Bab 5

3.7K 52 1
                                    

Mencari Kembang Syurga.

Rupanya elok bagai diraut,

Mata terbayang hati terpaut.

"Kenapa naik motor?" tegur Puan Ramnah sebaik saja kelibat Chairil memasuki ruang tamu malam itu. Cukup bimbang dia apabila mengetahui Chairil tidak memandu ke pejabat. Kemalangan motosikal berkuasa besar dengan impak yang tinggi selalu membuat hatinya gerun.

"Senang naik kuda besi tu, mak. Kalau memandu, leceh bila nak pergi balik ke site." Wajah lelah Chairil hilang setelah sudah siap mandi, solat dan duduk bersama-sama orang tuanya menikmati makan malam. Sengaja dia mencuit-cuit saja nasi di atas pinggan. Mahu dikosongkan sedikit perut malam itu. Dan tiba-tiba dia teringat sesuatu.

"Pagi-pagi tadi ada budak perempuan cari abah."

"Siapa?" tanya Tuan Ramli yang sedang laju menyuap nasi berlauk asam pedas daging tetel dengan telur asin.

"Entah, tak ingat nama dia." Bukan tak ingat, malas nak hafal! Perempuan mengada-ada! Nama panjang berjela! cemuh Chairil dalam hati.

"Pasal apa?" Puan Ramnah sama menoleh bertanya.

"Dia tersagat dinding masa nak naik parking. Dah langgar tembok dengan dinding, menonong aje tak berhenti. Tu yang Chairil tahan dia," cerita Chairil dengan muka yang terherot tanda tidak berkenan.

"Naik parking tu memanglah! Siapa yang tak biasa, teragak-agak, mahu berdentum dekat dinding dengan tembok. Kekadang kena sipi aje pun." Reaksi Tuan Ramli biasa-biasa saja.

"Budak ni sudahlah tersagat dinding, ada ke panggil Chairil abang jaga parking? Sesuka hati dia aje, sedap mulut mak dia aje." Spontan cerita yang satu itu terhambur di atas meja makan. Memang cukup dia tidak berkenan mengenangkan kejadian pagi tadi. Panas tidak pasal-pasal hatinya. Orang lain punyalah takut, sampai menggelarnya CR The Cougar. Yang minah ni sesedap mulut panggil aku abang jaga parking!

"Dia cari abah pasal apa?"

"Entah, kata nak lapor diri. Alih-alih jual nama abah. Kata nak cari Tuan Ramli." Tercebik bibir Chairil menambah cerita.

"Nak lapor diri masuk kerja?"

"Allah! Itu anak perempuan Haji Imranlah kut! Abah lupa nak pesan dekat Chairil." Tiba-tiba Tuan Ramli baru teringat. Hampir tersedak dia sewaktu menyuap nasi.

"Ya Allah! Kesian dia... Sampai tersagat dinding kereta, ya?" Dan Puan Ramnah turut sama mengalir rasa simpatinya.

"Haji Imran? Siapa?" Terkulat-kulat Chairil. Eh, apa hal aku tak tahu apa-apa cerita ni?!

"Kawan lama abah. Memang abah pelawa anak dia kerja dengan kita," beritahu Tuan Ramli sambil menggeleng beberapa kali. Allah! Sibuk punya pasal dia benar-benar terlupa untuk memberitahu Chairil.

"Abah memang kenal ke?" Chairil semakin rasa syak yang bukan-bukan. Semakin rasa tidak selesa.

"Mahu tak kenal. Kau masa kecik-kecik dulu, kekadang Haji Imran dengan orang rumah dia, Hajah Asmah tu yang jaga kau kalau emak abah oustation," cerita Puan Ramnah dengan ramah. Wajah menjadi bercahaya dan tidak tahu mengapa, di mata Chairil, emaknya itu macam jadi berselera pula tiba-tiba untuk makan malam.

"Masa tu kita semua duduk di Klang. Kau tak ingat. Kau bayi lagi," sampuk Tuan Ramli,

"Allah... Siapa nama budak tu? Hari tu ada dia datang masa majlis kahwin kita buat dekat Pengkalan Hulu. Tak sangka sanggup dia orang datang jauh-jauh." Puas Puan Ramnah cuba mengingatkannya. Menambah jengkel dalam hati Chairil.

Izinkan Aku Jadi SayapmuWhere stories live. Discover now