocak amarah, menggelepar menyalin wajah dendam yang tiada kesudahan pada Chairil. Berulang kali dia mengetap bibir dan menggenggam tangan. Bukan kepalang rasa kesumat yang menjalar di dalam jiwa.

Membaca segala Twitter Shaza yang dikirimkan oleh Firdaus itu cukup untuk membuat kesabaran Chairil memuncak.

"Bos, ni print screen dari Twitter mok cik muda bos, Shaza. Dia mengata famili bos, ya?" - Firdaus -

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

"Tidak sempurna iman seseorang itu selagi ia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri." - Riwayat Bukhari dan Muslim.

Apa ya hukum adik-beradik yang bermusuhan sehingga tidak bersapa? Kalaulah orang tua mereka masih hidup, apa agaknya perasaan mereka?

"Perempuan ni apa masalah ya, mak?" Mendidih rasa hati melihat mesej yang dihantar Firdaus padanya. Print screen dari Twitter itu bukan sekadar memualkan tapi amat mengaibkan.

"Entahlah!"

"Mak bayangkan, kalau Firdaus pun boleh buat andaian Shaza ni mengata kita, apa lagi orang lain? Dia ni tak tahu nak jaga air muka keluargalah! Memang dasar perempuan tak tahu diuntung. Dah dikutip jadi keluarga, dah dipinang elok-elok, dah diraikan jadi isteri, tetap nak menyalak sana sini."

"Pedulikanlah. Dah dia perangainya begitu. Kata orang tua-tua, dah tanah badan dia mulut macam tu. Kita jangan layan."

"Tapi kalau kita biarkan, menjadi-jadi, abah! Dia ni siap nak tweet hadis ni kenapa? Nak tunjuk diri tu macam bidadari syurgalah, ya?"

"Kalau kita menjawab, kita bertelingkah, dia menang. Dia memang suka kita berbalah agaknya. Buat tak tahu sudah." Tuan Ramli tenang meredakan hangat hati Chairil. Dia tahu sangat perangai Chairil kalau sudah marah apatah lagi berkaitan dengan Shaza, berguni-guni sumpah seranahnya.

"Mak pun rasa macam tu, Chairil. Kalau dia fikir, dia bernikah dengan Busu Haris kau bukan niat untuk berukhuwah dengan keluarga kita terpulang. Selama ni pun sejak dia bernikah, tak pernah sekali Busu Haris balik ke kampung kita, tak pernah kita merungut. Masing-masing dah ada dayung di tangan, pandai-pandailah kemudi perahu sendiri." Ada nada terkilan pada kata-kata Puan Ramnah. Namun dia reda kalau itu yang terbaik untuk rumah tangga adik iparnya.

"Huh, banyak sangat berubah Busu Haris lepas bernikah dengan perempuan ni. Masa Tok Mat kemalangan, haram tak nampak batang hidung. Semua saudara-mara bergegas balik, kereta Tok Mat tu hancur, bumbung tercabut, roda terangkat empat-empat, dia boleh beri alasan ada mesyuarat hari Ahad! Yang Busu Haris balik, buat perangai samseng kampung dusun, maki hamun semua orang. Macam dia seorang anak saudara yang penting masa tu! Chairil menahan hati aje tengokkan perangai busu."

"Kita tak usah campur. Biarkanlah. Kalau dia rasa dia boleh hidup sendirian dengan pangkat yang dia ada sekarang, biarkanlah. Kalau dia nak lupa zaman belajar dia siapa yang tanggung, zaman sakit dia dulu siapa yang bertungkus lumus uruskan dia keluar daripada hospital kerajaan bawa ke swasta sebelum dia ke Jerman, biarkanlah. Abah rasa dia lupa. Kalau tak sebab abah uruskan, rekod dia sakit di hospital kerajaan tu kalau masih ada, jangan harap dia dapat kerja macam sekarang. Biarkanlah. Allah tahu, kita tahu. Shaza tak tahu, pedulikan. Kalau dia nak kahwin sebab nak gaji dengan pangkat Haris, silakan. Kita tak rugi apa-apa."

"Jangan kata kerja kerajaan, dia nak terbang belajar ke Jerman pun tak lepas agaknya. Silap-silap kena buang pengajian masa tu. Maklum, sakit..." Nada geram Puan Ramnah terhenti di situ.

Izinkan Aku Jadi SayapmuWhere stories live. Discover now